Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB DUA BELAS

Masalah yang Menghancurkan Keluarga Boleh Diatasi

Masalah yang Menghancurkan Keluarga Boleh Diatasi

1. Apakah masalah yang boleh menghakis kesejahteraan keluarga?

SEBUAH kereta lama yang sudah dicuci dan digilap kelihatan baru dan berkilat. Tetapi tiada sesiapa yang tahu bahawa besi kereta sedang dimakan karat. Begitulah keadaan sesetengah keluarga. Di sebalik senyuman mereka, tersembunyi ketakutan dan keperitan. Tiada sesiapa yang tahu bahawa terdapat masalah yang sedang menghakis kesejahteraan keluarga. Mari kita bincangkan dua masalah, iaitu ketagihan alkohol dan keganasan rumah tangga.

KETAGIHAN ALKOHOL MENGHANCURKAN KELUARGA

2. (a) Apakah pandangan Bible terhadap pengambilan minuman beralkohol? (b) Apakah maksud ketagihan alkohol?

2 Bible tidak mengutuk pengambilan minuman beralkohol secara sederhana, tetapi mengutuk pemabukan. (Amsal 23:20, 21; 1 Korintus 6:9, 10; 1 Timotius 5:23; Titus 2:2, 3) Namun begitu, ketagihan alkohol lebih teruk daripada pemabukan. Seorang penagih alkohol terlalu asyik dengan minuman keras dan hilang kawalan diri. Sedihnya, selain orang dewasa, ada juga orang muda yang menjadi kaki botol.

3, 4. Gambarkan kesan buruk yang dirasai oleh isteri dan anak penagih alkohol.

3 Bible menunjukkan bahawa penyalahgunaan alkohol boleh menghancurkan kesejahteraan keluarga. (Ulangan 21:18-21) Seisi keluarga merasai kesan buruknya. Seorang isteri mungkin menumpukan semua usahanya untuk menghentikan tabiat minum suami, atau bersabar dengan perangainya yang tidak menentu. * Isteri mungkin menyembunyikan atau membuang arak suami, menyorok wangnya, atau merayunya agar memikirkan keluarga, nyawa, dan Tuhan. Tetapi si penagih masih minum. Apabila usaha isteri untuk membantu suaminya asyik gagal, dia akan berasa geram dan tidak terdaya. Dia mungkin berasa takut, marah, serba salah, gementar, risau, dan hilang harga diri.

4 Kanak-kanak juga menderita apabila ibu atau bapa mereka ketagihan alkohol. Ada yang didera secara fizikal. Yang lain diganggu secara seksual. Mereka bahkan menyalahkan diri atas tabiat buruk ibu atau bapa. Sering kali, kelakuan penagih alkohol yang tidak menentu menyebabkan anaknya hilang kepercayaan terhadap orang lain. Anak yang berasa tidak selesa untuk membincangkan masalah keluarganya terpaksa menyekat perasaannya, lalu menderita secara fizikal. (Amsal 17:22) Dia mungkin menjadi orang dewasa yang hilang keyakinan atau harga diri.

APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN KELUARGA?

5. Bagaimanakah masalah ketagihan alkohol boleh ditangani? Mengapakah tidak mudah berbuat demikian?

5 Meskipun ramai pakar berkata bahawa masalah ketagihan alkohol tidak boleh diubati, kebanyakan daripada mereka bersetuju bahawa seorang penagih boleh menangani masalahnya jika dia menjauhi alkohol sama sekali. (Bandingkan Matius 5:29.) Walaupun begitu, tidak mudah untuk menolong seorang penagih kerana dia sering kali menafikan masalahnya. Tetapi ahli keluarga boleh mengambil langkah untuk menangani kesan buruk yang disebabkan oleh si penagih. Dengan itu, dia akan sedar bahawa dia memang memerlukan bantuan. Seorang doktor yang membantu penagih alkohol dan keluarga mereka berkata, “Yang terpenting, keluarga perlu berusaha menjalani cara hidup yang paling sihat. Dengan ini, penagih alkohol akan beransur-ansur melihat jurang perbezaan antara dia dan keluarganya.”

6. Dari manakah kita boleh mendapatkan nasihat yang terbaik jika seorang ahli keluarga ialah kaki botol?

6 Jika seorang ahli keluarga anda ialah kaki botol, nasihat Firman Tuhan boleh membantu anda menjalani cara hidup yang paling sihat. (Yesaya 48:17; 2 Timotius 3:16, 17) Perhatikan beberapa prinsip yang telah membantu keluarga menangani masalah ketagihan alkohol.

7. Jika seorang ahli keluarga ketagihan alkohol, siapakah yang harus dipersalahkan?

7 Jangan asyik menyalahkan diri. Bible berkata, “Tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing,” dan ‘Kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Tuhan.’ (Galatia 6:5; Roma 14:12) Penagih alkohol mungkin menyalahkan ahli keluarganya. Misalnya, dia mungkin berkata, “Saya tak akan minum kalau kamu layan saya dengan lebih baik.” Jika orang lain tampaknya bersetuju dengan si penagih, mereka sedang menggalakkannya untuk terus minum. Tetapi tidak kira sama ada kita menjadi mangsa keadaan ataupun dilayan dengan buruk, kita semua​—termasuk si penagih​—bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing.​—Bandingkan Filipi 2:12.

8. Bagaimanakah seorang penagih alkohol boleh dibantu untuk merasai kesan buruk perbuatannya?

8 Jangan berfikir bahawa anda wajib melindungi penagih alkohol daripada kesan buruk perbuatannya. Pepatah Bible yang berikut sesuai untuk seorang penagih alkohol: “Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.” (Amsal 19:19) Biarlah si penagih merasai kesan buruk perbuatannya. Biarlah dia sendiri membersihkan kekotorannya; jika dia minum semalaman, dia sendiri harus menelefon majikannya untuk memberikan penjelasan pada keesokan hari.

9, 10. Mengapakah keluarga penagih alkohol harus menerima bantuan? Secara khusus, siapakah yang boleh membantu mereka?

9 Terimalah bantuan orang lain. Amsal 17:17 (ABB) menyatakan, “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.” Sudah pasti, anda akan menanggung kesusahan jika seorang ahli keluarga ketagihan alkohol. Anda memerlukan bantuan. Janganlah segan untuk meminta bantuan sahabat yang sejati. (Amsal 18:24) Bercakaplah dengan orang lain yang memahami masalah anda atau yang pernah mengalami situasi yang serupa. Mereka boleh memberikan cadangan praktikal tentang apa yang harus dilakukan dan apa yang patut dihindari. Tetapi pastikan bahawa mereka boleh dipercayai dan “dapat menyimpan rahsia.”​—Amsal 11:13.

10 Percayalah pada penatua Kristian. Penatua dalam sidang Kristian boleh menghulurkan banyak bantuan. Lelaki Kristian yang matang ini benar-benar memahami Firman Tuhan dan mahir menerapkan prinsip-prinsipnya. “Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.” (Yesaya 32:2, ABB) Para penatua bukan sahaja melindungi seluruh sidang daripada pengaruh buruk, malahan mereka melegakan, menyegarkan, dan mengambil berat tentang setiap individu yang mempunyai masalah. Jadi, manfaatkanlah bantuan mereka dengan sepenuhnya.

11, 12. Siapakah yang memberikan bantuan terbaik kepada keluarga penagih alkohol? Bagaimanakah bantuan ini diberikan?

11 Yang terpenting, dapatkan kekuatan daripada Yehuwa. Bible menjamin bahawa ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’ (Mazmur 34:19, ABB) Jika anda tawar hati atau putus asa akibat kesusahan yang disebabkan oleh ahli keluarga yang ketagihan alkohol, yakinlah bahawa ‘Yehuwa dekat kepada anda.’ Dia memahami betapa susahnya situasi keluarga anda.​—1 Petrus 5:6, 7.

12 Anda boleh menanggung kekhuatiran jika anda mempercayai Firman Yehuwa. (Mazmur 130:3, 4; Matius 6:25-34; 1 Yohanes 3:19, 20) Dengan mempelajari Bible dan hidup menurut prinsipnya, anda dapat menerima bantuan daya aktif Tuhan serta kekuatan untuk menangani situasi seharian.​—2 Korintus 4:7. *

13. Apakah masalah kedua yang menghancurkan banyak keluarga?

13 Penyalahgunaan alkohol boleh menyebabkan satu lagi masalah yang telah menghancurkan banyak keluarga​—keganasan rumah tangga.

KEGANASAN RUMAH TANGGA MENGHANCURKAN KELUARGA

14. Bilakah keganasan rumah tangga bermula? Apakah situasinya hari ini?

14 Keganasan rumah tangga yang pertama dalam sejarah manusia bermula antara dua orang adik-beradik, iaitu Kain dan Habel. (Kejadian 4:8) Sejak itu, umat manusia menderitai pelbagai bentuk keganasan rumah tangga. Ada suami yang mendera isteri, isteri yang menyerang suami, ibu bapa yang memukuli anak kecil dengan kejam, dan anak dewasa yang menganiaya ibu bapa yang tua.

15. Apakah kesan keganasan rumah tangga terhadap emosi keluarga?

15 Kehancuran emosi yang disebabkan oleh keganasan rumah tangga jauh lebih teruk daripada parut yang ditinggalkan pada tubuh badan. Seorang isteri yang didera berkata, “Anda terpaksa menanggung rasa bersalah dan malu. Biasanya anda tidak ingin bangun pada waktu pagi. Anda berharap semuanya mimpi buruk saja.” Anak-anak yang melihat atau mengalami keganasan rumah tangga mungkin berlaku ganas apabila mereka menjadi dewasa dan mendirikan rumah tangga sendiri.

16, 17. Apakah maksud penderaan emosi? Apakah kesannya ke atas ahli keluarga?

16 Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada penderaan fizikal. Selalunya mangsa juga ditusuk dengan kata-kata. Amsal 12:18 berkata, “Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang.” “Tikaman” yang dimaksudkan termasuklah perbuatan mencaci maki, menjerit, serta selalu mengkritik, menghina, dan mengugut ahli keluarga. Luka yang dibawa oleh keganasan emosi tidak kelihatan dan biasanya tidak diketahui orang.

17 Penderaan emosi kanak-kanak sangat menyayat hati. Ada ibu bapa yang asyik menyindir dan merendahkan keupayaan, kepandaian, atau harga diri anak-anak. Perbuatan sebegini boleh menghancurkan keyakinan diri anak. Memang, semua anak memerlukan disiplin. Tetapi Bible memberikan arahan, “Hai ibu bapa, janganlah sakiti hati anak-anak supaya mereka tidak menjadi tawar hati.”​—Kolose 3:21, ABB.

CARA MENGHENTIKAN KEGANASAN RUMAH TANGGA

Pasangan Kristian yang saling mengasihi dan menghormati menyelesaikan masalah dengan segera

18. Keganasan rumah tangga berpunca dari mana? Menurut Bible, apakah cara untuk menghentikannya?

18 Keganasan rumah tangga berpunca dari hati dan minda, kerana tindakan seseorang didorong oleh cara pemikirannya. (Yakobus 1:14, 15) Masalah ini boleh dihentikan jika orang yang bersifat ganas itu mengubah cara pemikirannya. (Roma 12:2) Adakah hal ini mustahil? Tidak. Firman Tuhan mempunyai kuasa untuk mengubah orang. Bible juga dapat mencabut pandangan salah yang berakar umbi dalam diri seseorang. (2 Korintus 10:4; Ibrani 4:12) Pengetahuan Bible yang tepat boleh membantu orang mengenakan keperibadian baru dan membuat perubahan besar dalam hidup.​—Efesus 4:22-24; Kolose 3:8-10.

19. Apakah sepatutnya pandangan seorang Kristian terhadap pasangannya?

19 Pandangan terhadap pasangan hidup. Firman Tuhan berkata, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri.” (Efesus 5:28, ABB) Bible juga berkata bahawa suami harus memperlakukan isteri dengan hormat kerana dia “kaum yang lebih lemah.” (1 Petrus 3:7) Isteri pula dinasihati agar “mengasihi suami” dan menghormatinya dari hati. (Titus 2:4; Efesus 5:33) Suami yang mendera atau memaki isteri menunjukkan bahawa dia tidak menghormati isteri dan tidak takut akan Tuhan. Dan isteri yang menjerit, menyindir, atau asyik memarahi suami menunjukkan bahawa dia tidak mengasihi dan menghormati suami.

20. Ibu bapa bertanggungjawab terhadap siapa atas cara mereka menjaga anak? Mengapakah ibu bapa harus mempunyai pandangan yang munasabah terhadap anak?

20 Pandangan yang betul tentang anak-anak. Kanak-kanak memerlukan kasih dan perhatian ibu bapa. Mereka layak menerimanya kerana Bible berkata bahawa “anak-anak adalah anugerah Tuhan” dan “berkat-Nya.” (Mazmur 127:3) Ibu bapa bertanggungjawab terhadap Yehuwa atas cara mereka menjaga pemberian ini. Bible menyebut bahawa “kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan.” (Amsal 22:15; 1 Korintus 13:11) Jadi, ibu bapa tidak patut hairan jika anak mereka bertindak dengan kurang bijak. Anak muda bukanlah orang dewasa. Ibu bapa tidak patut memaksa anak melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan umur, latar belakang, atau kemampuannya.​—Lihat Kejadian 33:12-14.

21. Menurut Bible, apakah pandangan dan layanan yang patut diberikan terhadap ibu bapa yang tua?

21 Pandangan terhadap ibu bapa yang lanjut usia. Imamat 19:32 berkata, “Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua.” Ya, Hukum Tuhan menggalakkan kita agar bertimbang rasa terhadap orang yang lanjut usia. Hal ini mungkin sukar jika ibu bapa membuat banyak permintaan. Barangkali mereka lambat bergerak atau berfikir kerana sakit. Namun, anak-anak diingatkan supaya “membalas budi ibu bapa.” (1 Timotius 5:4) Ertinya, anak-anak harus menghormati, menjaga harga diri, dan bahkan menyara ibu bapa yang tua. Anak yang menganiaya ibu bapa tua dari segi fizikal atau emosi, terang-terang melanggar perintah Bible.

22. Apakah sifat yang diperlukan untuk menghentikan keganasan rumah tangga? Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan sifat ini?

22 Pupuklah kawalan diri. Amsal 29:11 (ABB) berkata, “Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan.” Bagaimanakah anda dapat mengawal diri? Selesaikan masalah dengan segera agar perasaan geram tidak membarah dalam hati. (Efesus 4:26, 27) Tinggalkan tempat itu jika anda tidak dapat mengawal perasaan. Berdoalah untuk daya aktif Tuhan agar anda dapat memperlihatkan kawalan diri. (Galatia 5:22, 23) Anda juga boleh mengawal emosi dengan melakukan aktiviti fizikal, seperti berjalan atau bersenam. (Amsal 17:14, 27) Dan berusahalah untuk “bertenang.”​—Amsal 14:29.

PATUTKAH KAMI BERPISAH?

23. Apakah yang boleh berlaku jika seorang Kristian sengaja menganiaya keluarganya?

23 Menurut Bible, orang yang ‘bermusuhan, berkelahi, dan lekas marah, tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ Malah, Tuhan mengutuk perbuatan mereka. (Galatia 5:19-21) Oleh itu, seorang Kristian yang berkali-kali membiarkan kemarahannya meluap sehingga dia menganiaya pasangan atau anaknya, boleh disingkirkan daripada sidang Kristian jika dia enggan bertaubat. (Bandingkan 2 Yohanes 9, 10.) Dengan demikian, sidang tidak akan dicemari oleh orang yang bersikap ganas.​—1 Korintus 5:6, 7; Galatia 5:9.

24. (a) Apakah pilihan yang boleh dibuat oleh mangsa penderaan? (b) Apakah yang boleh dilakukan oleh sahabat dan penatua? Namun, mereka tidak patut melakukan apa?

24 Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang Kristian jika dia didera oleh pasangannya secara berterusan? Ada yang memilih untuk terus tinggal dengan pasangan mereka atas sebab-sebab tertentu. Yang lain pula memilih untuk berpisah kerana mereka berasa bahawa kesihatan fizikal, mental, rohani, dan bahkan nyawa mereka terancam. Mangsa penderaan mesti membuat pilihan sendiri. Dia perlu ingat bahawa dia bertanggungjawab kepada Yehuwa atas tindakannya. (1 Korintus 7:10, 11) Sahabat, sanak saudara, atau penatua Kristian yang berniat baik boleh menawarkan bantuan dan nasihat, tetapi mereka tidak patut memaksa mangsa untuk mengambil tindakan tertentu. Dia sendiri mesti membuat keputusan.​—Roma 14:4; Galatia 6:5.

TIADA LAGI MASALAH YANG MENGHANCURKAN KELUARGA

25. Apakah tujuan Yehuwa bagi keluarga?

25 Semasa Yehuwa menyatukan Adam dan Hawa dalam perkahwinan, Dia tidak ingin keluarga dihancurkan oleh masalah seperti ketagihan alkohol atau keganasan. (Kejadian 2:18-25) Tuhan ingin keluarga menjadi tempat yang dipenuhi kasih dan kedamaian. Dia juga ingin keperluan mental, emosi, dan rohani setiap anggota terpelihara. Tetapi selepas manusia berdosa, kehidupan keluarga merosot dengan mendadak.​—Bandingkan Pengkhutbah 8:9.

26. Apakah harapan yang menantikan mereka yang hidup selaras dengan kehendak Yehuwa?

26 Betapa gembiranya kita kerana Yehuwa tidak melupakan tujuannya untuk keluarga! Dia berjanji untuk membawa dunia baru di mana manusia akan “hidup dengan aman, dan tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.” (Yehezkiel 34:28) Pada masa itu, ketagihan alkohol, keganasan rumah tangga, dan masalah lain yang menghancurkan keluarga akan menjadi perkara silam. Senyuman orang tidak lagi menyembunyikan ketakutan dan keperitan. Sebaliknya, mereka tersenyum kerana “menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.”​—Mazmur 37:11.

^ per. 3 Kami mengandaikan bahawa penagih alkohol ialah seorang lelaki, tetapi prinsip yang sama boleh diterapkan untuk penagih wanita.

^ per. 12 Di sesetengah negara, terdapat pusat rawatan, hospital, dan program pemulihan yang boleh membantu penagih alkohol serta keluarga mereka. Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengesyorkan mana-mana jenis rawatan. Jadi, setiap orang harus membuat keputusan peribadi. Namun, berhati-hatilah agar anda tidak terlibat dalam aktiviti yang melanggar prinsip Bible.