Surat kepada Sidang di Roma 7:1-25
7 Saudara-saudara, aku sedang bercakap kepada kamu yang memahami hukum. Tidakkah kamu tahu bahawa Hukum ialah tuan yang berkuasa atas seseorang selagi dia masih hidup?
2 Sebagai contoh, seorang wanita yang sudah berkahwin terikat kepada suaminya oleh hukum selagi suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya mati, dia dibebaskan daripada hukum suaminya.+
3 Oleh itu, jika wanita itu berkahwin dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina.+ Tetapi jika suaminya mati, dia dibebaskan daripada hukum suaminya. Maka jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina.+
4 Begitu juga, saudara-saudaraku, melalui korban Kristus, kamu tidak lagi terikat kepada Hukum.* Sebaliknya, kamu menjadi milik dia yang dibangkitkan daripada kematian+ agar kamu dapat membuahkan hasil untuk memuliakan Tuhan.+
5 Semasa kita hidup menurut keinginan tubuh, nafsu berdosa yang disingkapkan oleh Hukum bekerja dalam tubuh kita untuk membuahkan hasil yang membawa kematian.+
6 Sekarang, kita tidak lagi terikat kepada Hukum.+ Maka kita tidak menjadi hamba dengan cara yang lama, yang berdasarkan hukum bertulis.+ Sebaliknya, kita menjadi hamba dengan cara yang baharu, yang berdasarkan bimbingan kuasa suci Tuhan.+
7 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Hukum itu mempunyai cacat cela?* Tentu tidak! Tanpa Hukum, aku tidak akan mengenal dosa.+ Sebagai contoh, jika Hukum tidak menyatakan, “Jangan menginginkan milik orang lain,”+ aku tidak akan tahu bahawa keinginan sebegitu adalah salah.
8 Melalui hukum itu, dosa mencari kesempatan untuk membangkitkan segala macam keinginan terhadap milik orang lain dalam diriku. Sebelum hukum wujud, dosa itu mati.+
9 Sebenarnya, sebelum hukum wujud, aku hidup. Apabila hukum datang, dosa hidup semula, tetapi aku mati.+
10 Hukum sepatutnya membawa kehidupan,+ tetapi aku mendapati bahawa hukum mendatangkan kematian.
11 Hal itu demikian kerana melalui hukum, dosa mencari kesempatan untuk menggoda dan membunuh aku.
12 Maka Hukum itu suci, dan setiap perintahnya suci, adil, dan baik.+
13 Jadi adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik* menyebabkan kematianku? Sama sekali tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dosa menyebabkan kematianku melalui apa yang baik untuk menunjukkan apa itu dosa.+ Dengan demikian, hukum menyingkapkan bahawa dosa amat memudaratkan.+
14 Kita tahu bahawa Hukum ialah milik Tuhan, tetapi aku tidak sempurna dan dijual sebagai hamba dosa.+
15 Sebenarnya, aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Aku tidak mengamalkan perkara-perkara yang ingin aku lakukan. Sebaliknya, aku melakukan perkara-perkara yang aku benci.
16 Tetapi jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak aku inginkan, hal ini bererti aku setuju bahawa Hukum itu baik.
17 Tetapi sekarang, yang melakukan perkara-perkara itu bukan aku tetapi dosa yang ada dalam diriku.+
18 Aku tahu bahawa tiada sesuatu pun yang baik dalam diriku, iaitu dalam tubuhku. Hal ini demikian kerana walaupun aku ingin berbuat baik, aku tidak mampu melakukannya.+
19 Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku sering melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan.
20 Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bahawa yang melakukan perkara-perkara itu bukanlah aku, tetapi dosa yang ada dalam diriku.
21 Oleh itu, aku mendapati bahawa hukum ini ada dalam diriku: Apabila aku mahu melakukan apa yang baik, apa yang jahat ada padaku.+
22 Dalam hatiku, aku sangat menyukai hukum Tuhan.+
23 Tetapi aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku,+ dan hukum itu ialah dosa+ dalam tubuhku yang menguasai aku.
24 Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang akan menyelamatkan aku daripada tubuh yang akan mati ini?
25 Tuhanlah yang akan menyelamatkan aku melalui Tuan kita, Yesus Kristus, dan aku bersyukur kepada-Nya! Sesungguhnya, akal fikiranku merupakan hamba kepada hukum Tuhan. Tetapi tubuhku yang berdosa merupakan hamba kepada hukum dosa.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “kamu dijadikan mati kepada Hukum.”
^ Harfiah, “dosa?”
^ “Apa yang baik” merujuk kepada Hukum Tuhan.