Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 53

Keberanian Yehoyada

Keberanian Yehoyada

Izebel mempunyai anak perempuan yang bernama Atalya. Atalya jahat seperti ibunya. Dia telah berkahwin dengan raja Yehuda. Apabila suaminya meninggal, anak lelakinya mula memerintah. Tetapi, selepas anaknya meninggal, Atalya menjadikan dirinya sebagai pemerintah Yehuda. Dia tidak mahu sesiapa pun mengambil tempatnya. Jadi, dia mencuba untuk membunuh ahli keluarganya yang mungkin menjadi raja, termasuk cucunya sendiri. Semua orang takut kepadanya.

Imam Agung Yehoyada dan isterinya Yehosyeba mengetahui perbuatan jahat Atalya. Jadi, mereka membahayakan nyawa mereka untuk menyembunyikan cucu Atalya, iaitu Yehoas. Mereka membesarkan Yehoas di Rumah Tuhan.

Sewaktu Yehoas berumur tujuh tahun, Yehoyada mengumpulkan semua pemimpin dan orang Lewi lalu berkata, “Jaga pintu Rumah Yehuwa dan jangan biar sesiapa masuk.” Kemudian, Yehoyada meletakkan mahkota di atas kepala Yehoas dan melantiknya sebagai raja Yehuda. Rakyat Yehuda bersorak, “Daulat tuanku!”

Permaisuri Atalya mendengar sorakan rakyat lalu bergegas ke Rumah Tuhan. Apabila dia melihat raja baharu itu, dia menjerit, “Pengkhianat! Pengkhianat!” Para pemimpin segera menangkap Atalya dan membunuhnya. Sekarang, Atalya sudah tiada. Tetapi, perbuatan jahatnya telah meninggalkan kesan yang buruk kepada rakyat. Apakah yang patut dilakukan?

Yehoyada dan seluruh rakyat berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja. Kemudian, dia menyuruh mereka untuk merobohkan kuil Baal dan menghancurkan patung-patung berhala. Dia juga melantik para imam dan orang Lewi untuk menguruskan Rumah Yehuwa supaya rakyat boleh menyembah Yehuwa di sana semula. Para pengawal juga ditempatkan di Rumah Yehuwa untuk menghalang orang yang tidak suci daripada memasukinya. Selepas itu, Yehoyada dan para pemimpin membawa Yehoas ke istana. Setibanya di istana, Yehoas pun duduk di atas takhta raja. Alangkah gembiranya rakyat Yehuda pada hari itu! Akhirnya, mereka dapat menyembah Yehuwa tanpa pengaruh jahat Atalya dan penyembahan Baal. Tidakkah adik setuju bahawa keberanian Yehoyada telah membantu ramai orang?

“Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi tidak dapat memusnahkan nyawa. Sebaliknya takutlah akan Tuhan yang dapat memusnahkan baik nyawa mahupun tubuh dalam Gehena.”​—Matius 10:28