Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 56

Yosia Mencintai Hukum Tuhan

Yosia Mencintai Hukum Tuhan

Yosia menjadi raja Yehuda apabila dia berumur lapan tahun. Pada masa itu, rakyat menyembah berhala dan melakukan hal-hal yang berkaitan dengan ilmu sihir. Apabila Yosia berumur 16 tahun, dia berusaha menyembah Yehuwa dengan cara yang betul. Ketika dia berumur 20 tahun, dia memusnahkan patung-patung berhala dan juga mazbah-mazbah di seluruh Israel. Semasa dia berumur 26 tahun pula, dia membuat aturan untuk membaiki Rumah Yehuwa.

Pada suatu hari, Imam Agung Hilkia menjumpai sesuatu di Rumah Tuhan. Dia menemui gulungan Hukum Yehuwa yang mungkin ditulis oleh Musa. Setiausaha raja, iaitu Safan, membawa gulungan itu dan membacakannya kepada Yosia. Kemudian, Yosia menyedari bahawa selama ini, rakyatnya telah mengingkari Yehuwa. Raja Yosia berkata kepada Hilkia, “Yehuwa sangat marah terhadap kita. Pergilah dan tanya Yehuwa apa yang harus kita lakukan.” Yehuwa menjawab melalui seorang nabi wanita yang bernama Hulda, “Rakyat Yehuda telah meninggalkan Aku. Mereka akan dihukum, tetapi bukan sewaktu Yosia memerintah sebagai raja kerana dia merendahkan dirinya di hadapan-Ku.”

Selepas itu, Raja Yosia pergi ke Rumah Tuhan dan mengumpulkan semua orang Yehuda. Dengan suara yang kuat, dia membacakan Hukum Yehuwa kepada mereka. Kemudian, Yosia dan rakyatnya berjanji untuk mematuhi Yehuwa dengan sepenuh hati.

Selama bertahun-tahun, rakyat Yehuda tidak menyambut Perayaan Paska. Tetapi, setelah Yosia membaca bahawa Perayaan Paska harus diadakan setiap tahun, dia berkata, “Kita akan merayakan Paska untuk Yehuwa.” Kemudian, Yosia menyediakan korban untuk dipersembahkan. Dia juga mengaturkan supaya terdapat para penyanyi di Rumah Tuhan. Akhirnya, Perayaan Paska telah diadakan. Mereka juga menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari. Mereka belum pernah merayakan Paska seperti ini sejak zaman Nabi Samuel. Yosia sangat mencintai Hukum Tuhan. Adakah adik juga suka belajar tentang Yehuwa?

“Firman-Mu bagaikan pelita yang membimbing langkahku, dan bagaikan cahaya yang menerangi jalanku.”​—Mazmur 119:105