Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 48

Orang Gibeon yang Bijak

Orang Gibeon yang Bijak

RAJA-RAJA di Kanaan sedang bersedia untuk menyerang orang Israel. Orang Kanaan berfikir bahawa mereka dapat mengalahkan orang Israel. Tetapi, orang Gibeon yang tinggal di kota yang berhampiran tidak berfikir begitu. Penduduk Gibeon percaya bahawa Tuhan sedang membantu orang Israel, dan mereka tidak mahu melawan Tuhan. Jadi, tahukah adik apa yang dilakukan oleh orang Gibeon?

Mereka menjadikan diri mereka kelihatan seperti mereka datang dari tempat yang sangat jauh. Oleh itu, sesetengah orang Gibeon memakai pakaian yang koyak-koyak dan kasut lama yang bertampal. Mereka memuatkan guni-guni yang lusuh ke atas keldai mereka dan membawa roti lama yang sudah kering. Kemudian mereka pergi menemui Yosua lalu berkata, “Kami datang dari sebuah negeri yang sangat jauh kerana kami telah mendengar tentang Yehuwa, Tuhan kamu yang agung. Kami telah mendengar segala-gala yang dilakukan-Nya di Mesir. Maka, ketua-ketua kami menyuruh kami membawa makanan dan berangkat untuk berjumpa dengan tuan. Kami disuruh untuk memberitahu tuan, ‘Kami hamba tuan. Berjanjilah bahawa tuan tidak akan berperang dengan kami.’ Tuan boleh lihat bahawa pakaian kami telah menjadi lusuh kerana perjalanan yang jauh ini. Malahan roti kami sudah lama dan kering.”

Yosua dan ketua-ketua orang Israel yang lain mempercayai kata-kata orang Gibeon. Maka orang Israel berjanji bahawa mereka tidak akan menyerang orang Gibeon. Tetapi, tiga hari kemudian, mereka mendapati bahawa orang Gibeon sebenarnya tinggal tidak jauh dari tempat perkhemahan mereka.

“Mengapakah kamu memberitahu kami bahawa kamu datang dari negeri yang sangat jauh?” tanya Yosua kepada mereka.

Orang Gibeon menjawab, “Kami telah berkata demikian kerana kami diberitahu bahawa Yehuwa, Tuhan yang tuan sembah telah menjanjikan seluruh negeri Kanaan kepada tuan. Kami takut tuan akan membunuh kami.” Walau bagaimanapun, orang Israel menepati janji mereka dan tidak membunuh orang Gibeon. Mereka menjadikan orang Gibeon hamba mereka.

Raja Yerusalem berasa marah kerana orang Gibeon telah berdamai dengan orang Israel. Maka, dia berkata kepada empat orang raja yang lain, “Mari, bantulah beta menyerang orang Gibeon.” Oleh itu, keempat-empat orang raja itu pun membantunya menyerang orang Gibeon. Adakah keputusan orang Gibeon untuk berdamai dengan orang Israel keputusan yang bijak? Marilah kita lihat apa yang berlaku.