Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan—2017
Saudara Saudari yang Dikasihi,
Pada abad ketujuh S.M., Nabi Yehezkiel mendapat suatu penglihatan yang menakjubkan. Dia nampak sebuah kenderaan yang sangat besar di syurga, yang dikawal oleh Tuhan Yang Berdaulat. Pergerakan kenderaan itu sungguh luar biasa. Kenderaan itu bergerak dan bertukar arah sepantas kilat. Semasa bertukar arah, kenderaan itu tidak perlu mengurangkan kelajuannya atau membelok.—Yeh. 1:4, 9, 12, 14, 16-27.
Penglihatan itu mengingatkan kita bahawa bahagian organisasi Yehuwa di syurga sentiasa bergerak maju. Bagaimana pula dengan bahagian organisasi-Nya di bumi? Kegiatan umat Yehuwa pada tahun aktiviti penyebaran yang lalu jelas menunjukkan bahawa mereka maju dengan pesat!
Tahun lalu, ahli-ahli Bethel di Amerika Syarikat sangat sibuk. Ada yang berpindah dari Brooklyn ke ibu pejabat sedunia yang baharu di Warwick, New York, atau ke bangunan-bangunan Bethel yang lain. Ada juga yang ditugaskan sebagai perintis. Ahli-ahli Bethel di beberapa buah negara juga sibuk dengan kerja pembinaan, pengubahsuaian, penggabungan, atau perpindahan, yang berlangsung di cawangan mereka. Bagaimana pula dengan anda? Biarpun anda tidak sibuk berpindah, anda pasti sibuk dalam kegiatan-kegiatan yang lain.
Badan Pimpinan sangat terharu dan digalakkan kerana umat Yehuwa di serata dunia berusaha dengan gigih sekali untuk maju seiring dengan organisasi Yehuwa. Ramai yang berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Ada yang menceburi bidang khidmat yang baharu, seperti kawasan penyebaran bahasa asing. Banyak orang mencuba kaedah kesaksian yang belum pernah digunakan oleh mereka. Yang lain pula memperluas khidmat sendiri melalui cara-cara lain. Semua orang Kristian yang setia, termasuk mereka yang lanjut usia dan uzur, sedang menempuh perlumbaan untuk mendapat kehidupan. Mereka terus berkhidmat kepada Yehuwa dan mendedahkan sifat sebenar Syaitan, Si Pendusta itu!—1 Kor. 9:24.
Yakinlah bahawa Yehuwa menghargai sikap baik anda. (Ibr. 6:10) Kerelaan anda mengingatkan kami akan Abraham dan Sara. Semasa Abraham berumur 70-an, dia meninggalkan kota Ur dan membawa keluarganya ke negeri Kanaan yang jauh. Untuk 100 tahun yang berikutnya, dia tinggal di dalam khemah. Tidakkah anda berasa kagum dengan kerelaan yang ditunjukkan oleh dia dan isterinya?—Kej. 11:31; Kis. 7:2, 3.
Saudara saudari, jika anda tetap setia kepada Tuhan pada hari-hari terakhir ini dan terus melaksanakan kerja yang diamanahkan oleh Yesus, anda sedang meniru sikap Abraham dan Sara. Yesus berkata, “Maka, pergilah kepada semua bangsa dan Mat. 28:19.
jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan daya aktif Tuhan.”—Perintah Yesus “pergilah” menunjukkan bahawa kita harus bergiat dengan bersungguh-sungguh. Tidakkah kita berasa puas dan bersemangat semasa melihat pencapaian para pengikut Kristus pada tahun lalu? Memang jelas bahawa Yehuwa telah mencurahkan berkat yang melimpah-limpah ke atas kerja menyebarkan berita baik kepada semua bangsa.—Mrk. 13:10.
Ramai orang menyambut berita baik yang disampaikan. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan bilangan penyiar yang tertinggi pada tahun lalu, iaitu sebanyak 8,340,847 orang. Purata bagi pembelajaran Bible yang diadakan pada setiap bulan pula ialah 10,115,264. Pencapaian ini menunjukkan bahawa anda sedang bergerak seiring dengan kenderaan Yehuwa di syurga! Teruslah bergiat melakukan kerja Tuhan pada hari-hari terakhir ini sebelum Yehuwa menutup pintu yang menuju ke penyelamatan.
Betapa sesuainya ayat tahunan 2017: ‘Percayalah kepada Yehuwa dan buatlah apa yang baik’! (Mzm. 37:3) Dengan menjalankan khidmat suci kepada Yehuwa, anda menunjukkan bahawa anda percaya kepada-Nya seperti yang dinyatakan dalam ayat tahunan. Yakinlah bahawa anda tidak bersendirian kerana Yesus berkata, “Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.”—Mat. 28:20.
Yehuwa pasti akan terus memberkati khidmat suci anda. Tidak kira seberapa banyak usaha yang anda curahkan, Dia ingin anda memberikan yang terbaik kepada-Nya dengan motif yang betul. Setiap pengorbanan yang anda lakukan dapat menggembirakan hati Yehuwa. (2 Kor. 9:6, 7) Maka, teruslah mendekati Bapa kita yang pengasih melalui doa dan pembelajaran Firman Tuhan yang tetap, menghadiri perjumpaan, serta giat menyertai aktiviti penyebaran.
‘Masa Si Iblis tinggal sedikit.’ (Why. 12:12) Maka, dia bertekad untuk menggunakan setiap kesempatan agar kita tidak lagi setia kepada Tuhan. Teruslah berpaut kepada Yehuwa, maka segala usaha Si Iblis akan gagal. (Mzm. 16:8) Ingatlah, kami sangat mengasihi anda. Kami amat menghargai usaha yang anda curahkan demi Kerajaan Tuhan pada hari-hari terakhir ini.
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa