Lompat ke kandungan

Saudara Rasul Rozbayev

23 MAC 2021
TURKMENISTAN

Saudara Rasul Rozbayev, Umur 21 Tahun, Disabitkan Kali Kedua sebagai Pembantah Ikut Nurani

Saudara Rasul Rozbayev, Umur 21 Tahun, Disabitkan Kali Kedua sebagai Pembantah Ikut Nurani

Keputusan Mahkamah

Pada 16 Mac 2021, Mahkamah di Turkmenistan mengumumkan keputusan kes Saudara Rasul Rozbayev. Dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Inilah kali kedua dia dihukum kerana berpendirian neutral.

Profil

Rasul Rozbayev

  • Tahun Lahir: 1999 (Khallang)

  • Biografi: Mempunyai dua kakak dan satu adik lelaki. Selepas tamat sekolah menengah, dia belajar menjadi tukang gunting rambut. Suka berenang, bermain bola sepak dan bola tampar

    Ibu bapanya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa ketika dia masih kecil. Rasul dibaptis pada 2013

Sejarah Kes

Kali pertama Saudara Rasul Rozbayev disabitkan bersalah sebagai pembantah ikut nurani adalah pada 19 Disember 2017. Dia dijatuhkan hukuman kerja berat dua tahun sebagai proses pemulihan. Dia ditugaskan untuk memelihara sebidang tanah, menanam gandum, dan memberi 20 peratus daripada hasilnya kepada kerajaan. Tempat itu terletak sangat jauh dari rumahnya. Dia harus berjalan kaki kerana tidak mempunyai kenderaan.

Menurut undang-undang Turkmenistan, pembantah ikut nurani boleh disabitkan untuk kali kedua. Jadi, pada 22 April 2020, sekali lagi Rasul melaporkan diri ke pejabat rekrut untuk menolak khidmat tentera. Seterusnya dia harus menghadap pegawai tentera, disoal siasat, menjalani pemeriksaan kesihatan, dan diancam akan didakwa berulang kali. Semua itu berterusan berbulan-bulan lamanya. Kemudian, kesnya diserahkan kepada pihak pendakwa pada 22 Januari 2021.

Rasul menjadi berani kerana belajar daripada saudara saudari yang menempuh cabaran serupa. Dia berkata, “Teladan mereka ajar saya untuk bergantung pada Yehuwa . . . dan menguatkan saya semasa menghadapi cubaan. Saya dapat menyenangkan hati Yehuwa dan Yesus jika saya tetap setia.” Apa yang dilalui oleh Rasul juga menguji iman keluarganya. Ibu Rasul mengongsi apa yang membantunya untuk berhati cekal. Dia menjelaskan, “Daripada contoh Bible dan pengalaman dalam video, saya sedar bukan saya saja yang mengharungi cubaan ini. Ramai saudara saudari juga begitu dan mereka telah berjaya. Teladan mereka menguatkan saya untuk terus bertabah.”

Kata-kata di Mazmur 37:23, 24, sangat melegakan hati Rasul. Dengan sokongan Yehuwa, Rasul dan para saudara muda yang lain, pasti dapat tetap setia sambil memelihara iman dan terus bersukacita.