CERITA 63
Tulisan pada Dinding
Beberapa waktu kemudian, Belsyazar menjadi raja Babilon. Pada suatu malam, dia mengadakan jamuan di istananya dan menjemput 1,000 orang yang berpangkat untuk datang. Dia menyuruh hambanya untuk mengambil cawan emas yang telah dirampas oleh Nebukadnezar dari Rumah Tuhan. Raja dan para tetamunya minum dari cawan itu sambil memuji dewa dewi mereka. Tiba-tiba, tangan seorang lelaki muncul dan mula menulis pada dinding istana.
Raja berasa sangat takut lalu memanggil tukang tiliknya. Dia berkata, “Sesiapa yang dapat menjelaskan erti tulisan ini akan menjadi orang ketiga yang paling berkuasa di Babilon.” Namun, tiada seorang pun dapat menjelaskan tulisan itu. Kemudian, permaisuri berkata, “Ada seorang lelaki bernama Daniel. Dia pernah menjelaskan hal-hal yang susah difahami kepada Nebukadnezar. Tentu dia dapat membantu tuanku.”
Apabila Daniel tiba, raja berkata kepadanya, “Jika kamu dapat jelaskan tulisan ini, beta akan memberi kamu rantai emas, dan kamu akan menjadi orang ketiga yang paling berkuasa di Babilon.” Daniel menjawab, “Tuanku tidak perlu beri saya apa-apa. Saya akan jelaskan erti tulisan ini. Nebukadnezar, ayahanda tuanku, sangat sombong dan Yehuwa telah merendahkannya. Tentu tuanku tahu apa yang terjadi kepadanya. Tetapi, tuanku tidak menghormati Yehuwa. Tuanku minum wain daripada cawan emas yang diambil dari Rumah Tuhan. Jadi, Tuhan tuliskan kata-kata ini: Mene, Mene, Tekel, dan Parsin. Maksudnya, Media dan Persia akan menawan Babilon, dan tuanku tidak akan menjadi raja lagi.”
Kota Babilon dikelilingi sungai yang dalam dan tembok yang tebal. Nampaknya, tiada sesiapa pun yang dapat menawan kota itu. Tetapi, pada malam itu, tentera Media dan Persia datang menyerang. Raja Kores dari Persia
mengubah haluan air agar tenteranya dapat menyeberangi sungai dan memasuki kota itu. Semasa mereka tiba di sana, pintu kota sudah pun terbuka! Mereka menawan kota itu dan membunuh Raja Belsyazar. Kemudian, Kores menjadi pemerintah Babilon.Dalam masa setahun, Kores mengumumkan, “Yehuwa menyuruh beta untuk membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem. Sesiapa yang mahu bantu boleh kembali ke Yerusalem.” Jadi, seperti yang dijanjikan Yehuwa, orang Yahudi kembali ke tanah air mereka 70 tahun selepas Yerusalem dimusnahkan. Raja Kores juga memulangkan semua cawan emas dan perak serta perkakas yang diambil dari Rumah Tuhan. Dapatkah adik melihat cara Yehuwa menggunakan Kores untuk membantu umat-Nya?
“Dia sudah jatuh! Babilon Besar sudah jatuh! Dia sudah menjadi tempat tinggal roh-roh jahat.”—Wahyu 18:2