Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Patutkah Kita Menyambut Perayaan?

Patutkah Kita Menyambut Perayaan?

PERAYAAN keagamaan dan sekular yang dirayakan oleh ramai orang di seluruh bumi tidak berasal daripada Bible. Maka, apakah asal usul perayaan sedemikian? Jika anda dapat membuat penyelidikan sendiri di sebuah perpustakaan, anda akan menjumpai maklumat yang menarik tentang perayaan yang biasa disambut di negara anda. Mari kita lihat beberapa contoh.

Easter. “Tidak ada sebarang bukti di dalam Perjanjian Baru yang menunjukkan bahawa perayaan Easter disambut,” kata The Encyclopædia Britannica. Jadi, apakah asal usul perayaan Easter? Perayaan ini berasal daripada agama kafir. Walaupun perayaan ini kononnya disambut untuk memperingati pembangkitan Yesus, adat kebiasaan yang dikaitkan dengan perayaan Easter tidak mempunyai asal usul Kristian.

Perayaan Tahun Baru. Tarikh dan adat yang berkaitan dengan perayaan Tahun Baru adalah berbeza dari negara ke negara. Mengenai asal usul perayaan ini, The World Book Encyclopedia menyatakan, “Pada tahun 46 SM, pemerintah Roma, Julius Caesar, menetapkan tarikh 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru. Orang Roma mengekhaskan hari ini untuk memperingati dewa Janus, iaitu dewa gerbang, pintu, dan permulaan. Bulan Januari dinamakan sempena dewa Janus yang mempunyai dua muka—satu melihat ke depan dan satu lagi melihat ke belakang.” Maka, perayaan Tahun Baru berasal daripada adat istiadat kafir. Di negara-negara timur pula, perayaan Tahun Baru diraikan berdasarkan peredaran bulan dan dikaitkan dengan penyembahan dewa dewi dan nenek moyang serta penghalauan hantu dan nasib malang. Bahkan sekarang, perayaan-perayaan sebegini adalah mengikut tradisi karut yang dianggap boleh membawa nasib baik serta kekayaan.

Halloween. Perayaan ini hampir sama dengan Perayaan Hantu Lapar dan Gawai Antu. Mengenai perayaan Halloween, The Encyclopedia Americana menyatakan, “Ciri-ciri adat kebiasaan Halloween berasal daripada istiadat orang Druid [pendeta-pendeta orang Celt kuno] pada zaman pra-Kristian. Orang Celt menyambut perayaan untuk dua dewa utama, iaitu dewa matahari dan dewa orang mati . . . Perayaan untuk dewa orang mati ini disambut pada 1 November, iaitu pada permulaan Tahun Baru orang Celt. Perayaan ini kemudiannya diserap ke dalam upacara agama Kristian.”

Perayaan Lain. Kita tidak dapat membincangkan semua perayaan yang diraikan di serata dunia. Walau bagaimanapun, perayaan yang mengagungkan manusia atau organisasi manusia tidak mendapat perkenan Yehuwa. (Yeremia 17:5-7; Kisah 10:25, 26) Selain itu, sama ada sesebuah perayaan keagamaan disenangi Tuhan atau tidak bergantung pada asal usulnya. (Yesaya 52:11; Penyingkapan 18:4) Bagaimana pula dengan perayaan-perayaan yang tidak berkaitan dengan agama? Prinsip-prinsip Bible yang terdapat dalam Bab 16 akan membantu anda untuk mengetahui pandangan Tuhan tentang hal ini.