Bilangan 11:1-35
-
Api diturunkan ke atas orang yang bersungut (1-3)
-
Orang Israel teringin sekali makan daging (4-9)
-
Musa berasa tidak yakin (10-15)
-
Yehuwa curahkan kuasa-Nya ke atas 70 orang pemimpin (16-25)
-
Eldad dan Medad; Yosua risau akan kedudukan Musa (26-30)
-
Tuhan mendatangkan burung puyuh; umat dihukum kerana tamak (31-35)
11 Orang Israel mula bersungut-sungut terhadap Yehuwa tentang keadaan mereka. Apabila Yehuwa mendengar sungutan mereka, Dia menjadi sangat murka. Oleh itu, Yehuwa mendatangkan api kepada mereka, lalu api itu memusnahkan sebilangan orang yang berada di luar perkhemahan.
2 Kemudian orang Israel berseru kepada Musa meminta tolong. Maka Musa berdoa kepada Yehuwa,+ lalu api itu padam.
3 Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Tabera,* kerana Yehuwa mendatangkan api kepada mereka di situ.+
4 Terdapat sebilangan orang asing+ dalam kalangan orang Israel. Mereka teringin sekali+ makan makanan yang biasa dimakan oleh mereka dahulu, sehingga orang Israel juga mula terikut-ikut dan bersungut-sungut. Orang Israel berkata, “Siapa yang akan memberi kita daging untuk dimakan?+
5 Kita masih ingat akan ikan yang biasa kita makan di Mesir tanpa membayar apa-apa. Kita juga ingat akan timun, tembikai, bawang perai, bawang merah, dan bawang putih di sana!+
6 Tetapi sekarang kita hampir mati. Kita tiada makanan lain kecuali manna.”+
7 Manna+ kelihatan seperti biji-biji ketumbar+ dan warnanya seperti damar putih.
8 Orang Israel akan pergi mengumpulkan manna lalu menggilingnya dengan batu kisaran atau menumbuknya dengan lesung sehingga menjadi tepung. Kemudian mereka akan merebusnya di dalam belanga atau membuatnya menjadi roti bulat.+ Roti itu rasanya seperti roti manis yang dicampuri minyak.
9 Pada waktu malam, manna akan jatuh bersama-sama embun di kawasan perkhemahan.+
10 Musa mendengar bahawa setiap keluarga orang Israel bersungut-sungut di depan khemah masing-masing. Oleh itu, Yehuwa menjadi sangat murka,+ dan Musa juga berasa sangat tidak senang hati.
11 Kemudian Musa berkata kepada Yehuwa, “Mengapa Engkau membiarkan aku menderita? Adakah Engkau tidak berkenan kepadaku sehingga Engkau membebani aku dengan tanggungjawab atas semua orang ini?+
12 Adakah aku yang telah mengandungkan semua orang ini? Adakah aku yang telah melahirkan mereka, sehingga Engkau menyuruh aku untuk mendukung mereka seperti seorang pengasuh mendukung bayi, ke tempat yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka?+
13 Di mana aku akan mencari daging untuk semua orang ini? Mereka terus-menerus bersungut terhadapku dan berkata, ‘Kami mahu makan daging!’
14 Aku tidak sanggup memikul tanggungjawab atas semua orang ini seorang diri. Tanggungjawab ini terlalu berat bagiku.+
15 Jika beginilah cara Engkau memperlakukan aku, lebih baik Engkau membunuh aku sekarang juga.+ Tetapi jika Engkau berkenan kepadaku, janganlah biarkan aku menanggung penderitaan ini lagi.”
16 Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pilihlah 70 orang pemimpin yang layak dan yang dihormati daripada kalangan para pemimpin orang Israel.+ Bawalah mereka ke khemah pertemuan dan suruhlah mereka berdiri di sana bersamamu.
17 Aku akan turun+ dan berfirman kepadamu di sana,+ dan Aku akan memberi mereka sebahagian daripada kuasa suci*+ yang sudah Kuberikan kepadamu. Mereka akan membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak perlu lagi memikulnya seorang diri.+
18 Beritahulah umat Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok,+ kerana kamu akan makan daging. Yehuwa telah mendengar+ kamu bersungut dan berkata, “Siapa yang akan memberi kita daging untuk dimakan? Keadaan kita lebih baik di Mesir.”+ Yehuwa pasti akan memberi kamu makan daging.+
19 Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau 2 hari, atau 5, atau 10, ataupun 20 hari,
20 tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi jemu dan muak.+ Hal ini demikian kerana kamu telah menolak Yehuwa, yang berada dalam kalangan kamu. Kamu telah bersungut terhadap-Nya dan berkata, “Mengapa kita meninggalkan Mesir?”’”+
21 Kemudian Musa berkata, “Terdapat 600,000 orang lelaki+ yang ada bersamaku. Tetapi Engkau berfirman, ‘Aku akan memberi mereka daging yang cukup untuk dimakan selama satu bulan.’
22 Meskipun semua lembu dan bebiri disembelih, adakah semua itu cukup bagi umat ini? Meskipun semua ikan di laut ditangkap, adakah semua itu cukup bagi mereka?”
23 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Adakah kuasa-Ku terbatas?+ Sekarang engkau akan melihat sama ada apa yang Aku firmankan itu benar-benar berlaku atau tidak. Akulah Yehuwa.”
24 Maka Musa keluar dan menyampaikan firman Yehuwa kepada orang Israel. Dia mengumpulkan 70 orang pemimpin daripada kalangan para pemimpin orang Israel, lalu menyuruh mereka berdiri di sekeliling khemah suci.+
25 Kemudian Yehuwa turun di dalam awan+ dan berfirman kepada Musa.+ Dia mengambil sebahagian daripada kuasa suci+ yang diberikan-Nya kepada Musa lalu memberikannya kepada 70 orang pemimpin itu. Sebaik sahaja mereka menerima kuasa suci tersebut, mereka mula berkelakuan seperti nabi.+ Tetapi selepas itu, mereka tidak pernah berkelakuan seperti itu lagi.
26 Dua orang daripada 70 orang pemimpin yang dipilih itu, iaitu Eldad dan Medad, tidak ada di khemah suci kerana mereka masih berada di perkhemahan. Namun oleh sebab mereka sudah dipilih, kuasa suci Tuhan turun ke atas mereka, lalu mereka pun mula berkelakuan seperti nabi.
27 Seorang pemuda lari keluar dan melaporkan hal itu kepada Musa. Dia berkata, “Eldad dan Medad sedang berkelakuan seperti nabi!”
28 Kemudian Yosua+ anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka berhenti!”+
29 Tetapi Musa menjawab, “Adakah kamu risau bahawa hal itu akan menjejaskan kedudukanku? Sebenarnya, aku sangat berharap agar semua umat Yehuwa akan menjadi nabi, dan agar Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas mereka.”
30 Selepas itu, Musa dan para pemimpin Israel balik ke perkhemahan.
31 Kemudian Yehuwa menyebabkan angin kencang bertiup dari laut. Angin itu membawa burung-burung puyuh ke kawasan perkhemahan.+ Burung-burung itu bertimbun-timbun di sekeliling perkhemahan sehingga hampir satu meter* tingginya.* Jika orang keluar dari perkhemahan dan membuat perjalanan selama sehari pun, mereka masih dapat menjumpai burung puyuh.
32 Maka sepanjang hari dan sepanjang malam itu serta sepanjang hari berikutnya, orang Israel terus menangkap burung puyuh. Jumlah burung puyuh yang ditangkap setiap orang sekurang-kurangnya dapat mengisi 10 bekas besar,* dan mereka menjemur burung-burung itu di sekeliling perkhemahan.
33 Namun sementara mereka masih makan daging burung puyuh, Yehuwa mendatangkan wabak yang menyebabkan banyak orang mati,+ kerana Yehuwa sangat murka terhadap mereka.
34 Maka mereka menamakan tempat itu Kibrot-hataawa,*+ kerana di situlah mereka menguburkan semua orang yang tamak dan rakus.+
35 Kemudian dari Kibrot-hataawa, umat Israel berangkat ke Hazerot+ dan tinggal di situ.
Nota Kaki
^ Maksudnya “Membakar,” iaitu kebakaran besar.
^ Harfiah, “hampir 2 hasta.” Lihat Lampiran B14.
^ Atau “Burung-burung itu terbang rendah sekali, serendah 1 meter dari permukaan tanah.”
^ Atau “sekurang-kurangnya 10 homer.” Lihat Lampiran B14.
^ Maksudnya “Kuburan Orang yang Rakus.”