Kejadian 1:1-31

  • Langit dan bumi diciptakan (1, 2)

  • Enam hari penciptaan (3-31)

    • Hari 1: Cahaya; siang dan malam (3-5)

    • Hari 2: Langit (6-8)

    • Hari 3: Darat dan tumbuhan (9-13)

    • Hari 4: Benda-benda terang di langit (14-19)

    • Hari 5: Ikan dan burung (20-23)

    • Hari 6: Binatang dan manusia (24-31)

1  Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.+ 2  Ketika itu, bumi kosong dan tidak berbentuk. Kegelapan meliputi permukaan air yang dalam,*+ dan kuasa suci Tuhan*+ bergerak di atas permukaan air.+ 3  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada cahaya.” Maka cahaya pun ada.+ 4  Tuhan berpuas hati melihat hal itu, dan Dia telah memisahkan cahaya daripada kegelapan. 5  Tuhan memanggil cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam.”+ Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang pertama. 6  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada ruang+ untuk membahagikan air, dan biarlah air dipisahkan menjadi dua.”+ 7  Maka Tuhan membuat ruang yang memisahkan air yang ada di bawah ruang itu dengan air yang ada di atas ruang itu.+ Itulah yang terjadi. 8  Tuhan memanggil ruang itu “Langit.” Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang kedua. 9  Lalu Tuhan berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit dikumpulkan ke satu tempat supaya tanah yang kering kelihatan.”+ Itulah yang terjadi. 10  Tuhan memanggil tanah yang kering itu “Darat,”+ dan air yang dikumpulkan itu “Laut.”+ Tuhan berpuas hati melihat hal itu.+ 11  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah tanah mengeluarkan rumput dan tumbuhan yang menghasilkan biji benih. Hendaklah tanah mengeluarkan pokok yang berbuah mengikut jenisnya, dan hendaklah buah itu mengandungi biji.” Itulah yang terjadi. 12  Tanah mula mengeluarkan rumput, tumbuhan yang menghasilkan biji benih,+ dan pokok yang menghasilkan buah yang berbiji, semua menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 13  Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang ketiga. 14  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang+ di langit untuk memisahkan siang daripada malam,+ dan untuk menandakan musim, hari, dan tahun.+ 15  Benda-benda terang itu akan bersinar di langit untuk menerangi bumi.” Itulah yang terjadi. 16  Tuhan membuat dua benda terang yang besar. Yang lebih besar menguasai siang,+ dan yang lebih kecil menguasai malam. Selain itu, Dia membuat bintang-bintang.+ 17  Tuhan menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi, 18  untuk menguasai siang dan malam, dan untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan.+ Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 19  Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang keempat. 20  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah air dipenuhi dengan makhluk* hidup, dan hendaklah makhluk terbang* berterbangan di atas bumi melintasi langit.”+ 21  Tuhan menciptakan makhluk laut yang besar dan semua makhluk yang hidup di dalam air menurut jenisnya, dan setiap makhluk terbang menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 22  Tuhan memberkati semua makhluk itu dan berfirman, “Membiaklah, jadilah banyak, dan penuhilah laut.+ Hendaklah makhluk terbang bertambah banyak di bumi.” 23  Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang kelima. 24  Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah bumi mengeluarkan makhluk hidup menurut jenisnya: Binatang jinak, binatang menjalar,* dan binatang liar menurut jenisnya.”+ Itulah yang terjadi. 25  Tuhan menciptakan binatang liar di bumi menurut jenisnya, binatang jinak menurut jenisnya, dan semua binatang menjalar menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 26  Kemudian Tuhan berfirman, “Marilah kita+ membuat manusia seperti kita,+ menurut gambaran kita.+ Hendaklah mereka menguasai ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, binatang jinak, dan semua binatang yang menjalar di bumi. Hendaklah mereka menguasai seluruh bumi.”+ 27  Maka Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Demikianlah lelaki dan perempuan diciptakan menurut gambaran Tuhan.+ 28  Lalu Tuhan memberkati mereka dan berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi,+ dan hendaklah kamu menguasainya.+ Hendaklah kamu menguasai+ ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, dan semua makhluk hidup di bumi.” 29  Lalu Tuhan berfirman, “Aku memberikan setiap tumbuhan* yang ada di seluruh bumi dan setiap pokok yang menghasilkan buah* sebagai makanan untuk kamu.+ 30  Aku juga memberikan tumbuhan hijau sebagai makanan untuk semua binatang liar di bumi, semua makhluk yang berterbangan di langit, dan semua binatang hidup* yang bergerak di bumi.”+ Itulah yang terjadi. 31  Selepas itu, Tuhan melihat semua ciptaan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.*+ Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang keenam.

Nota Kaki

Atau “air yang bergelora.”
Atau “daya aktif Tuhan.” Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Kamus, “Jiwa.”
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini merangkumi burung dan serangga yang bersayap.
Atau “binatang yang bergerak,” nampaknya termasuk reptilia dan pelbagai jenis haiwan yang lain.
Harfiah, “tumbuhan yang menghasilkan biji benih.”
Harfiah, “buah yang mengandungi biji.”
Atau “yang berjiwa.”
Atau “Tuhan melihat bahawa semua ciptaan-Nya sangat baik.”