Lompat ke kandungan

Kiri: Sebuah bangunan yang musnah akibat pertempuran di Khartoum, Sudan. Kanan: Sebuah keluarga Saksi yang melarikan diri disambut dengan ramah oleh saudara saudari di bandar Kosti, Sudan

3 OGOS 2023
SUDAN

Pemberian Rohani Menguatkan Saudara Saudari yang Melarikan Diri daripada Pertempuran di Sudan

Pemberian Rohani Menguatkan Saudara Saudari yang Melarikan Diri daripada Pertempuran di Sudan

Seperti yang dilaporkan di bahagian “Berita” di jw.org, pada 12 Mei 2023, pertempuran antara dua pasukan yang bersenjata di Khartoum, ibu negara Sudan, telah menyebabkan ribuan orang terbunuh atau tercedera. Sesetengah saudara saudari kita yang tinggal di Khartoum atau berdekatan bandar itu, telah membuat keputusan untuk melarikan diri ke tempat lain. Pada masa yang susah itu, bahan bacaan Bible dan perjumpaan Kristian yang disediakan oleh organisasi Yehuwa telah menguatkan dan menggalakkan mereka.

Ajuja (baris depan, kiri) menghadiri perjumpaan sidang di Kassala, Sudan

Contohnya, beberapa hari selepas pertempuran itu bermula, Ajuja, seorang saudari perintis yang berumur 23 tahun dari Khartoum, telah menghadiri perjumpaan secara online. Semasa perjumpaan itu, rencana Menara Pengawal yang dibincangkan bertajuk ‘Peliharalah Daya Pemikiran Kamu dan Berjaga-Jagalah’! Dia berkata, “Perbincangan rencana ini mengingatkan saya bahawa peristiwa yang berlaku di sekeliling saya sedang memenuhi nubuat Bible. Hal ini telah menggalakkan dan menguatkan saya.” Apabila keadaan menjadi semakin teruk, Ajuja memutuskan untuk meninggalkan bandar itu. Dia kata, “Dalam perjalanan, saya berasa lebih lega semasa mendengar lagu asal dan rakaman audio yang lain. Saya berdoa kepada Yehuwa agar dapat sampai [di Kassala] dengan selamat.” Doanya dikabulkan, dan dia disambut dengan ramah oleh rakan seiman di Kassala.

Eli (tengah) terus giat mengongsi mesej harapan daripada Bible kepada penduduk di Kosti, Sudan

Eli, yang berumur 24 tahun, ialah seorang penatua dan perintis dari El Haj Yousif, sebuah daerah yang berdekatan Khartoum. Dia melarikan diri ke bandar Kosti yang terletak kira-kira 330 kilometer dari rumahnya. Saudara saudari di Kosti menyambut kedatangannya serta menyediakan tempat tinggal dan makanan baginya. Mengenang kembali masa itu, Eli kata dia sangat digalakkan oleh ayat-ayat harian yang dia baca sepanjang minggu itu. Contohnya, Mazmur 91:2 mengingatkan Eli bahawa dia harus tetap yakin dan jadikan Yehuwa kubu dan tempat naungannya. Eli kata, “Memang tiada keamanan sejati dalam dunia yang kacau-bilau ini. Pemimpin politik atau tentera tidak dapat selesaikan masalah ini. Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan segala masalah di dunia dan merupakan harapan kita yang sejati.”

Tia dan isterinya, Julia, ialah perintis dari Omdurman, yang juga terletak berhampiran Khartoum. Apabila pertempuran di Khartoum bertambah teruk, mereka teringat tentang sebuah rencana Menara Pengawal yang dibincangkan baru-baru ini. Rencana itu menggalakkan orang Kristian untuk bertindak dengan segera selepas membuat suatu keputusan. Apabila keadaan di bandar mereka menjadi semakin teruk, Tia dan Julia buat keputusan untuk meninggalkan kawasan itu secepat mungkin. Selepas mereka tiba di tempat baharu dengan selamat dan disambut oleh saudara saudari tempatan, mereka bersyukur dan sangat menghargai bimbingan daripada rencana Menara Pengawal itu. Julia kata, “Kami sangat bangga dan bersyukur kerana dapat menyertai organisasi Yehuwa yang pengasih. Sememangnya, Yehuwa telah membantu kami dan tangan-Nya tidak terlalu pendek untuk menyelamatkan kami.”

Tia dan Julia (kanan) mengendalikan pembelajaran Bible dengan mereka yang berminat selepas meninggalkan kawasan pertempuran

Tidak lama selepas tiba di tempat baharu yang selamat, saudara saudari yang disebutkan dalam rencana ini dapat kembali ke rutin rohani mereka. Mereka dapat menghadiri perjumpaan, menginjil, dan bahkan memulakan pembelajaran Bible. Semua kegiatan rohani ini dan sokongan daripada rakan seiman di sidang baharu telah memberi mereka kekuatan dan sukacita.

Kita sangat digalakkan apabila melihat saudara saudari kita di Sudan terus bergantung pada Yehuwa dan Firman-Nya untuk memperoleh kelegaan dan harapan.—Roma 15:4, 5.