Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 30

“Hendaklah Hidup Kamu Sentiasa Disertai Kasih”

“Hendaklah Hidup Kamu Sentiasa Disertai Kasih”

1-3. Apakah kebaikan yang dapat diraih jika kita berusaha untuk menunjukkan kasih kepada orang lain?

 “LEBIH berbahagia memberi daripada menerima.” (Kisah 20:35) Kata-kata Yesus menonjolkan hakikat berikut: Kasih dan sifat tidak mementingkan diri sangat penting. Meskipun kita rasa gembira semasa “menerima” kasih yang diperlihatkan oleh orang, kita akan rasa lebih bahagia jika kita “memberi” atau menunjukkan kasih kepada orang lain.

2 Yehuwa suka memberi. Seperti yang dibincangkan dalam bab-bab sebelumnya, Yehuwa merupakan teladan kasih yang terunggul. Tidak ada sesiapa yang pernah menunjukkan kasih dalam cara yang lebih besar atau untuk jangka waktu yang lebih panjang daripada-Nya. Itulah sebabnya Yehuwa dipanggil “Tuhan yang gembira.”​—1 Timotius 1:11.

3 Yehuwa mahu kita meniru teladan-Nya dan menunjukkan kasih kepada orang lain. Efesus 5:1, 2 menyatakan, “Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya. Hendaklah hidup kamu sentiasa disertai kasih.” Jika kita berusaha untuk meniru teladan Tuhan, kita akan menikmati kebahagiaan yang besar kerana kita sudi memberi. Selain itu, jika kita “saling mengasihi,” kita dapat berasa puas hati kerana kita menyenangkan hati Tuhan. (Roma 13:8) Sekarang marilah kita melihat sebab-sebab lain mengapa ‘hidup kita harus sentiasa disertai kasih.’

Mengapa Kasih Sangat Penting

Kasih menggerakkan kita untuk mempercayai saudara saudari kita

4, 5. Mengapakah kita harus mengasihi rakan seiman?

4 Kita harus mengasihi rakan seiman kerana kasih ialah tanda pengenal orang Kristian sejati. Tanpa kasih, kita tidak dapat membina persahabatan yang erat antara satu sama lain, dan kita tidak bernilai di mata Tuhan.

5 Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia memberitahu para pengikutnya, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yohanes 13:34, 35) Ya, kita diperintahkan untuk mengasihi rakan seiman ‘sebagaimana Yesus sudah mengasihi murid-muridnya.’ Dalam Bab 29, kita telah belajar bahawa Yesus sentiasa memperlihatkan sifat rela berkorban dan mengutamakan kepentingan orang lain. Kita harus meniru teladannya dan menunjukkan kasih dengan begitu nyata sehingga orang di luar sidang Kristian pun dapat melihatnya. Sememangnya, kasih dan sifat rela berkorban merupakan tanda pengenal bahawa kita ialah pengikut Kristus yang sejati.

6, 7. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Bible menjunjung tinggi kasih? (b) Kata-kata Paulus di 1 Korintus 13:4-8 bertumpu kepada apa?

6 Paulus berkata, “Jika aku tidak mempunyai kasih, aku hanya seperti gong atau simbal yang mengeluarkan bunyi bising.” (1 Korintus 13:1) Gong yang dipukul atau simbal yang dihantukkan bersama mengeluarkan bunyi yang amat bising. Maka Paulus sedang memberitahu kita bahawa seseorang yang tidak mempunyai kasih adalah seperti bunyi bising yang membuat orang lain menjauhkan diri daripadanya. Orang sebegitu sudah pasti tidak dapat menikmati hubungan yang baik dengan orang lain. Paulus menyambung, “Meskipun aku mempunyai iman yang begitu kukuh sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.” (1 Korintus 13:2) Sesungguhnya, orang yang melakukan hal-hal yang baik tetapi tidak mempunyai kasih adalah seperti seseorang yang tidak berguna. Maka jelaslah bahawa Bible menjunjung tinggi kasih!

7 Tetapi bagaimanakah kita dapat memperlihatkan kasih kepada satu sama lain? Jawapannya terdapat dalam kata-kata Paulus di 1 Korintus 13:4-8. Ayat-ayat ini bukan tentang kasih Tuhan kepada kita ataupun kasih kita kepada Tuhan. Sebaliknya, Paulus bertumpu kepada kasih yang harus diperlihatkan kepada satu sama lain. Mari kita melihat kata-katanya dengan lebih terperinci.

Apa Itu Kasih

8. Bagaimanakah kesabaran dapat membantu kita?

8 “Kasih itu sabar.” Jadi, untuk menunjukkan kasih, kita harus bersabar dengan satu sama lain. (Kolose 3:13) Mengapa? Hal ini demikian kerana kita tidak sempurna, dan dari masa ke masa kita mungkin menyakitkan hati orang lain dan orang lain mungkin menyakitkan hati kita. Tetapi jika kita mempunyai kesabaran, kita dapat menangani sebarang perselisihan yang timbul tanpa menjejaskan kedamaian sidang.

9. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kebaikan hati kepada orang lain?

9 ‘Kasih itu baik hati.’ Kebaikan hati ditunjukkan melalui perbuatan yang baik dan kata-kata yang sopan. Kasih menggerakkan kita untuk menunjukkan kebaikan hati, terutamanya kepada orang yang sangat memerlukannya. Sebagai contoh, rakan seiman yang tua mungkin berasa sunyi dan perlu dilawat. Seorang ibu tunggal atau saudari yang tidak mempunyai keluarga dalam kebenaran mungkin memerlukan bantuan tertentu. Seseorang yang sakit atau menghadapi masalah mungkin perlu mendengar kata-kata yang menggalakkan. (Amsal 12:25; 17:17) Jika kita mengambil inisiatif dan bersikap baik hati, kita sedang menunjukkan bahawa kita mempunyai kasih sejati.​—2 Korintus 8:8.

10. Bagaimanakah kasih dapat membantu kita untuk menjunjung kebenaran dan bercakap benar?

10 ‘Kasih bersukacita atas perkara yang benar.’ Kasih menggerakkan kita untuk menjunjung kebenaran dan “bercakap benar dengan satu sama lain.” (Zakharia 8:16) Sebagai contoh, jika seseorang yang kita kasihi melakukan dosa yang serius, kasih kepada Tuhan dan kepada orang yang berdosa itu akan membantu kita untuk menjunjung piawaian Tuhan. Walaupun kita bersedih atas apa yang telah berlaku, kita tidak akan menipu, mencari alasan untuk membela orang itu, atau menyembunyikan perbuatannya. Jika kita mengasihi orang yang telah berdosa itu, kita mahu dia menerima disiplin daripada Yehuwa dan bertaubat. (Amsal 3:11, 12) Sebagai orang Kristian, kita juga mahu “melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—Ibrani 13:18.

11. Jika kita memiliki kasih, apakah yang akan kita lakukan semasa rakan seiman menyakitkan hati kita?

11 “Kasih menanggung segala sesuatu.” Ungkapan ini secara harfiah bererti menutupi segala sesuatu. Satu Petrus 4:8 menyatakan, “Kasih dapat menutup banyak dosa.” Jika kita mempunyai kasih, kita tidak akan mendedahkan semua ketidaksempurnaan dan kelemahan rakan seiman kita. Sering kali, kesilapan dan kesalahan rakan seiman kita adalah kecil dan dapat ditutupi oleh kasih.​—Amsal 10:12; 17:9.

12. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia yakin terhadap Filemon? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Paulus?

12 ‘Kasih mempercayai segala sesuatu.’ Terjemahan Moffatt menyatakan bahawa kasih “sentiasa mempercayai yang terbaik.” Kita tidak mahu sentiasa curiga terhadap rakan seiman atau mempersoalkan motif mereka. Kasih dapat membantu kita untuk mempercayai rakan seiman dan menaruh keyakinan terhadap mereka. a Sebagai contoh, Paulus telah menulis sepucuk surat kepada Filemon untuk menggalakkan Filemon agar menyambut kepulangan Onesimus. Sebenarnya, Onesimus ialah hamba Filemon yang telah melarikan diri, tetapi Onesimus telah berubah dan menjadi orang Kristian. Namun, Paulus tidak memaksa Filemon. Dia menulis, “Aku yakin bahawa kamu akan memenuhi permintaanku. Oleh itu, aku menulis kepada kamu kerana aku tahu bahawa kamu akan melakukan lebih daripada apa yang aku katakan.” (Ayat 21) Jika kita menunjukkan keyakinan sedemikian kepada rakan seiman, kita dapat membantu mereka untuk memperlihatkan sifat-sifat yang baik.

13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita sentiasa mengharapkan yang terbaik?

13 ‘Kasih tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu.’ Jika kita mempunyai kasih, kita sentiasa mengharapkan apa yang terbaik. Sebagai contoh, jika seorang saudara “mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya,” kita berharap agar dia akan menyambut baik usaha untuk membantu dia. (Galatia 6:1) Kita juga berharap agar orang yang mempunyai iman yang lemah akan menjadi kuat semula secara rohani. Kita bersabar terhadap orang sedemikian, dan berusaha untuk membantu mereka. (Roma 15:1; 1 Tesalonika 5:14) Biarpun orang yang kita kasihi meninggalkan kebenaran, kita tidak hilang harapan. Kita berharap agar suatu hari nanti dia akan menyedari kesilapannya dan kembali kepada Yehuwa, seperti anak yang sesat dalam perumpamaan Yesus.​—Lukas 15:17, 18.

14. Bagaimanakah saudara saudari kita mungkin menguji ketabahan kita? Bagaimanakah kasih dapat membantu kita?

14 ‘Kasih menghadapi segala sesuatu dengan tabah.’ Ketabahan membantu kita menghadapi cabaran dan kekecewaan dengan teguh. Kadangkala, saudara saudari kita akan melakukan sesuatu yang menguji ketabahan kita. Kerana ketidaksempurnaan, mereka mungkin mengecewakan kita atau mengucapkan kata-kata yang menghiris hati. (Amsal 12:18) Barangkali kita berasa bahawa sesuatu dalam sidang tidak ditangani dengan betul, atau tingkah laku seorang saudara yang mengambil pimpinan membuat kita berasa kecewa. Jika kita menghadapi situasi sedemikian, adakah kita akan meninggalkan sidang dan berhenti menyembah Yehuwa? Tidak! Kasih akan mencegah kita daripada bertumpu kepada kesilapan saudara itu sehingga melupakan kebaikan dalam dirinya atau dalam sidang secara keseluruhan. Ya, kasih akan membantu kita untuk tetap setia kepada Tuhan dan menyokong sidang tidak kira apa yang dikatakan atau dilakukan oleh manusia yang tidak sempurna.​—Mazmur 119:165.

Kasih Tidak . . .

15. Apakah yang mungkin membuat kita berasa cemburu? Bagaimanakah kasih dapat membantu kita?

15 “Kasih tidak cemburu.” Rasa cemburu dapat membuat kita mendambakan apa yang dimiliki orang lain, contohnya harta, peluang untuk berkhidmat, atau kebolehan mereka. Sifat cemburu ialah sifat yang mementingkan diri dan dapat merosakkan kedamaian sidang. Apakah yang dapat membantu kita melawan kecenderungan untuk berasa iri hati? Kasih. (Yakobus 4:5) Kasih dapat membantu kita bersukacita bersama orang yang mempunyai hal-hal yang tidak kita miliki, dan tidak berasa sakit hati apabila seseorang dipuji atas kebolehannya atau pencapaiannya.​—Roma 12:15.

16. Mengapakah kita tidak patut bercakap besar?

16 ‘Kasih tidak bercakap besar atau menjadi angkuh.’ Jika kita mempunyai kasih, kita tidak akan menunjuk-nunjuk atau bercakap besar tentang pencapaian atau kebolehan kita. Kita juga tidak akan asyik bercakap tentang hasil baik yang diraih semasa menginjil atau peluang berkhidmat yang diberikan kepada kita. Kita tidak mahu membuat rakan seiman menjadi tawar hati atau berasa bahawa mereka tidak berguna. (1 Korintus 3:5-9) Ya, kasih dapat menghalang kita daripada memandang diri kita lebih daripada yang sepatutnya. Kita tidak akan menjadi angkuh dan sentiasa berfikir tentang kepentingan sendiri.​—Roma 12:3.

17. Apakah ciri-ciri orang yang bersikap biadab? Apakah yang tidak akan kita lakukan jika kita mempunyai kasih?

17 ‘Kasih tidak bersikap biadab.’ Seseorang yang bersikap biadab ialah orang yang tidak bersopan santun. Dia tidak menghiraukan perasaan dan kebajikan orang lain. Tetapi orang yang mempunyai kasih selalu prihatin terhadap orang lain, berbudi pekerti, menjunjung piawaian Tuhan, dan menghormati rakan seiman. Maka jika kita mempunyai kasih, kita tidak akan terjebak dalam “kelakuan yang memalukan” atau melakukan hal yang akan mengejutkan atau menyakiti rakan seiman kita.​—Efesus 5:3, 4.

18. Mengapakah seseorang yang mempunyai kasih tidak akan menuntut agar segala sesuatu dilakukan menurut keinginannya?

18 ‘Kasih tidak mementingkan diri sendiri.’ Terjemahan Revised Standard Version menyatakan, “Kasih tidak berkeras mengikut keinginan sendiri.” Seseorang yang mempunyai kasih tidak akan bertindak seolah-olah pendapatnya sahaja yang selalu betul, atau menuntut agar segala sesuatu dilakukan menurut keinginannya. Dia tidak akan mencuba mengawal orang lain atau mencemuh orang yang mempunyai pandangan yang berbeza. Kedegilan sedemikian menyingkapkan kesombongan, dan Bible menyatakan bahawa “kesombongan mengakibatkan kemusnahan.” (Amsal 16:18) Jika kita mengasihi rakan seiman, kita akan menghormati pandangan mereka dan rela mengalah jika keadaan mengizinkan. Paulus berkata, “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”​—1 Korintus 10:24.

19. Bagaimanakah kasih membantu kita apabila kita dilukai?

19 ‘Kasih tidak cepat naik marah dan tidak menyimpan dendam apabila dilukai.’ Orang yang mempunyai kasih tidak akan cepat menjadi marah atas apa yang dikatakan dan dilakukan oleh orang lain. Kita memang akan menjadi marah jika orang menyakitkan hati kita. Tetapi, kasih membantu kita untuk memaafkannya. (Efesus 4:26, 27) Kita tidak akan menyimpan dendam atau seolah-olah mencatatkan kesalahan seseorang dalam sebuah buku agar tidak dilupakan. Sebaliknya kita mahu meniru teladan Tuhan kita. Seperti yang dibincangkan dalam Bab 26, setelah Yehuwa memaafkan dosa kita, Dia tidak akan mengungkit dosa itu lagi.

20. Apakah sepatutnya reaksi kita jika rakan seiman kita berdosa dan menuai akibat buruk perbuatannya yang salah?

20 “Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah.” Terjemahan lain menyatakan bahawa kasih tidak bergembira atas dosa orang lain. Kita tidak akan menutup sebelah mata terhadap perbuatan tidak bermoral. Tetapi pada waktu yang sama, jika rakan seiman kita berdosa dan menuai akibat buruk perbuatannya yang salah, kita tidak akan bergembira dan berkata, “Padan muka!” (Amsal 17:5) Sebaliknya, kita akan bersukacita jika dia mengambil langkah untuk mencari semula perkenan Tuhan.

“Jalan yang Jauh Lebih Unggul”

21-23. (a) Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus apabila dia menulis “kasih itu abadi”? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam bab terakhir buku ini?

21 “Kasih itu abadi.” Apakah maksudnya? Daripada konteksnya, Paulus sedang bercakap tentang kurniaan daripada kuasa suci Tuhan pada abad pertama. Kurniaan-kurniaan itu ialah tanda bahawa sidang Kristian yang baru terbentuk itu memiliki perkenan Tuhan. Tetapi bukan semua orang Kristian pada masa itu dapat menyembuhkan orang, bernubuat, atau bercakap dalam bahasa-bahasa lain. Namun hal itu tidak penting kerana semua kurniaan itu akan lenyap. Paulus bercakap tentang sesuatu yang dapat dipupuk oleh semua orang Kristian dan akan kekal buat selama-lamanya. Dia berkata bahawa itulah “jalan yang jauh lebih unggul.” (1 Korintus 12:31) Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus? Dia bercakap tentang jalan kasih.

22 Sememangnya, kasih Kristian yang digambarkan oleh Paulus akan kekal buat selama-lamanya. Sehingga dewasa ini, kasih dan sikap tidak mementingkan diri masih merupakan tanda pengenal pengikut Kristus yang sejati. Kita dapat melihat bukti akan hal ini dalam sidang Kristian di seluruh bumi. Ya, kasih kita akan kekal abadi kerana Yehuwa menjanjikan kehidupan abadi kepada para penyembah-Nya yang setia. (Mazmur 37:9-11, 29) Semoga ‘hidup kita sentiasa disertai kasih.’ Jika kita berbuat demikian, kita dapat lebih berbahagia kerana “lebih berbahagia memberi daripada menerima.” Selain itu, kita dapat meraih kehidupan abadi dan meniru Yehuwa untuk menunjukkan kasih yang abadi.

Kasih ialah tanda pengenal umat Yehuwa

23 Dalam bab ini, kita telah membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan kasih kepada satu sama lain. Tetapi memandangkan kita telah meraih banyak manfaat daripada kasih, kuasa, keadilan, dan kebijaksanaan Yehuwa, kita patut menanya diri, “Bagaimanakah saya dapat menunjukkan bahawa saya benar-benar mengasihi Yehuwa?” Soalan ini akan dijawab dalam bab terakhir buku ini.

a Namun, orang Kristian bukanlah orang yang naif. Bible menyatakan, ‘Berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang menyebabkan orang lain tersandung. Jauhkanlah diri kamu daripada mereka.’​—Roma 16:17.