Patutkah Saya Dibaptis?
BAB 37
Patutkah Saya Dibaptis?
Tandakan sama ada pernyataan berikut adalah benar atau salah:
Orang Kristian wajib dibaptis.
□ Benar
□ Salah
Tujuan utama kamu dibaptis adalah untuk melindungi kamu agar tidak berdosa.
□ Benar
□ Salah
Pembaptisan membuka peluang agar kamu diselamatkan.
□ Benar
□ Salah
Jika kamu belum dibaptis, kamu tidak bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kamu.
□ Benar
□ Salah
Jika kawan-kawan kamu akan dibaptis, maksudnya kamu juga bersedia untuk dibaptis.
□ Benar
□ Salah
ADAKAH kamu hidup mengikut prinsip Bible, menjalin persahabatan dengan Tuhan, dan mengongsi kepercayaan kamu dengan orang lain? Jika ya, kamu mungkin sedang berfikir tentang pembaptisan. Bagaimanakah kamu tahu sama ada kamu bersedia untuk mengambil langkah penting ini atau tidak? Untuk menjawab soalan ini, mari kita lihat jawapan bagi pernyataan-pernyataan di atas.
● Orang Kristian wajib dibaptis.
Benar. Yesus kata bahawa pengikut-pengikutnya harus dibaptis. (Matius 28:19, 20) Yesus sendiri pun telah dibaptis. Jika kamu mahu mengikut Yesus dan kamu cukup matang untuk membuat keputusan sendiri, kamu harus dibaptis.
● Tujuan utama kamu dibaptis adalah untuk melindungi kamu agar tidak berdosa.
Salah. Pembaptisan menunjukkan kepada semua orang bahawa kamu telah membaktikan diri kepada Yehuwa. Pembaktian bukanlah perjanjian yang menghalang kamu daripada melakukan dosa. Sebaliknya, kamu membaktikan diri kepada Yehuwa kerana kamu ingin hidup selaras dengan haluan-Nya.
● Pembaptisan membuka peluang agar kamu diselamatkan.
Benar. Bible kata seseorang harus dibaptis agar diselamatkan. (1 Petrus 3:21) Tetapi, pembaptisan bukanlah jaminan bahawa kamu akan diselamatkan. Kamu patut dibaptis kerana kamu mengasihi Yehuwa dan mahu menyembah-Nya selama-lamanya, dan bukan semata-mata kerana mahu diselamatkan.—Markus 12:29, 30.
● Jika kamu belum dibaptis, kamu tidak bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kamu.
Salah. Yakobus 4:17 kata, “Jika seseorang mengetahui cara untuk melakukan apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia sudah berdosa.” Tidak kira kamu sudah baptis atau belum, kamu harus bertanggungjawab atas perbuatan kamu. Jika kamu sedang berfikir secara mendalam tentang kehidupan kamu, dapatkan nasihat daripada ibu bapa dan orang Kristian lain yang matang supaya kamu dapat terus maju sehingga dibaptis.
● Jika kawan-kawan kamu akan dibaptis, maksudnya kamu juga bersedia untuk dibaptis.
Salah. Keputusan untuk dibaptis haruslah ikhlas daripada hati kamu sendiri. (Mazmur 110:3) Jika kamu mahu dibaptis, kamu harus tahu tanggungjawab yang terlibat dan bersedia untuk memikulnya.—Pengkhutbah 5:4, 5.
Langkah yang Mengubah Hidup Kamu
Pembaptisan ialah langkah penting yang membawa banyak berkat. Pada masa yang sama, pembaptisan juga ialah tanggungjawab yang besar. Semasa kamu membaktikan diri kepada Yehuwa, kamu berjanji untuk menyembah-Nya selama-lamanya. Maka, kamu harus bersedia menunaikan janji itu.
Adakah kamu bersedia membaktikan diri kepada Tuhan? Jika ya, kamu patut berbangga dengan diri kamu. Penghormatan untuk menjadi umat Yehuwa menantikan kamu! Semoga kamu dapat menjadi umat Yehuwa dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati dan jiwa.—Matius 22:36, 37.
DALAM BAB SETERUSNYA
Belajar cara untuk menetapkan matlamat agar kamu tidak mensia-siakan kehidupan kamu.
AYAT KUNCI
‘Persembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.’—Roma 12:1.
TIP
Dengan bantuan ibu bapa, carilah saudara saudari di sidang yang dapat membantu kamu membuat kemajuan rohani.—Kisah 16:1-3.
TAHUKAH KAMU . . .?
Pembaptisan ialah “tanda” penting yang menunjukkan bahawa kamu berpeluang untuk diselamatkan.—Yehezkiel 9:4-6.
RANCANGANKU
Untuk membantu saya mencapai matlamat agar dibaptis, saya mahu memperdalam pemahaman saya tentang ajaran Bible mengenai:
Tentang topik ini, saya ingin tanya ibu bapa saya
APAKAH PENDAPAT KAMU?
● Mengapakah pembaptisan langkah yang serius?
● Apakah yang mungkin membuat seorang anak muda membuat keputusan untuk dibaptis secara terburu-buru?
● Mengapakah seorang anak muda mungkin teragak-agak untuk membaktikan diri dan dibaptis?
[Petikan pada muka surat 306]
“Oleh sebab saya sudah dibaptis, saya bertekad untuk membuat keputusan yang bijak dan mengelakkan haluan yang buruk.”—Holly
[Kotak/Gambar pada muka surat 307]
Soalan yang Sering Ditanya Tentang Pembaptisan
Apakah maksud pembaptisan? Apabila kamu dibenamkan ke dalam air, hal ini menunjukkan kamu telah meninggalkan haluan hidup yang lama. Apabila kamu keluar dari air, hal ini menunjukkan bahawa kamu kini hidup untuk melakukan kehendak Yehuwa.
Apakah maksud pembaktian kepada Yehuwa? Hal ini bermaksud kamu tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi hidup untuk Tuhan. Kamu berjanji untuk mengutamakan kehendak Tuhan. (Matius 16:24) Sebelum dibaptis, kamu harus membaktikan diri kepada Yehuwa melalui doa.
Apakah yang harus kamu lakukan sebelum dibaptis? Kamu harus hidup selaras dengan Firman Tuhan, mengongsi kepercayaan kamu, dan mengeratkan persahabatan dengan Tuhan melalui doa dan pembelajaran Bible. Kamu sepatutnya menyembah Yehuwa dengan rela hati, dan bukan kerana terpaksa.
Adakah kamu harus dibaptis pada umur tertentu? Tidak. Yang penting ialah kamu cukup matang untuk memahami makna pembaktian dan pembaptisan.
Bagaimana jika kamu mahu dibaptis, tapi ibu bapa suruh kamu tunggu? Mungkin mereka mahu kamu mendapat lebih banyak pengalaman sebagai orang Kristian. Hargailah nasihat mereka dan gunakan masa ini untuk mengukuhkan hubungan kamu dengan Yehuwa.—1 Samuel 2:26.
[Kotak pada muka surat 308, 309]
Lembaran Kerja
Adakah Kamu Ingin Dibaptis?
Periksa kemajuan kamu dengan menjawab soalan-soalan berikut. Sebelum menjawabnya, bacalah ayat Bible yang tertera.
Bagaimanakah kamu menunjukkan kamu sedang berharap kepada Yehuwa?—Mazmur 71:5. ․․․․․
Bagaimanakah kamu menunjukkan bahawa daya penilaian kamu sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah?—Ibrani 5:14. ․․․․․
Seberapa kerapkah kamu berdoa?. ․․․․․
Adakah doa kamu spesifik dan menunjukkan kasih kamu kepada Yehuwa? Jelaskan.—Mazmur 17:6. ․․․․․
Senaraikan matlamat yang ingin kamu capai dalam soal doa. ․․․․․
Seberapa kerapkah pembelajaran peribadi kamu?—Yosua 1:8. ․․․․․
Apakah bahan yang kamu gunakan semasa pembelajaran peribadi? ․․․․․
Senaraikan matlamat yang ingin kamu capai dalam soal pembelajaran peribadi. ․․․․․
Adakah kamu melakukan kerja penyebaran dengan bersungguh-sungguh? (Contoh: Dapatkah kamu menjelaskan ajaran Bible yang asas? Adakah kamu membuat kunjungan kembali? Adakah kamu berusaha memulakan pembelajaran Bible?)
□ Ya □ Tidak
Jika ibu bapa kamu tidak keluar menginjil, adakah kamu masih keluar menginjil?—Kisah 5:42.
□ Ya □ Tidak
Senaraikan matlamat yang ingin kamu capai dalam soal kerja penyebaran.—2 Timotius 2:15. ․․․․․
Adakah kamu menghadiri perjumpaan sidang secara tetap?—Ibrani 10:25. ․․․․․
Apakah cara-cara kamu mengambil bahagian dalam perjumpaan? ․․․․․
Jika ibu bapa kamu tidak menghadiri perjumpaan, adakah kamu akan berusaha menghadirinya (jika mereka izinkan kamu untuk pergi)?
□ Ya □ Tidak
Adakah kamu betul-betul suka melakukan kehendak Tuhan?—Mazmur 40:8.
□ Ya □ Tidak
Berikan contoh yang menunjukkan kamu berjaya melawan tekanan rakan sebaya.—Roma 12:2. ․․․․․
Apakah yang akan kamu lakukan untuk memastikan kasih kamu terhadap Yehuwa tetap kuat?—Yudas 20, 21. ․․․․․
Jika ibu bapa dan kawan-kawan kamu berhenti menyembah Yehuwa, adakah kamu akan terus menyembah-Nya?—Matius 10:36, 37.
□ Ya □ Tidak
[Gambar pada muka surat 310]
Seperti perkahwinan, pembaptisan juga langkah serius yang akan mengubah hidup kamu