Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 45

Menyeberangi Sungai Yordan

Menyeberangi Sungai Yordan

LIHAT! Orang Israel sedang menyeberangi Sungai Yordan. Beberapa minit sebelum ini, paras air Sungai Yordan sangat tinggi. Pada masa itu musim hujan, dan Sungai Yordan penuh dengan air seperti biasa. Tetapi sekarang, sungai ini sudah kering! Orang Israel sedang berjalan di atas tanah yang kering sepertimana yang telah dilakukan oleh mereka di Laut Merah! Ke manakah perginya semua air di dalam sungai ini? Marilah kita tengok jawapannya.

Apabila masanya tiba bagi orang Israel untuk menyeberangi Sungai Yordan, Yehuwa menyuruh Yosua memberitahu umat-Nya, “Para penghentar harus mengangkat tabut perjanjian dan berjalan di hadapan kamu. Apabila mereka memasukkan kaki mereka ke dalam air, Sungai Yordan akan berhenti mengalir.”

Maka para penghentar pun mengangkat tabut perjanjian dan mendahului orang Israel. Apabila orang Israel sampai di Sungai Yordan, para penghentar memasukkan kaki mereka ke dalam air. Air sungai ini sangat dalam dan sedang mengalir dengan deras. Tetapi sungai ini berhenti mengalir sebaik sahaja kaki mereka menyentuh air! Satu mukjizat telah berlaku! Yehuwa telah memberhentikan aliran air di hulu sungai. Jadi, tidak lama selepas itu, Sungai Yordan menjadi kering.

Para penghentar yang mengangkat tabut perjanjian berjalan ke tengah-tengah sungai yang kering ini. Bolehkah adik nampak mereka dalam gambar ini? Semasa para penghentar berdiri di tengah-tengah sungai, semua orang Israel menyeberangi Sungai Yordan di atas tanah yang kering.

Apabila semua orang telah melintas ke seberang, Yehuwa menyuruh Yosua memberitahu 12 orang lelaki yang kuat, “Pergilah ke tempat para penghentar sedang berdiri dengan tabut perjanjian di dalam Sungai Yordan. Ambil 12 ketul batu dari situ dan susunkan batu-batu itu di tempat kamu berkhemah malam ini. Pada masa hadapan, apabila anak-anakmu bertanya akan erti batu-batu itu, beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan telah berhenti mengalir ketika tabut perjanjian Yehuwa diangkat menyeberangi Sungai Yordan. Batu-batu ini akan mengingatkan kamu tentang mukjizat ini!” Yosua juga menyusun 12 ketul batu di dasar sungai di tempat penghentar-penghentar itu berdiri.

Akhirnya, Yosua memberitahu para penghentar yang sedang mengangkat tabut perjanjian, “Keluarlah dari Sungai Yordan.” Sebaik sahaja mereka berbuat demikian, air sungai mula mengalir seperti biasa.