21 APRIL 2021
RUSIA
TERKINI | Lima Saudara Tetap Berani dan Sukacita semasa Serbuan dan Tahanan di Perm, Rusia
Pada 12 Mei 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Ketujuh menolak rayuan kedua Saudara Boris Burylov, Saudara Aleksandr Inozemtsev, Saudara Viktor Kuchkov, Saudara Igor Turik, dan Saudara Yuriy Vaag. Their original sentences remain in force. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Kawasan Perm menolak rayuan Boris, Aleksandr, Viktor, Igor, dan Yuriy. Hukuman asal mereka masih berkuat kuasa.
Pada 12 Mei 2021, Mahkamah Daerah Perindustrian di Bandar Perm mengumumkan keputusan dalam kes yang melibatkan Boris, Aleksandr, Viktor, Igor, dan Yuriy. Igor telah dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama tujuh tahun. Keempat-empat saudara lain pula dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah.
Profil
Boris Burylov
Tahun Lahir: 1941 (Sevastopol)
Biografi: Dibesarkan di kawasan Perm. Mendapat ijazah dalam bidang sains pertanian. Semasa kecil, ibunya akan baca ayat-ayat Bible kepadanya. Pada tahun 1990-an, dia memperoleh Bible yang lengkap. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1996
Aleksandr Inozemtsev
Tahun Lahir: 1972 (Kostanay)
Biografi: Pernah berkhidmat dalam tentera. Dia juga bekerja sebagai juruelektrik dan mekanik. Kini melakukan kerja penyenggaraan dan pengubahsuaian apartmen. Setelah membaca dan belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dia mendapat jawapan yang memuaskan tentang sebabnya ketidakadilan wujud dan mengapa manusia mati. Dibaptis pada 1996 dan berkahwin dengan isterinya Olesya pada 2017. Mereka masih membesarkan seorang anak perempuan yang masih muda. Suka melukis, memancing, dan bermain hoki
Viktor Kuchkov
Tahun Lahir: 1967 (Svetlitsa)
Biografi: Gemar mengukir kayu sejak kecil. Dilatih sebagai jurutera pemprosesan logam dan pernah bekerja sebagai jurutera reka bentuk. Suka memancing dan bermain bola tampar. Pada 1988, berkahwin dengan isterinya, Tanya. Mereka mempunyai seorang anak perempuan. Dia selalu berminat tentang hal-hal rohani. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1993
Igor Turik
Tahun Lahir: 1968 (Nelidovo)
Biografi: Bekerja sebagai jurugambar dan pereka bentuk seni bina. Belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada 1990-an. Sangat kagum dengan kandungan Bible yang selaras dan konsisten. Dibaptis pada 1998 dan berkahwin pada 2002. Mempunyai seorang anak lelaki dan anak perempuan. Berminat dengan fotografi, videografi, dan elektronik radio
Yuriy Vaag
Tahun Lahir: 1975 (Lesosibirsk)
Biografi: Dilatih sebagai operator kren. Kini membuat kerja juruelektrik dan penyenggaraan bangunan. Semasa dia berkhidmat dalam tentera, saudara perempuannya memperkenalkan Bible kepadanya. Dia melihat kesan baik yang dialami saudara perempuannya setelah menerapkan ajaran Bible. Maka dia digerakkan untuk belajar Bible juga. Dibaptis pada 1996 dan berkahwin dengan Svetlana pada tahun yang sama. Mereka mempunyai seorang anak lelaki dan anak perempuan
Sejarah Kes
Pada 17 September 2018, Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) dan unit pasukan khas melakukan serbuan besar-besaran di kawasan Perm. Sekurang-kurangnya 10 buah rumah saudara saudari kita digeladah. Para pegawai telah merampas duit, telefon bimbit, dan alat-alat elektronik lain. Viktor dan Igor ditahan untuk beberapa hari dan seterusnya ditahan dalam rumah hampir empat bulan. Buat masa sekarang, mereka dikenakan pelbagai sekatan. Nama-nama mereka juga dimasukkan dalam senarai ekstremis Rusia.
Setiap saudara kita telah menunjukkan keberanian yang luar biasa dan mengekalkan sukacita walaupun menghadapi cabaran ini.
Yuriy mengatakan bahawa dia lebih kerap berdoa kepada Yehuwa sekarang. Dia juga sentiasa merenungkan bagaimana Yehuwa telah menyokong dan menguatkannya. Dia berkata, “Yosua 1:7 bantu saya untuk bertenang. Ayat itu beri saya bimbingan yang saya perlu terapkan. Saya dapat rasa bahawa Yehuwa sedang bantu dan prihatin terhadap saya.”
Semasa menghadapi cabaran, Viktor dibantu untuk tetap tenang dengan merenungkan tentang organisasi Tuhan. Dia menjelaskan, “Saya cuba bayangkan keagungan Yehuwa, organisasi-Nya di syurga dan di bumi, persaudaraan Kristian kita yang unggul, kerja penyebaran yang meluas, dan kebenaran Bible yang indah dan logik. Semua itu bantu saya untuk tidak bertumpu kepada diri sendiri. Dengan serta-merta, saya dapat merasai ketenangan hati.”
Setelah pulang ke rumah, Igor mengingat kembali situasi lucu yang dialaminya. Dia menerangkan, “Semasa ditahan, anak perempuan saya melukis gambar dunia baharu untuk menggalakkan saya. Tetapi para pegawai enggan beri lukisan itu kepada saya. Isteri saya kata bahawa mereka mengkaji lukisan itu lama sekali. Akhirnya mereka beri gambar itu balik kepada isteri saya, sambil berkata, ‘Lukisan ini ialah pelan melarikan diri dari penjara. Ia tidak dibenarkan sama sekali!’” Igor menyambung, “Ya, betul juga. Kita memang mahu melarikan diri dari dunia jahat ini ke dunia baharu!”
Kita yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan curahkan kuasa suci-Nya untuk bantu saudara saudari kita dan keluarga mereka. Sesungguhnya, Yehuwa akan memberi mereka kekuatan yang diperlukan untuk mengharungi cabaran ini.—Efesus 3:20.