Kejadian 37:1-36
37 Yakub terus tinggal di negeri Kanaan. Dahulu bapanya tinggal di negeri itu sebagai orang asing.+
2 Inilah kisah Yakub.
Semasa Yusuf+ anak Yakub masih muda, iaitu ketika dia berumur 17 tahun, dia menjaga ternakan+ bersama anak-anak Bilha+ dan Zilpa,+ iaitu isteri-isteri bapanya. Yusuf memberitahu bapanya tentang hal-hal jahat yang dilakukan oleh abang-abangnya.
3 Israel lebih menyayangi Yusuf daripada anak-anaknya yang lain,+ kerana Yusuf dilahirkan ketika dia sudah tua. Dia mengambil sehelai jubah yang istimewa* lalu memberikannya kepada Yusuf.
4 Ketika abang-abang Yusuf nampak bahawa bapa mereka lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua, mereka mula membencinya dan tidak mahu bercakap baik-baik dengannya.
5 Pernah sekali, Yusuf bermimpi lalu menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya.+ Hal itu membuat mereka bertambah benci terhadap dia.
6 Yusuf berkata kepada mereka, “Dengarlah mimpiku.
7 Aku nampak kita sedang mengikat gandum di tengah ladang. Kemudian, berkas gandumku berdiri tegak, dan berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku lalu sujud kepada berkas gandumku.”+
8 Abang-abangnya berkata, “Adakah kamu akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?”+ Oleh itu, mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya.
9 Kemudian dia bermimpi lagi lalu dia menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya, “Aku bermimpi lagi. Kali ini matahari, bulan, dan 11 bintang bersujud kepadaku.”+
10 Ketika dia menceritakan mimpi itu kepada bapa dan abang-abangnya, bapanya menegurnya, “Apakah maksud mimpi kamu itu? Adakah aku, ibumu, dan adik-beradikmu akan datang dan sujud kepadamu?”
11 Abang-abangnya berasa iri hati terhadapnya,+ tetapi bapanya tetap memikirkan kata-katanya.
12 Pada suatu hari, abang-abang Yusuf membawa kawanan bapa mereka ke padang rumput berdekatan Sikhem.+
13 Israel kemudiannya berkata kepada Yusuf, “Abang-abangmu sedang menjaga kawananku dekat Sikhem. Aku mahu hantar kamu kepada mereka.” Yusuf pun menjawab, “Baiklah ayah!”
14 Lalu bapanya berkata, “Pergilah dan lihatlah keadaan abang-abangmu dan ternakan itu, kemudian kembalilah dan beritahulah aku.” Demikianlah Israel mengutus Yusuf dari Lembah* Hebron+ ke Sikhem.
15 Beberapa lama kemudian, seorang lelaki nampak Yusuf berjalan ke sana ke mari di padang. Lelaki itu bertanya, “Kamu cari apa?”
16 Yusuf menjawab, “Aku mencari abang-abangku yang sedang menggembala ternakan. Jika kamu tahu di mana mereka, tolonglah beritahu aku.”
17 Lelaki itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Tadi aku dengar mereka berkata, ‘Marilah kita pergi ke Dotan.’” Maka Yusuf pergi ke Dotan dan menjumpai abang-abangnya di sana.
18 Dari jauh mereka nampak Yusuf sedang datang. Tetapi sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot untuk membunuhnya.
19 Mereka berkata kepada satu sama lain, “Tengok, si tukang mimpi sudah datang!+
20 Marilah kita bunuh dia dan campakkannya ke dalam sebuah lubang. Kemudian kita kata dia sudah dibaham oleh binatang buas. Kita lihatlah apa yang berlaku nanti dengan mimpi-mimpinya.”
21 Ketika Ruben+ mendengar hal itu, dia mencuba menyelamatkan Yusuf. Maka dia berkata, “Janganlah kita membunuhnya,+
22 dan janganlah kita menumpahkan darahnya.+ Campakkan saja dia ke dalam lubang di padang belantara ini, tetapi janganlah mencederakannya.”+ Ruben berkata begitu kerana dia merancang untuk menyelamatkan Yusuf dan menghantarnya pulang kepada bapanya.
23 Sebaik sahaja Yusuf sampai, abang-abangnya menanggalkan jubah istimewa yang dipakainya.+
24 Mereka menangkapnya dan mencampakkannya ke dalam sebuah lubang yang kering.
25 Semasa abang-abang Yusuf duduk dan makan, mereka nampak rombongan orang Ismael+ dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka membawa getah wangi, balsam,* dan kulit pokok.*+
26 Yehuda berkata, “Apakah keuntungannya jika kita membunuh adik kita dan menyembunyikan perbuatan kita?+
27 Mari kita jual dia+ kepada rombongan orang Ismael itu. Janganlah kita sakiti dia kerana dia tetap adik kita, darah daging kita.” Mereka pun mendengar kata-kata Yehuda.
28 Apabila beberapa orang pedagang Midian+ lalu di situ, abang-abang Yusuf mengeluarkan Yusuf daripada lubang itu lalu menjual dia kepada orang Ismael dengan harga 20 keping wang perak.+ Maka Yusuf dibawa oleh mereka ke Mesir.
29 Apabila Ruben kembali ke lubang itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih.
30 Ruben balik kepada adik-adiknya dan berkata, “Anak itu sudah hilang! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?”
31 Maka mereka menyembelih seekor kambing jantan dan mencelup jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu.
32 Selepas itu, mereka mengirimkan jubah yang istimewa itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami jumpa jubah ini. Tolonglah periksa sama ada jubah ini milik anak ayah atau tidak.”+
33 Yakub pun memeriksa jubah itu dan berseru, “Ini memang jubah anak lelakiku! Seekor binatang buas pasti telah menyerang Yusuf dan mencarik-cariknya!”
34 Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu mengenakan kain guni pada pinggangnya. Dia meratapi kematian anaknya itu selama berhari-hari.
35 Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan, asyik mencuba untuk menghiburkan hatinya, tetapi dia tidak mahu dihiburkan. Dia berkata, “Aku akan meratapi kematian anakku sehingga aku masuk ke dalam Kuburan!”*+ Demikianlah Yakub terus meratapi anaknya.
36 Orang Midian telah menjual Yusuf kepada Potifar, iaitu seorang pegawai Firaun di Mesir.+ Potifar merupakan ketua pengawal istana.+
Nota Kaki
^ Atau “sehelai jubah panjang yang cantik.”
^ Atau “Dataran Rendah.”
^ Getah daripada kulit pokok ini digunakan untuk membuat minyak wangi.