CERITA 59
Daud Melarikan Diri
SELEPAS Daud membunuh Goliat, ketua tentera Israel yang bernama Abner telah membawa Daud menghadap Saul. Saul senang hati dengan apa yang telah dilakukan oleh Daud. Dia menjadikan Daud seorang ketua dalam tenteranya dan menyuruh Daud tinggal di rumah raja.
Kemudian, apabila tentera Israel pulang daripada pertempuran dengan orang Filistin, para wanita menyanyikan lagu berikut: “Saul telah membunuh beribu-ribu orang, tetapi Daud telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang.” Hal ini menyebabkan Saul berasa cemburu kerana Daud diberi lebih banyak penghormatan daripada dirinya. Tetapi anak lelaki Saul yang bernama Yonatan tidak berasa cemburu. Dia amat menyayangi Daud. Daud menyayangi Yonatan juga. Jadi, mereka berjanji bahawa mereka akan bersahabat untuk selama-lamanya.
Daud ialah seorang pemain kecapi yang sangat mahir. Saul suka mendengar muzik yang dimainkan oleh Daud. Tetapi pada suatu hari, rasa cemburu Saul menyebabkan dia melakukan sesuatu yang sangat buruk. Sewaktu Daud sedang bermain kecapi, Saul melemparkan tombaknya lalu berkata, “Aku akan menombak Daud!” Namun begitu, Daud mengelak dan tombak itu tidak mengenanya. Selepas kejadian ini, Saul mencuba membunuh Daud dengan tombaknya tetapi usahanya gagal sekali lagi. Jadi Daud tahu bahawa mulai sekarang dia harus berhati-hati.
Bolehkah adik ingat akan janji Saul? Dia mengatakan bahawa dia akan mengahwinkan anak perempuannya kepada lelaki yang membunuh Goliat. Akhirnya, Saul berkata dia akan mengizinkan Daud untuk mengahwini anak perempuannya, Mikhal, dengan syarat berikut: Daud mesti membunuh 100 orang Filistin terlebih dahulu. Saul amat berharap orang Filistin akan membunuh Daud. Tetapi orang Filistin tidak berjaya membunuh Daud. Maka Saul terpaksa memberikan anak perempuannya kepada Daud untuk dijadikan isterinya.
Pada suatu hari, Saul memberitahu Yonatan dan semua hambanya bahawa dia hendak membunuh Daud. Tetapi Yonatan berkata kepada bapanya, “Janganlah cederakan Daud. Dia tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap bapa. Sebaliknya, segala-gala yang telah dilakukan olehnya telah banyak membantu bapa. Malah, dia telah membahayakan nyawanya untuk membunuh Goliat, dan pada masa itu, bapa sendiri berasa gembira.”
Saul mendengar kata-kata anak lelakinya dan berjanji bahawa dia tidak akan mencederakan Daud. Daud dibawa pulang ke rumah Saul dan dia berkhidmat kepada Saul seperti dahulu. Namun begitu, pada suatu hari, semasa Daud sedang memainkan muzik untuk Saul, Saul melemparkan tombaknya pada Daud sekali lagi. Daud mengelak, dan tombak itu kena pada dinding. Inilah kali ketiga Saul mencuba membunuh Daud! Sekarang, Daud tahu bahawa dia mesti melarikan diri!
Pada malam itu, Daud pulang ke rumahnya. Tetapi Saul menghantar beberapa orang lelaki untuk membunuhnya. Mikhal telah mendapat berita tentang rancangan bapanya. Jadi dia memberitahu suaminya, “Jika engkau tidak melarikan diri pada malam ini, esok engkau pasti akan mati.” Pada malam itu juga, Mikhal membantu Daud untuk melarikan diri melalui sebuah tingkap. Selama kira-kira tujuh tahun, Daud terpaksa berpindah dari tempat ke tempat untuk menyembunyikan diri daripada Saul.