29 APRIL 2022
UKRAINE
TERKINI #7 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Lebih daripada 210,000 Orang Hadiri Peringatan
Kita berbesar hati untuk melaporkan bahawa Yehuwa telah berkati umat-Nya di Ukraine agar saudara saudari kita di seluruh negara itu dapat hadiri Peringatan kematian Yesus. Acara itu telah diadakan di beberapa Dewan Perjumpaan di barat Ukraine supaya saudara saudari yang melarikan diri dan tinggal di situ dapat hadirinya. Para saudara adakan sambutan ini kebanyakannya dalam kumpulan kecil, dan menerusi persidangan video bagi mereka yang tidak dapat meninggalkan rumah mereka.
Di kebanyakan bahagian Ukraine, siren amaran serangan udara kedengaran semasa hari Peringatan tapi pada lewat petang, bunyi siren berhenti. Sherhiy di Druzhkivka, Wilayah Donetsk jelaskan, “Kami telah berdoa agar sambutan Peringatan tidak akan tergendala kerana pengeboman. Sejurus sebelum Peringatan, pengeboman berhenti dan tidak ada siren amaran serangan udara kedengaran.”
Sekumpulan penyiar yang lanjut usia dan uzur di Nemishaeve (berdekatan Kyiv), tidak dapat hadiri perjumpaan lebih daripada sebulan. Mereka berdoa agar dapat hadiri Peringatan. Vitaliy, seorang penatua, bantu kumpulan itu untuk memperingati kematian Yesus. Dia kata, “Tiada bekalan elektrik dan pemanasan. Jadi, kami adakan Peringatan dengan lampu suluh. Kami tiada muzik. Jadi, anak perempuan saya mainkan violin supaya kami dibantu untuk nyanyi lagu.”
Oleksandr, seorang penatua yang tinggal di zon perang ceritakan apa yang telah berlaku. Dia kata, “Semasa kempen jemputan Peringatan, kami tak dapat tulis surat kepada orang di kawasan penyebaran sidang kami kerana rumah mereka dibom dan tiada sesiapa di situ. Maka, kami jemput kenalan, orang yang kami jumpa di tingkat bawah tanah, dan orang yang lari bersama kami. Ramai yang tak pernah dengar tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Ramai antara mereka juga ikut acara Peringatan itu.”
Walaupun laporan lengkap daripada semua sidang di Ukraine belum tersedia, apa yang diketahui setakat ini ialah lebih daripada 210,000 orang menghadiri sambutan Peringatan.
Seorang saudara di Ukraine mengungkapkan perasaannya tentang Peringatan itu. Dia kata, “Sebagaimana rumah api meyakinkan pelayar bahawa dia semakin mendekati persisiran pantai, sambutan Peringatan meyakinkan saya bahawa hari Yehuwa semakin dekat. Keyakinan saya semakin diteguhkan oleh Peringatan tahun ini.”
Setakat 21 April 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
35 penyiar meninggal
60 penyiar tercedera
43,792 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
374 rumah musnah
347 rumah alami kerosakan besar
874 rumah alami kerosakan kecil
1 Dewan Perjumpaan musnah
10 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
27 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
44,971 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
19,961 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian