Satu Petrus 3:1-22

  • Suami dan isteri (1-7)

  • Bersimpati; berusaha berdamai (8-12)

  • Menderita kerana berbuat benar (13-22)

    • Bersedia untuk membela harapan (15)

    • Pembaptisan dan hati nurani yang bersih (21)

3  Demikian juga, hai para isteri, taatilah suami kamu,+ supaya jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa,+ 2  kerana mereka sudah menyaksikan kelakuan kamu yang murni+ dan sikap hormat kamu yang mendalam. 3  Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain, misalnya dengan gaya rambut yang keterlaluan,* dengan perhiasan emas,+ atau dengan pakaian yang mewah. 4  Sebaliknya, hiaslah batin kamu dengan sikap tenang dan lemah lembut.+ Itulah perhiasan yang tidak dapat musnah dan yang sangat bernilai di mata Tuhan. 5  Demikianlah caranya wanita suci pada zaman dahulu, yang berharap kepada Tuhan, menghias diri. Mereka taat kepada suami mereka, 6  seperti Sara yang mematuhi Abraham dengan memanggilnya tuan.+ Kamulah anak-anak Sara jika kamu terus berbuat baik dan tidak menyerah kepada rasa takut.+ 7  Demikian juga, hai para suami, teruslah tinggal dengan isteri kamu dengan penuh pengetahuan.* Hormatilah mereka,+ kerana mereka ialah kaum wanita yang merupakan bejana yang lebih lemah, dan kerana mereka juga merupakan pewaris yang akan menerima kurniaan kehidupan bersama-sama kamu.+ Dengan itu, doa-doa kamu tidak akan terhalang. 8  Akhirnya, hendaklah kamu semua seia sekata,*+ menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan,+ dan bersikap rendah hati.+ 9  Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan+ atau hinaan dengan hinaan.+ Sebaliknya, balaslah kejahatan dengan perbuatan yang baik,*+ kerana kamu dipanggil untuk mengikut haluan ini supaya kamu boleh mewarisi berkat. 10  Hal ini demikian kerana “sesiapa yang mahu menikmati kehidupan dan hidup bahagia mesti berjaga-jaga supaya tidak mengatakan apa yang jahat+ dan tidak mengucapkan dusta. 11  Hendaklah dia berpaling daripada apa yang jahat+ dan melakukan apa yang baik.+ Hendaklah dia berusaha untuk mendapatkan dan mengekalkan* kedamaian.+ 12  Mata Yehuwa* melihat orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka.+ Tetapi Yehuwa* menentang* orang yang melakukan kejahatan.”+ 13  Sesungguhnya, siapakah yang akan mencederakan kamu jika kamu berbuat baik dengan bersemangat?+ 14  Namun biarpun kamu harus menderita kerana melakukan apa yang benar, kamu akan berasa gembira.+ Walau bagaimanapun, janganlah takut akan apa yang ditakuti oleh orang lain,* dan janganlah menjadi resah.+ 15  Sebaliknya, akuilah dalam hati kamu bahawa Kristus ialah Tuan dan bahawa dia suci. Hendaklah kamu sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut+ dan hormat yang mendalam.+ 16  Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih,+ supaya orang yang mencela kamu dalam cara apa pun akan menjadi malu+ kerana kelakuan kamu yang baik sebagai pengikut Kristus.+ 17  Jika Tuhan mengizinkan kamu menderita kerana kamu melakukan apa yang baik,+ hal itu lebih baik daripada kamu menderita kerana melakukan apa yang jahat.+ 18  Hal itu demikian kerana Kristus, yang melakukan apa yang benar, mati sekali untuk selama-lamanya demi orang yang melakukan apa yang salah.+ Dengan itu, dia dapat memimpin kamu kepada Tuhan.+ Dia dibunuh dalam tubuh jasmani+ tetapi dihidupkan dalam tubuh roh.+ 19  Dalam keadaan itulah dia pergi dan menyampaikan perkhabaran* kepada roh-roh di penjara,+ 20  yang dahulunya ingkar pada zaman Nuh.+ Pada masa itu, semasa bahtera dibina,+ Tuhan menanti dengan sabar. Bahtera itu membawa beberapa orang, iaitu lapan orang,* supaya mereka selamat mengharungi air bah.+ 21  Peristiwa itu melambangkan pembaptisan yang kini menyelamatkan kamu melalui pembangkitan Yesus Kristus. Pembaptisan bukanlah penyingkiran kotoran daripada tubuh, tetapi merupakan permohonan kepada Tuhan untuk hati nurani yang bersih.+ 22  Kristus pergi ke syurga, dan kini dia berada di sebelah kanan Tuhan.+ Para malaikat, penguasa, dan pemerintah, dijadikan taat kepadanya.+

Nota Kaki

Harfiah, “dengan mengikat tocang.”
Atau “teruslah bertimbang rasa terhadap isteri kamu; teruslah memahami isteri kamu.”
Atau “sefikiran.”
Harfiah, “berkat.”
Harfiah, “mengejar.”
Harfiah, “muka Yehuwa menentang.”
Atau mungkin, “akan ancaman orang lain.”
Atau “mengisytiharkan berita penghakiman.”
Atau “jiwa.” Lihat Kamus.