CERITA 26
Ayub Setia kepada Tuhan
ADAKAH adik berasa kasihan apabila melihat lelaki yang sakit ini? Namanya Ayub dan wanita itu ialah isterinya. Tahukah adik apa yang sedang dikatakan oleh isterinya? Isteri Ayub sedang berkata, “Kutuklah Tuhan dan mati.” Marilah kita lihat mengapa isteri Ayub sampai hati mengeluarkan kata-kata sedemikian, dan mengapa Ayub banyak menderita.
Ayub ialah seorang lelaki yang setia. Dia patuh kepada Yehuwa. Dia tinggal di Us, sebuah tempat yang tidak jauh dari Kanaan. Yehuwa sangat mengasihi Ayub tetapi ada seseorang yang sangat membencinya. Tahukah adik siapa dia?
Dia ialah Syaitan Si Iblis. Tentu adik masih ingat akan Syaitan. Dia merupakan malaikat jahat yang membenci Yehuwa. Dia berjaya membuat Adam dan Hawa melanggar perintah Yehuwa. Dia menyangka bahawa dia dapat membuat semua orang melanggar perintah Yehuwa juga. Tetapi, dapatkah dia berbuat demikian? Tidak. Kita telah belajar tentang ramai lelaki dan wanita yang setia kepada Yehuwa. Bolehkah adik menamakan beberapa orang daripada mereka?
Selepas Yakub dan Yusuf mati di Mesir, Ayub merupakan manusia yang paling setia kepada Yehuwa di bumi. Yehuwa mahu Syaitan tahu bahawa dia tidak akan berjaya membuat semua orang menjadi jahat. Oleh itu, Dia berkata, “Lihatlah Ayub. Tiada orang yang begitu setia kepada-Ku seperti dia.”
Syaitan memberikan alasan ini. Dia berkata, “Ayub setia kepada Engkau kerana Engkau memberkatinya dan dia memiliki banyak harta benda. Tetapi jika Engkau mengambil segala miliknya, tentu dia akan mengutuk Engkau.”
Jadi Yehuwa berkata, “Baiklah. Ambillah segala harta miliknya. Lakukan apa sahaja dengan dia. Lihatlah sama ada dia akan mengutuk Aku atau tidak. Tetapi, pastikan bahawa engkau tidak membunuhnya.”
Pertama, Syaitan memastikan lembu-lembu dan unta-unta Ayub dicuri orang. Biri-birinya pula dibunuh. Kemudian, Syaitan telah menyebabkan kesemua sepuluh orang anak lelaki dan anak perempuannya terbunuh dalam sebuah ribut. Selepas itu, Syaitan mendatangkan sejenis penyakit yang sangat dahsyat kepada Ayub. Hidup Ayub sangat menderita. Inilah sebabnya isteri Ayub memberitahunya, “Kutuklah Tuhan dan mati.” Tetapi Ayub enggan berbuat demikian. Tambahan pula, tiga orang sahabat palsu Ayub melawatnya dan memberitahunya bahawa dia telah banyak berdosa dalam hidupnya. Namun begitu, Ayub masih setia kepada Tuhan.
Kesetiaan Ayub menggembirakan hati Yehuwa, dan seperti yang adik dapat lihat dalam gambar ini, Yehuwa telah memberkatinya. Yehuwa menyembuhkan penyakitnya. Ayub mempunyai sepuluh orang lagi anak yang tampan dan cantik. Bilangan lembu, biri-biri, dan untanya telah berganda.
Adakah adik akan selalu setia kepada Yehuwa seperti Ayub? Jika adik setia kepada Tuhan, Tuhan akan memberkati adik juga. Adik akan berpeluang untuk hidup selama-lamanya apabila seluruh bumi dijadikan sebuah tempat yang cantik seperti Taman Eden.