Yosua 10:1-43

  • Orang Gibeon diselamatkan (1-7)

  • Yehuwa berjuang demi umat Israel (8-15)

    • Hujan batu membunuh musuh (11)

    • “Hai matahari, berhentilah” (12-14)

  • Lima orang raja Amori dibunuh (16-28)

  • Kota-kota di selatan ditawan (29-43)

10  Raja Adoni-zedek dari Yerusalem mendengar bahawa Yosua telah menawan dan memusnahkan kota Ai, dan bahawa dia telah memperlakukan kota Ai dan rajanya+ sebagaimana dia memperlakukan kota Yerikho dan rajanya.+ Raja itu juga mendengar bahawa penduduk Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan orang Israel+ dan tinggal bersama-sama mereka. 2  Dia berasa sangat takut+ kerana Gibeon ialah sebuah kota yang besar, yang sama besar dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai+ dan semua orang Gibeon ialah pahlawan. 3  Maka Raja Adoni-zedek dari Yerusalem mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron,+ Raja Piram dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon:+ 4  “Datanglah untuk membantu beta, dan marilah kita menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan orang Israel.”+ 5  Maka lima orang raja bangsa Amori+ itu, iaitu raja-raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon, berkumpul bersama tentera mereka lalu pergi ke Gibeon. Mereka mengepung kota itu dan bersiap sedia untuk menyerangnya. 6  Lalu orang Gibeon mengirim pesan berikut kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal:+ “Janganlah tinggalkan hamba-hambamu!+ Datanglah dengan segera! Selamatkanlah kami dan bantulah kami! Semua raja bangsa Amori dari kawasan pergunungan telah berkumpul untuk menyerang kami.” 7  Maka Yosua berangkat dari Gilgal bersama semua askar dan pahlawannya yang kuat.+ 8  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka,+ kerana Aku telah menyerahkan mereka kepadamu.+ Tiada seorang pun antara mereka yang dapat mengalahkan engkau.”+ 9  Setelah berjalan sepanjang malam dari Gilgal, Yosua menyerang orang Amori secara tiba-tiba. 10  Yehuwa mengacau-bilaukan mereka di hadapan orang Israel+ sehingga ramai antara mereka yang dibunuh di Gibeon. Orang Israel mengejar dan membunuh mereka sepanjang jalan yang naik ke Bet-horon sampai ke Azeka dan Makeda. 11  Ketika orang Amori lari daripada umat Israel, mereka terbunuh apabila Yehuwa menurunkan hujan batu yang besar ke atas mereka sepanjang jalan yang turun dari Bet-horon sampai ke Azeka. Sebenarnya, lebih banyak orang yang terbunuh disebabkan hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel dengan pedang. 12  Pada hari Yehuwa menyerahkan orang Amori kepada orang Israel, Yosua berkata kepada Yehuwa di hadapan orang Israel, “Hai matahari, berhentilah+ di atas Gibeon,+Hai bulan, berhentilah di atas Lembah* Ayalon!” 13  Maka matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak, sehingga umat Israel dapat mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis dalam kitab Yasar.+ Matahari berhenti di tengah-tengah langit dan tidak terbenam selama kira-kira sehari suntuk. 14  Pada hari itu, Yehuwa berperang bagi umat Israel.+ Yehuwa tidak pernah mendengarkan permintaan seorang manusia+ dengan cara sedemikian, baik sebelum mahupun selepas hari itu. 15  Selepas itu, Yosua dan semua askar Israel kembali ke perkhemahan di Gilgal.+ 16  Sementara itu, lima orang raja bangsa Amori melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda.+ 17  Kemudian ada orang memberitahu Yosua, “Lima orang raja itu telah ditemui. Mereka sedang bersembunyi di dalam gua di Makeda.”+ 18  Maka Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke pintu masuk gua, dan tugaskanlah beberapa orang pengawal di situ. 19  Tetapi yang lain pula jangan berhenti di situ. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang.+ Jangan biarkan mereka masuk ke dalam kota mereka, kerana Yehuwa, Tuhan kamu, telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu.” 20  Banyak sekali askar orang Amori yang dibunuh oleh Yosua dan orang Israel, sehingga angkatan tentera mereka hampir lenyap. Hanya beberapa orang yang berjaya melarikan diri dan berlindung di dalam kota-kota yang bertembok. 21  Kemudian seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di perkhemahan di Makeda. Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel. 22  Selepas itu Yosua berkata, “Bukalah pintu masuk gua dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.” 23  Maka lima orang raja itu, iaitu raja-raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon,+ dikeluarkan dari gua dan dibawa kepada Yosua. 24  Semasa raja-raja itu dibawa kepada Yosua, dia memanggil semua askar Israel untuk berkumpul, lalu dia berkata kepada ketua-ketua askar yang berperang bersama-samanya, “Mari, letakkan kaki kamu di tengkuk raja-raja ini.”+ Maka mereka pun berbuat demikian. 25  Setelah itu Yosua berkata, “Janganlah takut atau gentar.+ Kamu mesti berani dan teguh kerana inilah yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap semua musuh yang berperang melawan kamu.”+ 26  Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantungkan mayat mereka pada lima batang tiang.* Mayat-mayat itu dibiarkan pada tiang sehingga senja. 27  Pada waktu matahari terbenam, Yosua memerintahkan agar mayat raja-raja itu diturunkan dari tiang+ dan dibuang ke dalam gua tempat mereka bersembunyi dahulu. Kemudian batu-batu besar diletakkan di pintu masuk gua. Sampai hari ini, batu-batu itu masih ada di situ. 28  Pada hari itu, Yosua menawan kota Makeda+ dan membunuh penduduk kota itu dengan pedang. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; raja dan semua orang di kota itu telah dibunuh.+ Yosua memperlakukan raja kota Makeda+ sebagaimana dia memperlakukan raja kota Yerikho. 29  Kemudian Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna.+ 30  Yehuwa juga menyerahkan kota itu dan rajanya+ ke dalam tangan orang Israel. Mereka menyerang kota itu dan membunuh semua orang di situ dengan pedang; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Mereka memperlakukan raja kota itu sebagaimana mereka memperlakukan raja kota Yerikho.+ 31  Kemudian Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Libna lalu pergi ke Lakhis.+ Mereka berkhemah di situ dan menyerang kota Lakhis. 32  Yehuwa menyerahkan kota Lakhis ke dalam tangan orang Israel, lalu mereka menawan kota itu pada hari yang kedua. Mereka menyerang kota itu dan membunuh semua orang di situ dengan pedang,+ seperti yang dilakukan oleh mereka di Libna. 33  Kemudian Raja Horam dari Gezer+ datang untuk menolong Lakhis, tetapi Yosua membunuh raja itu dan tenteranya; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. 34  Selepas itu Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Lakhis lalu pergi ke Eglon.+ Mereka berkhemah di situ dan menyerang kota Eglon. 35  Pada hari itu, mereka menawan kota itu dan membunuh semua penduduknya dengan pedang. Pada hari itu juga mereka menghapuskan semua orang di kota itu, seperti yang dilakukan oleh mereka di Lakhis.+ 36  Selepas itu Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Eglon lalu pergi ke Hebron.+ Mereka menyerang kota Hebron. 37  Mereka menawan kota itu dan semua pekannya. Raja kota itu dan semua penduduknya telah dibunuh dengan pedang; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Seperti yang dilakukannya di Eglon, Yosua membinasakan kota itu dan menghapuskan semua orang di situ. 38  Akhirnya Yosua dan semua askar Israel mara ke arah Debir+ dan menyerang kota itu. 39  Dia menawan kota Debir dan semua pekannya. Raja kota itu dan semua penduduknya telah dibunuh dengan pedang. Semua orang di situ telah dihapuskan;+ tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ Yosua memperlakukan kota Debir dan rajanya sebagaimana dia memperlakukan kota Hebron dan kota Libna serta rajanya. 40  Yosua menakluki semua negeri di kawasan pergunungan, di Negeb, di Syefela,+ dan di kawasan lereng gunung. Semua raja di situ dikalahkannya; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Yosua telah menghapuskan tiap-tiap orang di situ,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 41  Yosua menakluki kawasan dari Kades-barnea+ hingga Gaza,+ termasuk seluruh tanah Gosyen,+ hingga Gibeon.+ 42  Yosua menawan semua raja di situ dan negeri-negeri mereka sekali gus, kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, berjuang untuk bangsa Israel.+ 43  Selepas itu, Yosua dan semua askar Israel kembali ke perkhemahan di Gilgal.+

Nota Kaki

Atau “Dataran Rendah.”
Atau “pokok.”