Amos 8:1-14
8 Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Dalam penglihatan itu, aku nampak sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas.
2 Kemudian Tuhan berfirman kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Maka aku menjawab, “Sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas.” Yehuwa berfirman lagi, “Akhir* sudah tiba bagi umat-Ku Israel. Aku tidak akan mengampunkan dosa mereka lagi.+
3 ‘Pada hari itu, nyanyian di rumah ibadat akan berubah menjadi lagu ratapan,’+ dan ‘mayat akan bergelimpangan di merata-rata tempat sehingga keadaan menjadi sunyi sepi.’ Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, telah berfirman.+
4 Dengarlah, hai kamu yang menindas orang miskin,Dan kamu yang membinasakan orang yang rendah hati di negeri ini.+
5 Kamu berkata, ‘Bilakah perayaan bulan baharu akan berakhir,+ supaya kita dapat menjual hasil tanaman kita?Bilakah hari Sabat+ akan berlalu, supaya kita dapat menjual hasil tuaian kita?
Kita akan mengurangkan timbangan jualan kita,Tetapi kita akan menaikkan harganya.Kita akan menggunakan alat penimbang yang tidak tepat untuk menipu orang.+
6 Kita akan menjual hasil tanaman yang tidak bermutu.Kita akan membeli orang yang papa dengan perak,+Dan kita akan membeli orang yang miskin dengan harga sepasang kasut.’
7 Aku, Yehuwa, kebanggaan Yakub, bersumpah demi diri-Ku sendiri,+‘Aku tidak akan melupakan semua perbuatan jahat mereka.+
8 Seperti Sungai Nil di Mesir yang bergelora semasa banjir,Mereka akan dilanda rasa cemas dan gelisah.+
Sesungguhnya bumi akan bergegar,Dan semua penduduk bumi akan berkabung.’+
9 ‘Pada hari itu, Aku akan membuat matahari terbenam pada tengah hari,Dan Aku akan menyebabkan bumi menjadi gelap pada siang hari.Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, telah berfirman.+
10 Aku akan mengubah perayaan kamu menjadi perkabungan,+Dan semua nyanyian kamu akan bertukar menjadi lagu ratapan.
Aku akan membuat kamu semua memakai kain guni dan mencukur rambut.Aku akan menyebabkan hari itu menjadi seperti hari perkabungan atas kematian anak tunggal.Betapa peritnya penderitaan kamu pada penghujung hari itu!’
11 ‘Masanya akan tiba apabila Aku mendatangkan kebuluran di negeri ini.Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan; orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air.Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada Aku, Yehuwa.Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, telah berfirman.+
12 Dari satu laut ke laut yang lain, dan dari utara ke timur,Mereka akan mengembara ke merata tempat untuk mencari perkhabaran daripada Aku, Yehuwa,
Tetapi mereka tidak akan menemuinya.
13 Pada hari itu, para gadis* akan pengsan,Bahkan para pemuda akan rebah kerana kehausan.
14 Mereka semua telah bersumpah demi tuhan palsu di Samaria.+Mereka berkata, “Kami telah bersumpah demi tuhanmu yang hidup, hai suku Dan!”+
Mereka juga berkata, “Kami telah bersumpah demi jalan di Beer-syeba!”+
Sesungguhnya, mereka semua akan jatuh dan tidak akan bangkit lagi.’”+
Nota Kaki
^ Perkataan Ibrani bagi “akhir” dan “buah-buahan musim panas” mempunyai bunyi yang sama.
^ Atau “para gadis yang cantik.”