Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SATU

Apakah Kebenaran tentang Tuhan?

Apakah Kebenaran tentang Tuhan?
  •  Adakah Tuhan benar-benar mengambil berat tentang anda?

  • Apakah sifat-sifat Tuhan? Siapakah nama Tuhan?

  • Bolehkah kita menghampiri Tuhan?

1, 2. Mengapakah kita perlu bertanya?

PERNAHKAH anda memperhatikan bagaimana kanak-kanak menanyakan soalan? Banyak kanak-kanak mula bertanya sebaik sahaja mereka belajar untuk bercakap. Mereka memandang anda dengan mata yang terbuka luas lalu bertanya soalan-soalan seperti: Mengapakah langit berwarna biru? Mengapakah bintang berkelip-kelip? Siapakah yang mengajar burung menyanyi? Walaupun anda berusaha untuk menjawab soalan mereka, mereka mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan anda. Jawapan terbaik yang diberikan oleh anda mungkin akan disambut lagi dengan soalan: Mengapa?

2 Sebenarnya, bukan kanak-kanak sahaja yang suka bertanya. Semasa kita membesar, kita masih terus bertanya, misalnya untuk mengetahui arah jalan, untuk menghindari bahaya-bahaya tertentu, dan untuk memuaskan sifat ingin tahu kita. Tetapi, sering kali banyak orang berhenti menanyakan soalan-soalan yang penting dalam hidup mereka. Setidak-tidaknya, mereka berhenti mencari jawapan kepada soalan-soalan mereka.

3. Mengapakah banyak orang berhenti mencari jawapan kepada soalan-soalan yang penting dalam hidup mereka?

3 Fikirkan tentang soalan yang terpapar di kulit buku ini, soalan-soalan di bahagian pendahuluan,atau  soalan-soalan di awal bab ini. Semua soalan ini adalah antara soalan yang paling penting yang boleh anda tanyakan. Namun demikian, banyak orang berhenti mencari jawapan kepada soalan-soalan ini. Mengapa? Adakah Bible mempunyai jawapan kepada soalan-soalan ini? Sesetengah orang berasa bahawa jawapan yang didapati di dalam Bible adalah terlalu sukar untuk difahami. Ada pula yang berasa malu atau segan untuk bertanya. Yang lain pula berpendapat bahawa soalan-soalan ini hanya dapat dijawab oleh pemimpin atau guru agama. Bagaimana pula dengan anda?

4, 5. Apakah soalan-soalan yang penting yang boleh kita tanyakan, dan mengapakah kita patut mencari jawapan kepada soalan-soalan ini?

4 Kemungkinan besar anda ingin mendapat jawapan kepada soalan-soalan yang paling penting dalam hidup. Mungkin anda pernah bertanya, “Apakah tujuan hidup saya? Adakah saya dilahirkan untuk menjadi tua dan akhirnya mati? Apakah sifat-sifat Tuhan?” Anda patut dipuji kerana mengajukan soalan-soalan ini. Janganlah putus asa sebelum anda mendapat jawapan yang memuaskan dan yang boleh dipercayai. Yesus Kristus, seorang guru yang terkenal pernah berkata, ‘Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu.’​—Matius 7:7, ABB.

5 Jika anda terus mencari jawapan kepada soalan-soalan ini, usaha anda akan membuahkan hasil yang baik. (Amsal 2:1-5) Sesetengah orang mungkin memberitahu anda bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat menjawab soalan-soalan ini. Namun, jawapan kepada soalan-soalan ini memang wujud dan boleh dijumpai. Jawapannya didapati di dalam Bible. Jawapan kepada soalan-soalan ini bukanlah terlalu sukar untuk difahami, malah dapat memberikan harapan, membawa sukacita, dan membantu anda untuk menikmati kehidupan yang bahagia sekarang. Marilah kita bincangkan satu soalan yang telah lama membingungkan banyak orang.

ADAKAH TUHAN BERBELAS KASIHAN DAN MENGAMBIL BERAT TENTANG KITA?

6. Mengapakah ramai orang berfikir bahawa Tuhan tidak mengambil berat tentang manusia dan masalah mereka?

6 Ramai orang menjawab “tidak” kepada soalan ini. Mereka berkata, “Jika Tuhan mengambil berat tentang kita, keadaan di dunia tidak akan menjadi sebegini.” Lihatlah di sekeliling anda. Dunia kita dipenuhi dengan peperangan, kebencian, dan kesengsaraan. Kita jatuh sakit, menderita, dan kehilangan orang tersayang. Oleh itu, ramai orang berkata, “Jika Tuhan mengambil berat tentang kita dan masalah kita, tidakkah Dia akan menghalang perkara-perkara ini daripada berlaku?”

7. (a) Bagaimanakah guru-guru agama membuat orang percaya bahawa Tuhan tidak berbelas kasihan? (b) Apakah sebenarnya yang diajarkan di dalam Bible tentang cubaan atau godaan yang kita alami?

7 Yang memburukkan keadaan lagi, terdapat guru-guru agama yang membuat orang percaya bahawa Tuhan tidak berbelas kasihan. Bagaimana? Apabila seseorang ditimpa malapetaka, mereka mengatakan bahawa kejadian itu merupakan kehendak Tuhan. Maka, secara tidak langsung, mereka menyalahkan Tuhan apabila perkara yang buruk berlaku. Adakah kata-kata mereka benar? Apakah sebenarnya yang diajarkan di dalam Bible? Yakobus 1:13 (ABB) menyatakan, ‘Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Tuhan.” Hal ini demikian kerana Tuhan tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Tuhan sendiri tidak menggoda orang.’ Maka, Pencipta manusia sama sekali bukan punca kejahatan yang berlaku di dunia. (Ayub 34:10-12) Memang benar, Tuhan mengizinkan perkara-perkara buruk untuk berlaku. Tetapi, terdapat perbezaan yang ketara antara tindakan mengizinkan sesuatu berlaku dengan tindakan menyebabkan sesuatu berlaku.

8, 9. (a) Berikan satu contoh untuk membezakan tindakan mengizinkan kejahatan berlaku dengan tindakan menyebabkan kejahatan berlaku. (b) Mengapakah Tuhan tidak boleh dipersalahkan atas keputusan-Nya untuk mengizinkan manusia memilih haluan hidup yang buruk?

8 Sebagai contoh, seorang bapa yang pengasih dan bijaksana mempunyai seorang anak dewasa yang tinggal bersamanya. Selepas beberapa lama, anak itu memberontak lalu membuat keputusan untuk meninggalkan rumah bapanya. Bapanya tidak menghalangnya. Anak itu mengikut haluan hidup yang buruk dan mendapat susah. Adakah bapanya penyebab masalah-masalahnya? Tidak. (Lukas 15:11-13) Dalam cara yang sama, Tuhan tidak menghalang manusia yang telah memilih untuk mengikut haluan hidup yang buruk. Tetapi, Tuhan bukanlah penyebab masalah-masalah yang timbul akibat haluan hidup mereka yang buruk. Maka, kita tidak boleh menyalahkan Tuhan atas segala masalah yang dihadapi oleh umat manusia.

9 Tuhan mempunyai sebab-sebab yang munasabah untuk mengizinkan manusia memilih haluan hidup yang buruk. Sebagai Pencipta kita yang bijaksana dan berkuasa, Dia tidak perlu memberitahu kita sebab-sebab tersebut. Namun, Tuhan telah berbuat demikian kerana Dia mengasihi kita. Kita akan mempelajari lebih lanjut tentang sebab-sebab ini dalam Bab 11. Maka, Tuhan yang benar tidak boleh dipertanggungjawabkan atas masalah-masalah kita. Sebaliknya, Tuhan memberi kita satu-satunya harapan dan jalan penyelesaian bagi masalah-masalah kita!​—Yesaya 33:2.

10. Mengapakah kita boleh percaya bahawa Tuhan akan melenyapkan segala kesan buruk yang dibawa oleh kefasiqan?

10 Tambahan pula, Tuhan adalah suci. (Yesaya 6:3) Hal ini bermaksud Tuhan adalah bersih, murni, dan tidak bercela. Tidak ada sedikit kejahatan pun pada diri-Nya. Kita boleh percaya kepada Tuhan dengan sepenuhnya tetapi kita tidak semestinya boleh percaya kepada manusia. Hal ini sedemikian kerana manusia boleh berubah menjadi jahat. Pemerintah yang paling jujur pun tidak mempunyai kuasa untuk melenyapkan kejahatan yang disebabkan oleh orang jahat. Tetapi, Tuhan adalah maha kuasa. Dia mampu dan akan melenyapkan segala kesan buruk yang dibawa oleh kefasiqan. Apabila Tuhan bertindak, kejahatan akan dilenyapkan untuk selama-lamanya!​—Mazmur 37:9-11.

APAKAH PERASAAN TUHAN APABILA DIA MELIHAT KITA MENGALAMI KETIDAKADILAN?

11. (a) Apakah perasaan Tuhan terhadap ketidakadilan? (b) Apakah perasaan Tuhan terhadap penderitaan yang anda alami?

11 Buat masa ini, apakah perasaan Pencipta kita terhadap apa yang sedang berlaku di dunia dan dalam kehidupan anda? Bible mengajarkan bahawa Tuhan “suka akan kebenaran,” dan Dia “sempurna dan adil dalam segala perkara.” (Mazmur 37:28; Ulangan 32:4) Hal ini bermaksud Dia sangat mengambil berat tentang apa yang betul dan apa yang salah. Dia membenci segala ketidakadilan. Bible menyatakan bahawa ‘Yehuwa begitu kecewa’ apabila kejahatan memenuhi bumi pada masa lampau. (Kejadian 6:5, 6) Tuhan masih tidak berubah. (Maleakhi 3:6) Dia masih membenci kejahatan yang semakin merebak di bumi. Tuhan juga benci melihat orang menderita. Bible menyatakan, “Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Petrus 5:7.

Bible mengajarkan bahawa Yehuwa, Bapa kita yang pengasih, ialah Pencipta alam semesta

12, 13. (a) Mengapakah kita mempunyai sifat-sifat yang baik seperti kasih, dan bagaimanakah kasih mempengaruhi pandangan kita terhadap apa yang berlaku di bumi? (b) Mengapakah anda yakin bahawa Tuhan akan mengambil tindakan untuk mengakhiri masalah-masalah dunia?

12 Bagaimanakah kita boleh tahu dengan pasti bahawa Tuhan benci melihat penderitaan? Berikut merupakan satu lagi bukti. Bible mengajarkan bahawa manusia diciptakan mengikut imej Tuhan. (Kejadian 1:26) Maka, kita mempunyai sifat-sifat yang baik kerana Tuhan mempunyai sifat-sifat yang baik. Sebagai contoh, apakah perasaan anda apabila anda melihat orang yang tidak bersalah menderita? Jika anda prihatin terhadap ketidakadilan yang berlaku, tidakkah Tuhan lebih prihatin terhadap hal ini?

13 Salah satu sifat yang paling menonjol yang dipunyai oleh manusia ialah kasih. Manusia dapat mengasihi orang lain kerana mereka mencerminkan sifat Tuhan. Bible mengajarkan bahawa ‘Tuhan itu kasih.’ (1 Yohanes 4:8) Kita mempunyai kasih kerana Tuhan mempunyai kasih. Adakah kasih akan menggerakkan anda untuk mengakhiri penderitaan dan ketidakadilan yang anda lihat di bumi? Seandainya anda memiliki kuasa untuk melakukan hal itu, adakah anda akan bertindak? Ya, sudah tentu! Maka, anda boleh yakin bahawa Tuhan juga akan mengambil tindakan untuk mengakhiri penderitaan dan ketidakadilan. Janji-janji yang dinyatakan di bahagian pendahuluan buku ini bukanlah janji-janji kosong. Janji Tuhan pasti akan menjadi kenyataan! Jika anda mengenali Tuhan dengan lebih dekat lagi, anda dapat mempercayai janji-janji-Nya.

TUHAN INGIN ANDA MENGENALINYA

Semasa anda memperkenalkan diri, tidakkah anda memberitahu nama anda? Dalam Bible, Tuhan memberitahu kita nama-Nya

14. Siapakah nama Tuhan, dan mengapakah kita harus menggunakan nama-Nya?

14 Jika anda ingin memperkenalkan diri anda kepada seseorang, apakah yang akan anda lakukan? Tidakkah anda akan memberitahu nama anda kepadanya? Adakah Tuhan, Pencipta kita, mempunyai nama? Sesetengah orang percaya bahawa nama-Nya ialah “TUHAN” atau “TUAN.” Namun, “TUHAN” atau “TUAN,” seperti “raja” dan “presiden,” bukanlah nama tetapi merupakan gelaran. Bible mengajarkan bahawa Tuhan mempunyai banyak gelaran. “TUHAN” dan “TUAN” adalah antara gelaran-gelaran ini. Bible juga mengajarkan bahawa Pencipta kita mempunyai nama. Nama-Nya Yehuwa. Mazmur 83:19 menyatakan tentang Yehuwa, “Hanya Engkaulah TUHAN, Yang Maha Tinggi di seluruh bumi!” Jika anda menggunakan Alkitab Berita Baik dalam bahasa Malaysia, sila lihat nota kaki di Kejadian 2:4 dan Keluaran 3:14. Untuk mempelajari mengapa banyak Bible tidak mengandungi nama Tuhan, sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “Nama Tuhan​—Penggunaan dan Ertinya.” Sebenarnya, nama Tuhan boleh dijumpai beribu-ribu kali dalam naskhah kuno Bible. Dengan kata lain, Tuhan menggunakan Bible untuk memperkenalkan diri-Nya kepada anda. Jadi, Yehuwa mahu anda mengetahui nama-Nya dan Dia mahu anda menggunakan nama-Nya.

15. Apakah erti nama Yehuwa?

15 Nama yang diberikan oleh Tuhan kepada diri-Nya adalah sangat bermakna. Nama-Nya, Yehuwa, bererti Tuhan mampu menunaikan segala janji-Nya dan melaksanakan segala kehendak-Nya. * Nama Tuhan adalah unik, lain daripada yang lain, dan merupakan milik-Nya sahaja. Yehuwa juga unik dalam beberapa aspek yang lain. Mengapakah kita boleh berkata sedemikian?

16, 17. Apakah yang boleh kita pelajari tentang Yehuwa daripada gelaran-gelaran berikut: (a) “Yang Maha Kuasa”? (b) “Raja yang kekal”? (c) “Pencipta”?

16 Seperti yang telah anda pelajari, Mazmur 83:19 menyatakan tentang Yehuwa, “Hanya Engkaulah TUHAN, Yang Maha Tinggi.” Dalam cara yang sama, Yehuwa sahaja diberi gelaran “Yang Maha Kuasa.” Penyingkapan 15:3 menyatakan, ‘Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu sungguh agung dan menakjubkan!’ Gelaran “Yang Maha Kuasa” mengajar kita bahawa Yehuwalah yang paling berkuasa di seluruh alam semesta. Kuasa-Nya tiada tolok bandingan. Dia mempunyai kuasa yang mutlak. Di 1 Timotius 1:17, Yehuwa digelar “Raja yang kekal.” Gelaran ini mengingatkan kita bahawa Yehuwa adalah unik dalam satu lagi aspek, iaitu Dia sahajalah yang senantiasa wujud. Mazmur 90:2 menyatakan, ‘Engkaulah Tuhan yang kekal, Tuhan selama-lamanya.’ Tidakkah hal ini menyebabkan anda berasa kagum?

17 Yehuwa juga unik kerana Dia ialah Pencipta segala sesuatu. Penyingkapan 4:11 (ABB) menyatakan, ‘Ya Yehuwa dan Tuhan kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.’ Fikirkanlah tentang makhluk roh di syurga, bintang yang bertaburan di langit, buah-buahan yang tumbuh di atas pokok, atau ikan yang berenang di lautan dan sungai. Kesemua ini wujud kerana Yehuwa ialah Pencipta segala sesuatu!

BOLEHKAH ANDA MENGHAMPIRI YEHUWA?

18. Mengapakah sesetengah orang berasa bahawa mereka tidak dapat menghampiri Tuhan, tetapi apakah yang diajarkan di dalam Bible?

18 Sesetengah orang mungkin berasa kurang selesa semasa mereka membaca tentang sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan. Mereka khuatir bahawa mereka tidak dapat menghampiri Tuhan kerana Dia terlalu luhur atau tinggi. Mereka juga berasa bahawa Tuhan tidak akan mengambil peduli tentang mereka kerana Dia merupakan Tuhan yang begitu agung. Tetapi adakah cara pemikiran sebegini betul? Tidak! Bible mengajarkan hal yang sebaliknya. Bible menyatakan, ‘Sebenarnya Tuhan tidak jauh daripada kita masing-masing.’ (Kisah 17:27) Malah, inilah galakan Bible, ‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’​—Yakobus 4:8.

19. (a) Bagaimanakah kita dapat menghampiri Tuhan, dan apakah manfaatnya? (b) Apakah antara sifat-sifat Tuhan yang paling menarik bagi anda?

19 Bagaimanakah anda boleh menghampiri Tuhan? Mula-mula, anda harus terus belajar tentang Tuhan. Yesus berkata, ‘Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.’ (Yohanes 17:3, ABB) Ya, Bible mengajarkan bahawa jika anda belajar tentang Yehuwa dan Yesus, anda akan berpeluang mendapat “hidup sejati dan kekal”! Seperti yang telah anda pelajari, ‘Tuhan itu kasih.’ (1 Yohanes 4:16) Yehuwa juga mempunyai sifat-sifat lain yang menarik dan terpuji. Misalnya, Bible menyatakan bahawa Yehuwa ialah ‘Tuhan yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; tidak cepat murka, dan menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar.’ (Keluaran 34:6) Dia “baik dan suka mengampuni orang.” (Mazmur 86:5) Dia Tuhan yang sabar. (2 Petrus 3:9) Dia setia. (Mazmur 18:26) Seraya anda terus belajar tentang Yehuwa daripada Bible, anda akan belajar bagaimana Yehuwa memperlihatkan sifat-sifat ini dan sifat-sifat lain yang menarik.

20-22. (a) Adakah hakikat bahawa anda tidak dapat melihat Tuhan menghalang anda daripada menghampiri-Nya? Jelaskan. (b) Sesetengah orang yang berniat baik mungkin mendesak anda untuk melakukan apa? Tetapi apakah yang harus anda lakukan?

20 Anda tidak dapat melihat Tuhan kerana Dia bertubuh roh. (Yohanes 1:18; 4:24; 1 Timotius 1:17) Namun, dengan mempelajari tentang Tuhan daripada Bible, anda akan mengenali Yehuwa sebagai seorang individu. Seperti yang tercatat di dalam buku Mazmur, anda dapat “menyaksikan segala kebaikan-Nya.” (Mazmur 27:4; Roma 1:20) Seraya anda lebih mengenali Yehuwa, anda akan mengetahui bahawa Dia ialah individu roh yang penuh kasih, dan anda akan mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk menghampiri-Nya dan terus mengasihi-Nya.

Kasih yang diperlihatkan oleh Bapa kita di syurga jauh lebih agung daripada kasih yang diperlihatkan oleh seorang bapa kepada anaknya

21 Secara beransur-ansur, anda akan memahami mengapa Bible mengajar kita untuk menganggap Yehuwa sebagai Bapa kita. (Matius 6:9) Dia bukan sahaja mengurniakan nyawa kepada kita malah Dia inginkan kehidupan yang terbaik untuk kita. Dalam cara ini, Tuhan adalah seperti seorang bapa yang menyayangi anak-anaknya dan mahukan mereka hidup bahagia. (Mazmur 36:10) Bible juga mengajarkan bahawa manusia boleh menjadi sahabat Yehuwa. (Yakobus 2:23) Bayangkanlah hal ini​—anda berpeluang untuk menjalinkan persahabatan dengan Pencipta seluruh alam semesta!

22 Seraya anda terus mempelajari Bible, mungkin anda mendapati bahawa sesetengah orang yang berniat baik akan mendesak anda untuk menghentikan pembelajaran Bible anda. Mungkin mereka khuatir anda akan menukar kepercayaan anda. Tetapi, janganlah benarkan sesiapa pun untuk menghalang anda daripada menjalinkan persahabatan yang paling bernilai.

23, 24. (a) Mengapakah anda harus terus menanyakan soalan berhubung dengan apa yang anda pelajari? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

23 Pada mulanya, anda mungkin tidak memahami beberapa perkara yang sedang anda pelajari. Anda mungkin memerlukan sifat rendah hati untuk meminta bantuan. Walaupun begitu, janganlah teragak-agak untuk meminta bantuan kerana takut diketawakan orang. Yesus menggalakkan kita untuk memupuk sifat rendah hati seperti yang dimiliki oleh seorang kanak-kanak. (Matius 18:2-4) Kita juga tahu bahawa kanak-kanak memang suka bertanya. Tuhan mahu anda mencari jawapan kepada soalan-soalan anda. Dalam Bible, sesetengah orang dipuji kerana mereka sangat ingin mengenali Tuhan. Mereka menyelidiki Bible dengan teliti untuk memastikan sama ada apa yang dipelajari oleh mereka adalah benar.​—Kisah 17:11.

24 Cara yang terbaik untuk belajar tentang Yehuwa adalah dengan menyelidiki Bible. Bible sangat berbeza daripada buku-buku yang lain. Mengapa? Bab yang seterusnya akan membincangkan hal ini.

^ per. 15 Maklumat lanjut tentang erti dan sebutan nama Tuhan boleh didapati di bahagian Lampiran yang bertajuk “Nama Tuhan​—Penggunaan dan Ertinya.”