20 JUN 2018
RUSIA
Semakin Banyak Saksi di Rusia Dipenjarakan Selepas Rumah Mereka Diserbu
Sepanjang bulan lalu, pihak berkuasa di Rusia meneruskan kempen untuk menyekat kegiatan para Saksi dengan menangkap dan memenjarakan mereka. Atas alasan untuk melawan kegiatan ekstremis, pihak polis telah menyerbu rumah-rumah Saksi di Birobidzhan, Khabarovsk, Magadan, Orenburg, Naberezhnye Chelny, Perm, Pskov, Saratov, dan Tomsk. Lebih daripada 15 saudara ditangkap, maka jumlah Saksi yang dipenjarakan dan menantikan perbicaraan kini berjumlah 20 orang. Dua orang lagi ditahan di rumah, dan sekurang-kurangnya 15 Saksi (ada antara mereka yang berumur 70-an dan 80-an) yang tidak dibenarkan untuk meninggalkan daerah tempat tinggal mereka. Pada 14 Jun 2018, lebih daripada 40 Saksi-Saksi Yehuwa telah didakwa dan jika disabitkan bersalah, mereka mungkin dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Sebelum ini, kerajaan Rusia telah menyatakan dalam mahkamah bahawa larangan yang dikenakan atas perbadanan sah Saksi-Saksi Yehuwa tidak mempengaruhi hak Saksi untuk mengamalkan agama mereka. Tetapi kini, pihak berkuasa secara terang-terang melanggar pernyataan mereka itu dan menyalahgunakan Artikel 282 dalam Kanun Jenayah. Mereka menuduh bahawa para Saksi mengambil bahagian, mengatur, atau memberikan sokongan kewangan kepada organisasi yang “ekstremis.” Namun hakikatnya ialah kerajaan Rusia bukannya melawan kegiatan ekstremis, sebaliknya, sedang menyeksa rakyat dan menyekat kebebasan mereka untuk beribadat secara damai.
Pihak Berkuasa Menyerbu, Menangkap, dan Menahan Para Saksi
12 Jun 2018, Saratov. Pihak polis telah menyerbu dan menggeledah rumah beberapa orang Saksi. Sekurang-kurangnya 10 orang telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Semasa sebuah rumah Saksi diserbu, pihak berkuasa sengaja meletakkan bahan bacaan yang dilarang dalam rumah itu. Bahan-bahan itu telah dilarang oleh mahkamah Rusia sebelum ini. Antara lima saudara yang ditahan, dua orang kemudiannya dibebaskan dan tiga lagi masih ditahan. Konstantin Bazhenov dan Feliks Makhammadiyev dituduh ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis,’ manakala tuduhan atas Aleksey Budenchuk belum dapat dipastikan. Pada 14 Jun 2018, Mahkamah Daerah Frunzenskiy di Saratov memutuskan untuk menahan Konstantin Bazhenov dan Feliks Makhammadiyev sebelum dibicarakan hingga 12 Ogos 2018. Mahkamah yang sama juga memutuskan untuk menahan Aleksey Budenchuk sebelum dibicarakan, namun untuk tempoh yang belum ditentukan. Dalam kes yang berbeza, pihak polis mengarahkan seorang Saksi untuk menandatangani pernyataan untuk tidak meninggalkan daerah tempat tinggalnya.
3 Jun 2018, Tomsk. Pada pukul 10 pagi, anggota polis dan Angkatan Tentera Khas Rusia (Spetsnaz) telah menyerbu rumah dua orang Saksi di Tomsk, Siberia. Kira-kira 30 orang Saksi telah ditahan, termasuk seorang wanita berumur 83 tahun. Barang-barang dirampas dari rumah dan kereta mereka, dan para Saksi dibawa ke Pusat untuk Membanteras Kegiatan Ekstremis.
Di sana, Ivan Vedrentsev, Aleksandr Ivanov, dan Vyacheslav Lebedev telah menyoal siasat beberapa Saksi hingga pukul 2 pagi, dan bahkan ada Saksi yang diugut akan dipecat dari pekerjaannya. Semasa siasatan itu, ambulans telah dihantar ke pusat itu beberapa kali, dan sekurang-kurangnya seorang Saksi telah dimasukkan dalam hospital.
Salah seorang Saksi, Sergey Klimov, telah ditahan. Pada 5 Jun 2018, Mahkamah Daerah Oktyabrskiy di Tomsk mengarahkan agar dia dibiarkan dalam tahanan sebelum perbicaraan hingga 4 Ogos 2018. Keputusan ini dibuat berdasarkan tuduhan bahawa dia ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Para hakim telah menolak rayuannya untuk ditahan di rumah atau diikat jamin.
3 Jun 2018, Pskov. Polis menyerbu beberapa buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Pskov. Di sebuah rumah, semua orang di sana ditahan dan disoal siasat, termasuk dua orang pelawat bukan Saksi. Beberapa orang Saksi, termasuk Gennadiy Shpakovsky, telah dibawa ke Ibu Pejabat Serantau Pskov Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) untuk siasatan lanjut. Mereka yang dibawa ke balai polis pula didesak untuk memberikan bukti untuk mensabitkan Gennadiy Shpakovsky. Pihak berkuasa mendakwa bahawa dia melakukan kegiatan jenayah, iaitu ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Walaupun dia kemudiannya dibebaskan, pihak berkuasa mungkin mendakwanya lagi pada bila-bila masa.
30 Mei 2018, Khabarovsk. Pihak polis menangkap Ivan Puyda selepas menyerbu dan menggeledah rumahnya. Dia dibawa ke Magadan dan ditahan di sana. Pada 1 Jun 2018, Mahkamah Daerah Zheleznodorozhniy memutuskan untuk membiarkannya ditahan sebelum dibicarakan hingga 30 Julai 2018, atas tuduhan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’
30 Mei 2018, Magadan. Polis yang bersenjata dan bertopeng telah menyerbu beberapa buah rumah di Magadan. Mereka menangkap dan menahan Konstantin Petrov, Yevgeniy Zyablov, dan Sergey Yerkin. Pada 1 Jun 2018, Mahkamah Bandar Magadanskiy mengarahkan mereka untuk ditahan hingga 29 Julai 2018 sebelum dibicarakan, atas dakwaan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’
29 Mei 2018, Shuya, Wilayah Ivanovo. Pihak berkuasa telah menahan Dmitriy Mikhailov buat kali kedua. Selepas serbuan pada 20 April, pihak polis mendakwa bahawa Dmitriy Mikhailov ‘terlibat dalam kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Pada 29 Mei, Dmitriy Mikhailov dituduh ‘memberikan sokongan kewangan kepada kegiatan ekstremis.’ Pada 3 Jun 2018, Mahkamah Bandar Shuya mengarahkan bahawa dia ditahan sebelum dibicarakan hingga 19 Julai 2018.
27 Mei 2018, Naberezhnye Chelny, Republik Tatarstan. Dalam satu malam, ejen FSB menyerbu dan menggeledah 10 buah rumah dan merampas alat elektronik, telefon bimbit, dan pasport. Ilkham Karimov, Konstantin Matrashov, dan Vladimir Myakushin telah ditangkap dan ditahan. Pada 29 Mei 2018, Mahkamah Daerah Naberezhnochelninskiy memutuskan bahawa mereka harus ditahan sebelum dibicarakan hingga 25 Julai 2018, atas tuduhan mengatur, mengumpulkan ahli, dan menyertai kegiatan organisasi “ekstremis.” Kemudiannya, Aydar Yulmetyev juga ditangkap. Pada 31 Mei 2018, mahkamah memutuskan untuk menahannya sebelum dibicarakan.
22 Mei 2018, Perm. Sejurus selepas Aleksandr dan Anna Solovyev tiba di Perm dari Moldova, pihak polis menunggu mereka di stesen kereta api dan menggari Aleksandr Solovyev. Barang-barangnya dirampas, dan pasangan suami isteri ini dibawa ke balai polis dalam kenderaan yang berasingan. Semasa Saudara Solovyev berada dalam tahanan, pihak polis menggeledah rumahnya dan menyoal siasat isterinya. Pada 24 Mei 2018, Mahkamah Daerah Sverdlovskiy memutuskan untuk menahannya di rumah atas tuduhan ‘menyertai kegiatan organisasi ekstremis.’
17 Mei 2018, Birobidzhan. Dalam suatu operasi khas yang dinamakan Hari Penghakiman, sejumlah 150 anggota polis dan ejen FSB menyerbu 22 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Telefon bimbit, tablet, dan wang dirampas. Antara 34 orang Saksi, salah seorang daripadanya ditangkap dan dipenjarakan. Pada 18 Mei, Alam Aliev diperintahkan oleh Mahkamah Daerah Birobidzhanskiy supaya ditahan sebelum dibicarakan hingga 13 Julai 2018, atas dakwaan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Pada 25 Mei 2018, Hakim A. V. Sizova dari Mahkamah Rayuan Wilayah Autonomi Yahudi menerima rayuan Saudara Aliev dan membatalkan keputusan untuk menahannya sebelum dibicarakan.
16 Mei 2018, Orenburg. Pihak polis telah menyerbu dan menggeledah rumah-rumah Saksi serta menangkap Aleksandr Suvorov, Vladimir Kochnev, dan Vladislav Kolbanov. Pada 18 Mei, Mahkamah Daerah Promyshlenniy memutuskan bahawa Saudara Kolbanov ditahan di rumah atas tuduhan ‘memberikan sokongan kewangan kepada kegiatan ekstremis.’ Pada hari seterusnya, mahkamah yang sama memerintahkan agar Aleksandr Suvorov dan Vladimir Kochnev ditahan sebelum dibicarakan hingga 14 Julai 2018 atas tuduhan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Tujuh orang Saksi juga disuruh menandatangani pernyataan yang melarang mereka meninggalkan bandar selagi penyiasatan masih dijalankan.
Adakah Bantahan dari Pihak Antarabangsa Dapat Mengubah Keadaan?
Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat telah pun mengisytiharkan pernyataan untuk mengutuk kerajaan Rusia kerana menyekat hak asasi manusia. Pihak EU meminta Rusia “menghormati tuntutan antarabangsa mengenai kebebasan beragama atau berkepercayaan, kebebasan bercakap, dan kebebasan untuk berkumpul.” Amerika Syarikat pula mendesak Rusia untuk ‘membebaskan semua yang dipenjarakan kerana mengamalkan agama atau kepercayaan mereka.’
Philip Brumley, seorang peguam Saksi-Saksi Yehuwa berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia sangat sedih melihat penganiayaan yang terjadi kepada rakan seiman mereka di Rusia. Saksi-Saksi Yehuwa hari ini sedang mengalami sekatan sepertimana yang berlaku kepada Saksi semasa pemerintahan Komunis dulu. Perbuatan dan penganiayaan yang dilancarkan Rusia menunjukkan bahawa hak asasi manusia tidak dijunjung dan sama sekali tidak dihormati.”
Saksi-Saksi Yehuwa yang telah ditahan sebelum dibicarakan *
Dennis Christensen
45 tahun, Oryol, ditahan sejak 25 Mei 2017, dan diperintahkan untuk dipenjarakan hingga 1 Ogos 2018.
Valentin Osadchuk
42 tahun, Vladivostok, ditahan sejak 19 April 2018, dan diperintahkan untuk dipenjarakan hingga 20 Jun 2018.
Viktor Trofimov
61 tahun, Polyarny, ditahan sejak 18 April 2018, dan diperintahkan untuk dipenjarakan hingga 11 Oktober 2018.
Roman Markin
44 tahun, Polyarny, ditahan sejak 18 April 2018, dan diperintahkan untuk dipenjarakan hingga 11 Oktober 2018.
Anatoliy Vilitkevich
31 tahun, Ufa, ditahan sejak 10 April 2018, dan diperintahkan untuk dipenjarakan hingga 2 Julai 2018.
^ Untuk maklumat lanjut, sila lihat jw.org Ruangan Berita, rencana yang bertajuk “Saksi-Saksi Yehuwa Mula Ditentang dengan Hebat di Rusia.”