Hakim-Hakim 8:1-35
8 Kemudian orang Efraim berkata kepada Gideon, “Mengapakah kamu tidak memanggil kami semasa kamu melawan orang Midian?+ Mengapakah kamu memperlakukan kami sedemikian?” Lalu mereka bertengkar sengit dengan Gideon.+
2 Tetapi Gideon berkata kepada mereka, “Pencapaian aku tidak dapat menandingi pencapaian kamu. Bukankah apa yang dilakukan oleh suku Efraim+ jauh lebih hebat daripada apa yang dilakukan oleh keturunan Abi-ezer?*+
3 Tuhan telah menyerahkan dua orang pemimpin Midian, iaitu Oreb dan Zeeb,+ ke dalam tangan kamu. Apalah jasaku jika dibandingkan dengan perbuatan kamu itu!” Setelah Gideon berkata begitu, redalah kemarahan mereka.
4 Kemudian Gideon dan 300 orang askarnya datang ke Sungai Yordan lalu menyeberanginya. Mereka letih tetapi mereka masih terus mengejar musuh.
5 Ketika mereka sampai di Sukot, Gideon berkata kepada penduduk di situ, “Tolonglah berikan roti kepada orang yang mengikut aku. Mereka sudah letih dan aku sedang mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja orang Midian itu.”
6 Tetapi para penguasa Sukot berkata, “Mengapa kami harus memberi tenteramu roti? Sudahkah Zebah dan Salmuna berada dalam genggamanmu?”
7 Maka Gideon menjawab, “Kerana kamu berkata demikian, apabila Yehuwa menyerahkan Zebah dan Salmuna ke dalam tanganku, aku akan mencambuk tubuh kamu dengan duri dari padang belantara.”+
8 Kemudian Gideon meneruskan perjalanannya ke Penuel lalu membuat permintaan yang sama. Tetapi penduduk Penuel memberikan jawapan yang sama seperti penduduk Sukot.
9 Oleh itu Gideon berkata kepada penduduk Penuel, “Apabila aku pulang dengan selamat, aku akan merobohkan menara kota ini.”+
10 Sementara itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor bersama askar-askar mereka yang berjumlah kira-kira 15,000 orang. Daripada seluruh angkatan tentera dari sebelah timur,+ hanya askar-askar itu yang masih hidup, kerana sebanyak 120,000 orang yang bersenjatakan pedang telah dibunuh.
11 Gideon melalui jalan yang terletak di timur Nobah dan Yogbeha,+ iaitu jalan yang digunakan oleh orang yang tinggal di dalam khemah, lalu dia menyerang perkhemahan musuh secara mengejut.
12 Apabila Zebah dan Salmuna melarikan diri, Gideon mengejar lalu menangkap kedua-dua orang raja bangsa Midian itu, iaitu Zebah dan Salmuna, sehingga seluruh tentera musuh cemas.
13 Kemudian, Gideon anak Yoas kembali dari medan perang melalui jalan yang naik ke Heres.
14 Dalam perjalanannya, dia menangkap dan menyoal seorang pemuda dari Sukot. Pemuda itu menuliskan nama 77 orang penguasa dan pemimpin Sukot untuknya.
15 Selepas itu Gideon pergi kepada penduduk Sukot dan berkata, “Dahulu kamu pernah mengejek aku dengan berkata, ‘Mengapa kami harus memberikan roti kepada tenteramu yang letih? Sudahkah Zebah dan Salmuna berada dalam genggamanmu?’ Nah, inilah Zebah dan Salmuna.”+
16 Kemudian dia menangkap para pemimpin kota Sukot lalu menghukum mereka dengan menggunakan duri dari padang belantara.+
17 Dia juga merobohkan menara kota Penuel+ dan membunuh penduduk kota itu.
18 Kemudian Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor?” Mereka menjawab, “Rupa mereka mirip kamu. Setiap seorang kelihatan seperti putera raja.”
19 Lalu Gideon berkata, “Merekalah saudara-saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, bahawa jika kamu membiarkan mereka hidup pada masa itu, aku pun tidak akan membunuh kamu.”
20 Kemudian dia berkata kepada anak sulungnya Yeter, “Bangunlah dan bunuhlah mereka.” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.
21 Zebah dan Salmuna pun berkata kepada Gideon, “Kalau kamu ini lelaki, tunjukkanlah kekuatanmu! Marilah dan bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri.” Oleh itu Gideon membunuh Zebah dan Salmuna.+ Dia juga mengambil perhiasan berbentuk bulan sabit yang ada pada leher unta-unta mereka.
22 Orang Israel kemudiannya berkata kepada Gideon, “Kamu telah menyelamatkan kami daripada tangan orang Midian. Sekarang, hendaklah kamu dan anak cucu kamu menjadi pemerintah kami.”+
23 Tetapi Gideon menjawab, “Baik aku mahupun anakku tidak akan memerintah kamu. Yehuwalah yang akan memerintah kamu.”+
24 Gideon berkata lagi, “Aku ada satu permintaan: Hendaklah setiap orang memberi aku satu anting-anting hidung yang telah kamu rampas daripada musuh.” (Musuh mereka ialah orang Ismael yang mempunyai anting-anting hidung yang diperbuat daripada emas.)+
25 Orang Israel berkata, “Kami rela memberikannya.” Maka mereka membentangkan sehelai jubah, lalu tiap-tiap orang membuang anting-anting yang dirampasnya ke atas jubah itu.
26 Berat semua anting-anting emas yang diminta oleh Gideon hampir 20 kilogram,* tidak termasuk perhiasan berbentuk bulan sabit, loket, dan kain bulu berwarna ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, serta rantai leher unta mereka.+
27 Kemudian Gideon menggunakan emas itu untuk membuat efod*+ dan mempamerkannya di kotanya di Ofra.+ Segenap umat Israel pergi ke sana dan mula melakukan pelacuran rohani dengan menyembah efod itu.+ Hal itu menjadi jerat bagi Gideon dan keluarganya.+
28 Demikianlah orang Midian+ dikalahkan oleh umat Israel. Mereka tidak lagi mengancam orang Israel. Pada zaman Gideon, negeri itu aman selama 40 tahun.+
29 Yerubaal+ anak Yoas kembali ke rumahnya dan tinggal di situ.
30 Gideon mempunyai 70 orang anak lelaki, kerana dia mempunyai banyak isteri.
31 Dia juga mempunyai seorang gundik di Sikhem. Gundik itu melahirkan seorang anak lelaki untuknya yang dinamakannya Abimelekh.+
32 Gideon anak Yoas menikmati umur yang panjang. Kemudian dia meninggal lalu dikebumikan di kuburan bapanya Yoas di Ofra yang dimiliki oleh keturunan Abi-ezer.+
33 Sebaik sahaja Gideon meninggal, orang Israel menyembah Baal*+ lagi. Mereka juga menjadikan Baal-berit tuhan mereka.+
34 Orang Israel lupa akan Yehuwa, Tuhan mereka,+ yang telah menyelamatkan mereka daripada tangan musuh-musuh di sekeliling mereka.+
35 Mereka juga tidak menunjukkan kasih setia kepada keluarga Yerubaal, iaitu Gideon, meskipun dia telah berbuat baik terhadap umat Israel.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “Bukankah sisa tuaian suku Efraim lebih baik daripada hasil anggur yang dituai oleh keturunan Abi-ezer?”
^ Atau “1,700 syekel.” Lihat Lampiran B14.
^ Atau “melacurkan diri dengan Baal.”