Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LAPAN BELAS

Pembaptisan serta Hubungan Anda dengan Tuhan

Pembaptisan serta Hubungan Anda dengan Tuhan
  • Bagaimanakah pembaptisan Kristian dilakukan?

  • Apakah langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk melayakkan diri bagi pembaptisan?

  • Bagaimanakah seseorang membaktikan diri kepada Tuhan?

  • Apakah sebab utama seseorang mahu dibaptiskan?

1. Mengapakah seorang pegawai tinggi dari Etiopia meminta untuk dibaptiskan?

“LIHATLAH, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?” Soalan ini ditanya pada abad pertama oleh seorang pegawai tinggi dari Etiopia. Seorang saudara Kristian yang bernama Filipus membuktikan kepadanya bahawa Yesus ialah Mesias yang telah dijanjikan. Hati lelaki Etiopia ini menggerakkannya untuk bertindak selaras dengan apa yang telah dipelajari daripada Alkitab. Dia menunjukkan bahawa dia berhasrat untuk dibaptiskan!​—Kisah 8:26-36.

2. Mengapakah anda harus berfikir tentang pembaptisan secara mendalam?

2 Jika anda telah tekun mempelajari bab-bab sebelum ini dengan salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, anda kini mungkin bertanya, “Apakah yang menghalang saya daripada dibaptiskan?” Anda sudah belajar tentang janji daripada Bible mengenai kehidupan kekal di Firdaus. (Lukas 23:43; Penyingkapan 21:3, 4) Anda juga telah belajar tentang keadaan sebenar orang yang telah mati serta harapan pembangkitan. (Pengkhutbah 9:5; Yohanes 5:28, 29) Kemungkinan besar anda sedang bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa di perjumpaan mereka dan anda boleh melihat sendiri bagaimana mereka mengamalkan ajaran agama yang benar. (Yohanes 13:35) Yang penting sekali, anda mungkin telah mula menjalin hubungan peribadi dengan Tuhan Yehuwa.

3. (a) Apakah perintah yang diberikan oleh Yesus kepada para pengikutnya? (b) Bagaimanakah seseorang dibaptis?

3 Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda mahu berkhidmat kepada Tuhan? Yesus memberitahu pengikut-pengikutnya, ‘Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.’ (Matius 28:19) Yesus sendiri dibaptiskan di dalam air dan telah menyediakan teladan yang baik bagi kita. Pembaptisannya tidak dilakukan dengan memercik air atau mencurahkan air ke atas kepalanya. (Matius 3:16) Perkataan “membaptis” berasal daripada istilah Yunani yang bererti “mencelup.” Maka, semasa seorang Kristian dibaptis, seluruh badannya dicelup atau dibenamkan ke dalam air.

4. Pembaptisan dalam air menunjukkan apa?

4 Pembaptisan dalam air merupakan satu syarat yang mesti dipenuhi oleh mereka yang ingin menjalinkan hubungan dengan Tuhan Yehuwa. Pembaptisan menunjukkan kepada semua orang secara umum bahawa anda mempunyai hasrat untuk berkhidmat kepada Tuhan. Pembaptisan menunjukkan bahawa anda berasa gembira untuk melakukan kehendak Yehuwa. (Mazmur 40:8, 9) Namun demikian, langkah-langkah tertentu mesti diambil jika anda ingin melayakkan diri untuk pembaptisan.

PENGETAHUAN DAN KEPERCAYAAN DIPERLUKAN

5. (a) Apakah langkah pertama yang harus diambil untuk melayakkan diri bagi pembaptisan? (b) Mengapakah perjumpaan-perjumpaan Kristian penting?

5 Anda sudah pun mengambil langkah pertama. Bagaimana? Mungkin melalui pembelajaran Bible yang teratur, anda sudah mula menimba pengetahuan tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus. (Yohanes 17:3) Tetapi, terdapat banyak lagi pengetahuan yang perlu anda pelajari. Orang Kristian ingin agar pengetahuan mereka tentang Tuhan bertambah. (Kolose 1:9, 10) Kehadiran anda di perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dapat banyak membantu anda. Adalah penting untuk menghadiri perjumpaan sebegini. (Ibrani 10:24, 25) Jika anda sentiasa menghadiri perjumpaan yang diadakan, pengetahuan anda tentang Tuhan akan terus bertambah.

Penimbaan ilmu pengetahuan yang tepat tentang Firman Tuhan merupakan langkah penting yang diambil untuk melayakkan diri bagi pembaptisan

6. Berapa banyakkah pengetahuan daripada Bible yang mesti anda tahu untuk melayakkan diri bagi pembaptisan?

6 Anda tidak perlu mengetahui segala sesuatu yang terkandung di dalam Bible untuk melayakkan diri bagi pembaptisan. Pegawai tinggi dari negeri Etiopia mempunyai sedikit pengetahuan, tetapi dia masih memerlukan bantuan untuk memahami bahagian tertentu di dalam Alkitab. (Kisah 8:30, 31) Dalam cara yang sama, anda masih perlu menimba banyak pengetahuan. Sebenarnya, pembelajaran tentang Tuhan tidak berkesudahan. (Pengkhutbah 3:11) Namun begitu, sebelum anda boleh dibaptiskan, anda perlu mengetahui dan menerima ajaran asas yang terdapat di dalam Bible. (Ibrani 5:12) Sebagai contoh, anda perlu mengetahui dan menerima kebenaran tentang keadaan orang yang telah mati serta kepentingan nama Tuhan dan Kerajaan-Nya.

7. Bagaimanakah pembelajaran Bible patut mempengaruhi anda?

7 Tetapi, sekadar memiliki pengetahuan sahaja tidak memadai kerana ‘tanpa kepercayaan, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.’ (Ibrani 11:6) Bible memberitahu kita bahawa apabila sesetengah orang di kota Korintus kuno mendengar berita yang disebarkan oleh pengikut Yesus, mereka mula “percaya kepada Yesus lalu dibaptis.” (Kisah 18:8) Dalam cara yang sama, pembelajaran Bible patut membantu anda untuk menaruh kepercayaan dalam Bible sebagai Firman Tuhan yang terilham. Pembelajaran Bible juga patut membantu anda untuk menaruh kepercayaan dalam janji-janji Tuhan dan dalam korban Yesus yang boleh menyelamatkan anda.​—Yosua 23:14; Kisah 4:12; 2 Timotius 3:16, 17.

BERKONGSI KEBENARAN BIBLE DENGAN ORANG LAIN

8. Apakah yang akan menggerakkan anda untuk berkongsi apa yang telah anda pelajari dengan orang lain?

8 Jika kepercayaan memekar di hati anda, tentu susah bagi anda untuk menahan diri daripada memberitahu orang lain tentang apa yang telah anda pelajari. (Yeremia 20:9) Anda akan didorong untuk memberitahu orang lain tentang Tuhan dan tujuan-Nya.​—2 Korintus 4:13.

Kepercayaan kepada Tuhan patut mendorong anda untuk berkongsi apa yang telah anda pelajari dengan orang lain

9, 10. (a) Anda boleh mula berkongsi kebenaran Bible dengan siapa? (b) Apakah yang patut anda lakukan jika anda mahu menyertai kerja penyebaran yang diaturkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa?

9 Mula-mula, anda boleh berkongsi kebenaran dalam Bible dengan saudara-mara, kawan-kawan, jiran, serta rakan sekerja anda dalam cara yang sopan. Lama-kelamaan, anda akan berhasrat untuk menyertai kerja penyebaran yang diaturkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Pada masa itu, bincangkanlah hal ini dengan Saksi yang mengajar Bible kepada anda. Jika anda berasa bahawa anda memenuhi syarat untuk menyertai kerja penyebaran, aturan akan dibuat supaya dua orang penatua di sidang bertemu dengan anda dan guru Bible anda.

10 Hal ini akan membolehkan anda untuk mengenali penatua-penatua Kristian yang menggembala kawanan biri-biri Tuhan. (Kisah 20:28; 1 Petrus 5:2, 3) Jika penatua-penatua nampak bahawa anda memahami dan mempercayai ajaran Bible yang asas, sedang hidup berpandukan prinsip-prinsip Tuhan, dan benar-benar mahu menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, mereka akan memberitahu anda bahawa anda layak untuk menyertai kerja penyebaran berita baik sebagai seorang penyiar yang belum dibaptis.

11. Apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh sesetengah orang sebelum mereka layak untuk menyertai kerja penyebaran dari rumah ke rumah?

11 Sebaliknya, anda mungkin perlu membuat perubahan dalam tabiat serta gaya hidup anda supaya layak menyertai kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Mungkin anda perlu berhenti melakukan sesetengah tabiat yang dirahsiakan daripada orang lain. Maka, sebelum anda bertanya kepada para penatua sama ada anda layak menjadi penyiar yang belum dibaptis, anda haruslah bebas daripada dosa-dosa yang besar, seperti perbuatan seksual yang tidak bermoral, pemabukan, dan penyalahgunaan dadah.​—1 Korintus 6:9, 10; Galatia 5:19-21.

BERTAUBAT DAN MENUKAR HALUAN HIDUP

12. Mengapakah semua orang harus bertaubat?

12 Beberapa langkah yang lain perlu diambil sebelum anda layak dibaptiskan. Hawari Petrus berkata, ‘Bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Tuhan, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara.’ (Kisah 3:19, ABB) Bertaubat bermaksud seseorang benar-benar menyesali sesuatu yang telah dilakukannya. Seseorang yang telah menjalani kehidupan yang tidak bermoral memang patut bertaubat. Tetapi seseorang yang menjalani kehidupan yang agak bersih dari segi moral juga harus bertaubat. Mengapa? Kerana semua manusia merupakan pendosa dan memerlukan pengampunan Tuhan. (Roma 3:23; 5:12) Sebelum mempelajari Bible, anda tidak mengetahui kehendak Tuhan. Maka, tidak mungkin anda dapat hidup selaras dengan kehendak-Nya secara sepenuhnya. Oleh itu, semua orang harus bertaubat.

13. Apakah yang dimaksudkan dengan “menukar haluan hidup”?

13 Selepas seseorang telah bertaubat, dia mesti ‘kembali kepada Tuhan’ atau menukar haluan hidupnya. Sekadar berasa sesal tidak mencukupi. Anda perlu meninggalkan cara hidup yang lama dan bertekad untuk melakukan apa yang baik mulai sekarang. Maka, bertaubat dan menukar haluan hidup merupakan dua langkah penting yang mesti diambil sebelum pembaptisan.

PEMBAKTIAN PERIBADI

14. Apakah langkah penting yang mesti diambil oleh anda sebelum pembaptisan?

14 Terdapat satu lagi langkah penting yang perlu diambil oleh anda sebelum pembaptisan. Anda mesti membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa.

Sudahkah anda membaktikan diri kepada Tuhan melalui doa peribadi?

15, 16. Apakah yang dimaksudkan dengan pembaktian kepada Tuhan, dan apakah yang menggerakkan seseorang untuk melakukan hal ini?

15 Apabila anda membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa melalui doa yang tulus ikhlas, anda berjanji untuk berkhidmat kepada-Nya sahaja, untuk selama-lamanya. (Ulangan 6:15) Tetapi, mengapakah seseorang mahu menjadi hamba Tuhan? Bayangkan bahawa seorang lelaki telah jatuh cinta dengan seorang gadis. Semakin dia mengenali gadis itu dan mengetahui sifat-sifat baiknya, semakin dia tertarik kepadanya. Beberapa lama kemudian, dia melamar gadis itu. Walaupun dia perlu memikul lebih banyak tanggungjawab selepas berkahwin, kasih akan menggerakkan hatinya untuk mengambil langkah yang penting itu.

16 Apabila anda mengenali dan mengasihi Yehuwa, anda didorong untuk berkhidmat kepada-Nya tanpa sebarang syarat. Maka, anda akan rela berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati. Sesiapa yang mahu mengikut jejak Anak Tuhan, iaitu Yesus Kristus “mesti melupakan kepentingan sendiri,” atau menyangkal diri. (Markus 8:34) Kita menyangkal diri dengan memastikan bahawa keinginan dan matlamat peribadi kita tidak menghalang kita daripada mematuhi Tuhan dengan sepenuhnya. Sebelum anda boleh dibaptiskan, anda harus mengutamakan kehendak Tuhan Yehuwa dalam kehidupan anda.​—1 Petrus 4:2.

MENGATASI RASA TAKUT AKAN KEGAGALAN

17. Mengapakah sesetengah orang teragak-agak untuk membaktikan diri kepada Tuhan?

17 Sesetengah orang teragak-agak untuk membaktikan diri kepada Yehuwa kerana mereka takut mengambil langkah yang begitu serius. Mereka takut bahawa jika mereka menjadi seorang Kristian yang telah membaktikan diri, mereka perlu bertanggungjawab kepada Tuhan. Mereka mungkin takut bahawa mereka akan gagal lalu mengecewakan hati Yehuwa. Maka, mereka berfikir bahawa adalah baik jika mereka tidak membaktikan diri kepada-Nya.

18. Apakah yang dapat menggerakkan hati anda untuk membaktikan diri kepada Yehuwa?

18 Seraya anda belajar untuk mengasihi Yehuwa, hati anda akan tergerak untuk membaktikan diri kepada-Nya dan anda akan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan janji anda. (Pengkhutbah 5:3) Selepas pembaktian anda, anda tentu mahu “hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” (Kolose 1:10) Disebabkan oleh kasih anda untuk Tuhan, anda tidak akan berasa bahawa kehendak Tuhan terlalu sukar untuk dilaksanakan. Anda tentu bersetuju dengan hawari Yohanes yang menulis, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’​—1 Yohanes 5:3, ABB.

19. Mengapakah anda tidak perlu berasa takut untuk membaktikan diri kepada Tuhan?

19 Anda tidak perlu sempurna untuk membaktikan diri kepada Tuhan. Yehuwa mengetahui batas kemampuan anda dan tidak sekali-kali mengharapkan lebih daripada apa yang dapat anda lakukan. (Mazmur 103:14) Dia ingin melihat anda berjaya dan akan menyokong serta membantu anda. (Yesaya 41:10) Anda boleh berasa pasti bahawa jika anda menaruh kepercayaan pada Yehuwa dengan sepenuh hati, “Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepada [anda].”​—Amsal 3:5, 6.

LAMBANGKAN PEMBAKTIAN ANDA DENGAN PEMBAPTISAN

20. Mengapakah pembaktian kepada Yehuwa tidak patut kekal sebagai sesuatu yang peribadi?

20 Selepas apa yang baru dibincangkan, mungkin anda tergerak untuk membaktikan diri kepada Yehuwa. Hal ini dilakukan melalui doa peribadi kepada-Nya. Tetapi, semua orang yang benar-benar mengasihi Tuhan juga mesti “mengakui Yesus di hadapan orang” untuk diselamatkan. Dalam kata lain, kita mesti membuat pernyataan di hadapan umum. (Roma 10:10) Bagaimanakah anda dapat melakukan hal ini?

Pembaptisan bermaksud bahawa cara hidup anda yang lama sudah “mati” dan anda “hidup” kembali untuk melakukan kehendak Tuhan

21, 22. Bagaimanakah anda dapat membuat pernyataan di hadapan umum berkenaan kepercayaan anda?

21 Apabila anda berhasrat untuk dibaptis, maklumkan koordinator badan penatua sidang anda. Dia akan mengaturkan supaya beberapa orang penatua membincangkan soalan-soalan mengenai ajaran asas Bible. Jika penatua-penatua menentukan bahawa anda layak dibaptis, mereka akan memberitahu anda bahawa anda boleh dibaptiskan pada perhimpunan atau konvensyen yang berikutnya. * Pada masa itu, biasanya sebuah ceramah yang mengulas erti pembaptisan akan diberikan. Pada penghujung ceramah pembaptisan, penceramah akan menjemput calon-calon pembaptisan untuk menjawab dua soalan yang ringkas. Ini adalah satu cara mereka membuat pernyataan di hadapan umum berkenaan kepercayaan mereka.

22 Langkah pembaptisan menunjukkan kepada umum bahawa anda telah membaktikan diri kepada Tuhan dan sekarang merupakan salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Calon-calon pembaptisan dibenamkan sepenuhnya ke dalam air untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa.

MAKSUD PEMBAPTISAN ANDA

23. Apakah maksudnya dibaptis “atas nama Bapa dan Anak dan daya aktif Tuhan”?

23 Yesus menyatakan bahawa murid-muridnya akan dibaptis “atas nama Bapa dan Anak dan daya aktif Tuhan.” (Matius 28:19, NW) Hal ini bermaksud bahawa calon pembaptisan mengakui hak dan kekuasaan Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus. (Mazmur 83:19; Matius 28:18) Dia juga mengakui peranan yang dimainkan oleh daya aktif Tuhan.​—Galatia 5:22, 23; 2 Petrus 1:21.

24, 25. (a) Pembaptisan melambangkan apa? (b) Apakah persoalan yang perlu dijawab?

24 Walau bagaimanapun, pembaptisan bukan sekadar merendamkan diri ke dalam air. Pembaptisan melambang sesuatu yang sangat mustahak. Semasa anda dibenamkan di dalam air, anda menunjukkan bahawa cara hidup anda yang lama sudah “mati.” Semasa anda dikeluarkan dari air, anda menunjukkan bahawa anda kini “hidup” untuk melakukan kehendak Tuhan. Sentiasa ingatlah bahawa anda telah membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa dan bukannya kepada mana-mana kerja, manusia, atau organisasi. Pembaktian dan pembaptisan merupakan permulaan kepada persahabatan yang sangat intim dan rapat antara anda dengan Tuhan.​—Mazmur 25:14.

25 Pembaptisan tidak menjamin penyelamatan seseorang. Yesus Kristus berkata, “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Matius 24:13, ABB) Pembaptisan hanyalah satu permulaan. Persoalannya, bagaimanakah anda boleh terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan? Bab terakhir dalam buku ini akan menjawab soalan ini.

^ per. 21 Pembaptisan lazimnya diadakan semasa perhimpunan dan konvensyen tahunan Saksi-Saksi Yehuwa.