11 OKTOBER 2024
SEPANYOL
Dewan Agung Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Menjunjung Kebebasan Saksi-Saksi Yehuwa untuk Memilih Rawatan Perubatan
Keputusan Mahkamah Sebulat Suara dalam Kes Pindo Mulla lwn. Spain
Pada 17 September 2024, Dewan Agung Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah membuat keputusan yang sebulat suara dalam soal hak pesakit untuk memilih rawatan perubatan. Mahkamah telah menyatakan bahawa seorang pesakit berhak memilih rawatan yang selaras dengan pegangan agamanya. Keputusan ini amat penting kerana kesemua 46 negara yang menganggotai Majlis Eropah tertakluk kepada perintah mahkamah itu dan harus menghormati hak pesakit untuk membuat pilihan berkenaan rawatan perubatan.
Pada Jun 2018, Saudari Rosa Pindo Mulla yang berumur 47 tahun telah dimasukkan ke sebuah hospital di Madrid, Sepanyol, untuk pembedahan invasif minimum. Sebelum itu, Rosa telah memberi para doktor dokumen arahan penjagaan kesihatan. Selain itu, dia menjelaskan pendiriannya kepada mereka dan bahawa hati nuraninya yang dilatih Bible tidak mengizinkannya menerima transfusi darah. (Kisah 15:28, 29) Kakitangan hospital juga mencatatkan arahan itu dalam maklumat perubatan Rosa. Tetapi, seorang hakim telah memberikan kelulusan kepada para doktornya untuk melakukan pembedahan yang lebih invasif dan memberikan transfusi darah kepadanya. Semua ini telah berlaku tanpa pengetahuan Rosa. Selepas pembedahannya, Rosa amat terkejut dan hancur hati semasa mengetahui bahawa kakitangan hospital tidak mengendahkan arahannya yang jelas dan pendiriannya untuk menolak transfusi darah.
Semasa mengumumkan keputusan kes Pindo Mulla lwn. Spain, kesemua 17 hakim Dewan Agung setuju bahawa “orang dewasa yang memahami risiko yang terlibat berhak menolak” mana-mana rawatan perubatan yang tidak diinginkan. Mahkamah mengesahkan bahawa “salah satu prinsip terpenting dalam perkhidmatan perubatan ialah menghormati hak pesakit untuk menerima atau menolak suatu rawatan.”
Kita bersukacita dengan keputusan mahkamah yang menjunjung hak Saudari Pindo Mulla dan hak jutaan orang untuk memilih rawatan yang selaras dengan pegangan hidup atau agama mereka.