Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 44

Sebuah Rumah untuk Yehuwa

Sebuah Rumah untuk Yehuwa

Selepas Salomo menjadi raja Israel, Tuhan bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu inginkan?” Salomo menjawab, “Saya masih muda, dan tidak tahu apa yang perlu saya buat. Berilah saya kebijaksanaan agar saya dapat menjaga umat-Mu.” Yehuwa menjawab, “Oleh sebab kamu meminta kebijaksanaan, Aku akan menjadikan kamu orang yang paling bijak dan kaya di seluruh bumi. Jika kamu terus mematuhi-Ku, kamu akan panjang umur.”

Salomo mula membina Rumah Tuhan. Dia menggunakan emas, perak, kayu, dan batu yang bermutu tinggi. Ribuan pekerja lelaki dan wanita membantu dalam kerja pembinaan itu. Tujuh tahun kemudian, Rumah Tuhan siap untuk dirasmikan. Dalam mazbah di Rumah Tuhan, terdapat korban-korban untuk Yehuwa. Salomo berlutut di hadapan mazbah itu lalu berdoa, “Ya Yehuwa, rumah ini tidak cukup besar dan indah bagi-Mu, tetapi terimalah penyembahan dan doa kami.” Apakah perasaan Yehuwa terhadap Rumah Tuhan dan doa Salomo? Selepas Salomo berdoa, api turun dari langit dan membakar korban di atas mazbah. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa senang hati dengan pembinaan Rumah Tuhan. Apabila melihat hal ini, orang Israel berasa sangat gembira.

Berita tentang kebijaksanaan Raja Salomo tersebar ke seluruh Israel dan tempat-tempat yang jauh. Ramai orang datang meminta bantuan Salomo. Ratu dari Syeba pun datang untuk menguji dia dengan soalan-soalan yang susah. Setelah mendengar jawapan Salomo, ratu Syeba berkata, “Dulu beta tidak percaya apa yang orang kata tentang tuanku. Tetapi sekarang, beta tahu bahawa tuanku jauh lebih bijak daripada apa yang orang kata. Yehuwa, Tuhan tuanku, memang telah memberkati tuanku.” Orang Israel hidup aman dan gembira tetapi hal itu tidak bertahan lama.

“Lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Salomo ada di sini.”​—Matius 12:42