BAB 17
‘Alangkah Hebatnya Kebijaksanaan Tuhan!’
1, 2. Apakah kehendak Yehuwa berkenaan hari yang ketujuh? Bagaimanakah kebijaksanaan Yehuwa diuji pada hari ketujuh?
BIBLE menyatakan bahawa pada hari penciptaan yang keenam, Yehuwa “sangat berpuas hati” apabila Dia “melihat semua ciptaan-Nya.” (Kejadian 1:31) Tetapi pada permulaan hari ketujuh, Adam dan Hawa memilih untuk mengikut Syaitan dan menentang Tuhan. Yehuwa pasti sedih apabila melihat hasil ciptaan-Nya jatuh ke dalam kancah dosa dan kematian.
2 Seperti hari-hari penciptaan yang lain, hari yang ketujuh menjangkau masa selama ribuan tahun. Yehuwa berfirman bahawa hari ketujuh akan menjadi hari yang suci. Sebelum hari itu berlalu, seluruh bumi akan menjadi firdaus indah yang didiami oleh manusia yang sempurna. (Kejadian 1:28; 2:3) Tetapi setelah pemberontakan manusia, kehendak Yehuwa seolah-olah telah gagal. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa? Perkembangan ini menguji kebijaksanaan-Nya.
3, 4. (a) Bagaimanakah tindakan Yehuwa selepas pemberontakan manusia menunjukkan bahawa Dia amat bijaksana? (b) Apakah yang patut kita ingat sewaktu kita mengkaji kebijaksanaan Yehuwa?
3 Yehuwa bertindak dengan segera. Dia menjatuhkan hukuman ke atas Adam dan Hawa, dan mengumumkan tujuan-Nya, iaitu melenyapkan segala penderitaan yang disebabkan oleh pemberontakan manusia. (Kejadian 3:15) Pelaksanaan tujuan ini menjangkau masa selama ribuan tahun dan akan berlaku secara beransur-ansur. Walaupun tujuan Yehuwa nampaknya ringkas, seseorang dapat menggunakan seluruh kehidupannya untuk mempelajari dan merenungkan maksudnya. Yang pasti, tujuan Yehuwa tidak akan gagal. Dia akan melenyapkan kejahatan, dosa, dan kematian, dan membantu manusia yang setia untuk menjadi sempurna. Semua hal ini akan berlaku sebelum hari ketujuh berakhir. Ya, kehendak Yehuwa bagi bumi dan manusia akan tercapai tepat pada waktunya!
4 Tidakkah anda kagum dengan kebijaksanaan Tuhan? Paulus tergerak untuk menulis, ‘Alangkah hebatnya kebijaksanaan Tuhan!’ (Roma 11:33) Seraya kita mengkaji aspek-aspek sifat ini, kita patut ingat bahawa manusia hanya dapat memahami sekelumit daripada kebijaksanaan Yehuwa. (Ayub 26:14) Sekarang, marilah kita memahami erti kebijaksanaan Tuhan.
Apakah Itu Kebijaksanaan Tuhan?
5, 6. Apakah kaitan antara pengetahuan dengan kebijaksanaan? Seberapa dalamkah pengetahuan Yehuwa?
5 Kebijaksanaan tidak sama dengan pengetahuan. Komputer dapat menyimpan banyak maklumat, tetapi kita tidak akan mengatakan bahawa komputer sangat bijaksana, bukan? Biarpun begitu, kebijaksanaan berkait rapat dengan pengetahuan. (Amsal 10:14) Contohnya, jika anda menghidap penyakit yang serius, adakah anda akan meminta bantuan daripada seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang perubatan? Tentu tidak! Oleh itu, pengetahuan yang tepat diperlukan untuk memperoleh kebijaksanaan yang sejati.
6 Ilmu pengetahuan Yehuwa tidak terbatas. Selaku “Raja yang kekal,” Dia sahaja yang kekal buat selama-lamanya. (Wahyu 15:3) Dia mengetahui segala sesuatu yang berlaku. Bible menyatakan, “Tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan. Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.” (Ibrani 4:13; Amsal 15:3) Selaku Pencipta, Yehuwa memahami ciptaan-Nya dengan sepenuhnya. Memandangkan Dia telah memerhatikan kegiatan manusia sejak mula lagi, Dia dapat memahami niat hati setiap orang. (1 Tawarikh 28:9) Dia memberi kita kebebasan untuk memilih, dan Dia amat gembira apabila kita menggunakan kebebasan itu untuk membuat pilihan yang bijak. Selaku “Pendengar doa,” Dia dapat mendengar semua doa kita pada masa yang sama! (Mazmur 65:2) Selain itu, Yehuwa mempunyai daya ingatan yang sempurna.
7, 8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mempunyai kebijaksanaan, daya pemahaman, dan daya penilaian?
7 Selain mempunyai pengetahuan yang tidak terbatas, Yehuwa juga dapat mengaitkan fakta-fakta dan memahami suatu perkara secara menyeluruh. Dia dapat membuat penilaian dan membezakan apa yang baik daripada apa yang buruk, dan menentukan apa yang penting dan tidak penting. Dia juga dapat membaca hati manusia. (1 Samuel 16:7) Maka jelaslah bahawa Yehuwa mempunyai daya pemahaman dan penilaian, iaitu sifat-sifat yang jauh lebih unggul daripada pengetahuan.
8 Kebijaksanaan bererti keupayaan untuk menggunakan pengetahuan, daya pemahaman, dan daya penilaian. Beberapa perkataan yang diterjemahkan sebagai “kebijaksanaan” dalam Bible membawa erti “praktikal” atau “berkesan.” Maka kebijaksanaan Yehuwa bukan sekadar tepat dari segi teori, tetapi juga praktikal. Berdasarkan pengetahuan dan pemahaman-Nya, Yehuwa selalu membuat keputusan yang terbaik dan melaksanakannya dalam cara yang paling berkesan. Ya, inilah kebijaksanaan sejati! Yehuwa membuktikan kebenaran kata-kata Yesus, iaitu “kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.” (Matius 11:19) Seluruh alam semesta membuktikan kebijaksanaan Yehuwa.
Bukti Kebijaksanaan Tuhan
9, 10. (a) Gambarkan kebijaksanaan Yehuwa. Bagaimanakah Dia membuktikan kebijaksanaan-Nya? (b) Bagaimanakah sel manusia membuktikan kebijaksanaan Yehuwa?
9 Selaku Sumber segala kebijaksanaan, Yehuwa adalah seperti seorang tukang yang mahir, yang dapat menghasilkan objek yang cantik dan berfungsi dengan baik. (Keluaran 31:1-3) Berkenaan Yehuwa, Daud pernah menulis, “Aku memuji-Mu kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya.” (Mazmur 139:14) Sekarang, marilah kita melihat bagaimana tubuh manusia membuktikan kebijaksanaan Yehuwa.
10 Pada mulanya, anda ialah satu sel kecil yang terhasil daripada persenyawaan antara ovum ibu anda dengan sperma bapa anda. Sel yang kecil itu akan terus membahagi sehingga menjadi kira-kira 100 trilion sel. Sel-sel itu amat kecil. Kira-kira 10,000 sel hanya sebesar mata jarum! Biarpun bersaiz kecil, setiap sel dapat melakukan proses yang amat rumit. Ahli sains mengatakan bahawa setiap sel adalah seperti sebuah kota bertembok yang mempunyai pintu keluar dan pintu masuk yang terkawal, sistem pengangkutan, rangkaian komunikasi, loji kuasa, kilang, sistem kumbahan dan kitar semula, sistem pertahanan, dan bahkan sebuah kerajaan pusat. Tambahan lagi, setiap sel dapat mereplikakan dirinya dalam beberapa jam sahaja!
11, 12. (a) Apakah yang menentukan fungsi setiap sel dalam embrio? Apakah kaitan hal ini dengan Mazmur 139:16? (b) Mengapakah otak manusia amat menakjubkan?
11 Sel-sel dalam embrio memainkan peranan yang berbeza-beza. Ada yang akan menjadi sel saraf, dan ada pula yang akan menjadi sel tulang, otot, darah, atau mata. Fungsi setiap sel ditentukan oleh maklumat yang terkandung dalam “perpustakaannya,” iaitu DNA. Yang menariknya, Daud pernah menyatakan, “Semasa aku dalam kandungan ibuku, Engkau sudah melihat aku. Sebelum bahagian-bahagian tubuhku wujud, sebelum anggota tubuhku dibentuk, hari-hari pertumbuhannya sudah tercatat dalam kitab-Mu.”—Mazmur 139:16.
12 Organ manusia, contohnya otak manusia, amat kompleks. Ada orang menyatakan bahawa otak manusia ialah objek yang paling kompleks di seluruh alam semesta. Otak mengandungi kira-kira 100 bilion sel saraf, dan setiap sel itu bercabang dan berhubung dengan ribuan sel yang lain. Menurut ahli sains, otak manusia dapat mengisi semua maklumat yang terkandung dalam semua perpustakaan di dunia, dan kapasiti penyimpanan otak nampaknya tidak terbatas. Biarpun banyak masa telah dicurahkan untuk mengkaji organ yang menakjubkan ini, mereka masih tidak dapat memahami sepenuhnya cara otak berfungsi.
13, 14. (a) Bagaimanakah semut dan makhluk-makhluk hidup lain menunjukkan bahawa ciptaan Tuhan “sangat bijak”? Apakah yang dapat kita pelajari tentang Pencipta kita melalui hal ini? (b) Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa sarang labah-labah diciptakan “dengan bijaksana”?
13 Manusia hanyalah salah satu ciptaan Yehuwa yang membuktikan kebijaksanaan-Nya. Mazmur 104:24 menyatakan, “Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Engkau telah menciptakan semuanya dengan bijaksana. Bumi penuh dengan hasil karya-Mu.” Kebijaksanaan Yehuwa tersingkap dalam setiap ciptaan-Nya. Misalnya, semut yang “sangat bijak secara semula jadi.” (Amsal 30:24) Semut sangat teratur. Ada semut yang menjaga sarang dan mendapatkan makanan daripada sejenis serangga yang dipanggil afid; yang lain pula seperti petani yang menanam kulat sebagai makanan. Banyak makhluk hidup yang lain juga bertindak mengikut naluri. Contohnya, seekor lalat yang sedang terbang dapat melakukan pergerakan yang rumit, yang bahkan tidak dapat dilakukan oleh kapal terbang buatan manusia yang paling canggih. Burung berhijrah berpandukan kedudukan bintang, medan magnet bumi, atau “peta” dalaman. Ahli biologi telah menghabiskan banyak masa untuk mengkaji kelakuan makhluk-makhluk ini. Maka, jelaslah bahawa kebijaksanaan Pencipta kita tiada tandingannya!
14 Ada banyak hal yang dapat dipelajari oleh ahli sains daripada ciptaan Yehuwa. Dalam bidang kejuruteraan, terdapat satu cabang sains yang dipanggil biomimetik, yang mengkaji rekaan alam semula jadi untuk menirunya. Contohnya, sarang labah-labah. Benang-benang yang membentuk sarang itu lebih kuat daripada dawai keluli dan baju kalis peluru yang mempunyai berat yang sama. Bayangkanlah, jika saiz sarang ini dibesarkan menjadi saiz serawan pukat, sarang ini dapat menghentikan sebuah kapal terbang yang sedang terbang di udara! Ya, Yehuwa menciptakan semua ini “dengan bijaksana.”
Kebijaksanaan di Langit
15, 16. (a) Bagaimanakah bintang-bintang membuktikan kebijaksanaan Yehuwa? (b) Bagaimanakah kedudukan Yehuwa sebagai ketua angkatan tentera membuktikan kebijaksanaan-Nya?
15 Kebijaksanaan Yehuwa tersingkap di seluruh alam semesta. Seperti yang kita pelajari di Bab 5, bintang-bintang di angkasa lepas sangat teratur. Beberapa gugusan bintang akan membentuk sebuah galaksi, dan beberapa galaksi pula akan membentuk gugusan galaksi yang lebih besar. Yehuwa, Tuhan yang bijaksana, telah menetapkan “hukum-hukum di cakerawala,” dan menentukan kedudukan bintang dan galaksi. (Ayub 38:33) Itulah sebabnya Yehuwa mengatakan bahawa bintang-bintang di langit adalah seperti “pasukan tentera.” (Yesaya 40:26) Tetapi terdapat satu lagi pasukan tentera yang mencerminkan kebijaksanaan Yehuwa dengan lebih baik.
16 Seperti yang kita pelajari di Bab 4, Yehuwa dipanggil sebagai “ketua angkatan syurga” kerana Dia mengetuai angkatan tentera yang terdiri daripada ratusan juta malaikat. Hal ini membuktikan kekuasaan Yehuwa, tetapi apakah kaitannya dengan kebijaksanaan-Nya? Memandangkan Yehuwa dan Yesus rajin bekerja, kita boleh menyimpulkan bahawa para malaikat juga tidak pernah berhenti bekerja. (Yohanes 5:17) Meskipun para malaikat amat bijaksana dan lebih berkuasa daripada manusia, Yehuwa memastikan bahawa mereka sibuk ‘melaksanakan firman-Nya dan kehendak-Nya’ selama berbilion-bilion tahun. (Mazmur 103:20, 21; Ibrani 1:7; 2:7) Tidakkah hal ini membuktikan kebijaksanaan Yehuwa?
“Satu-Satunya Tuhan yang Bijaksana”
17, 18. Mengapakah Bible menyatakan bahawa Yehuwa ialah “satu-satunya Tuhan yang bijaksana”? Mengapakah kebijaksanaan-Nya membuat kita berasa sangat kagum?
17 Setelah meneliti bukti-bukti di atas, kita pasti bersetuju bahawa Yehuwa ialah “satu-satunya Tuhan yang bijaksana.” (Roma 16:27) Hanya Yehuwa yang maha bijaksana, dan Dia ialah Sumber kebijaksanaan sejati. (Amsal 2:6) Itulah sebabnya meskipun Yesus merupakan ciptaan Yehuwa yang paling bijak, dia tidak bergantung pada kebijaksanaannya. Sebaliknya, dia selalu mematuhi perintah Bapanya.—Yohanes 12:48-50.
18 Perhatikan bagaimana Paulus menggambarkan kebijaksanaan Yehuwa: “Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan!” (Roma 11:33) Ya, Paulus menunjukkan kekagumannya dengan menggunakan ayat seruan. Perkataan Yunani bagi “hebatnya” yang digunakan dalam ayat ini berkait rapat dengan perkataan “jurang.” Maka Paulus sebenarnya ingin menunjukkan bahawa apabila kita merenungkan kebijaksanaan Yehuwa, kita seakan-akan sedang melihat ke dalam sebuah jurang yang tidak berdasar. Sememangnya, kebijaksanaan Yehuwa begitu mendalam sehingga kita tidak dapat memahaminya atau menggambarkannya. (Mazmur 92:5) Tidakkah hal ini membuat kita berasa sangat kagum?
19, 20. (a) Mengapakah burung helang merupakan lambang yang sesuai bagi kebijaksanaan Tuhan? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa mempunyai kebolehan untuk mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan?
19 Satu lagi sebab mengapa Yehuwa ialah “satu-satunya Tuhan yang bijaksana” adalah kerana Dia sahaja yang dapat melihat masa depan. Ingatlah bahawa Yehuwa menggunakan burung helang untuk melambangkan kebijaksanaan-Nya. Seekor burung helang emas hanya seberat kira-kira lima kilogram, tetapi matanya lebih besar daripada mata orang dewasa. Daya penglihatan burung helang amat tajam. Burung ini dapat melihat mangsa yang kecil dari jarak beberapa ribu meter! Berkenaan burung ini, Yehuwa berfirman, “Matanya memerhatikan mangsa dari kejauhan.” (Ayub 39:29) Begitu juga, penglihatan Yehuwa amat tajam dan dapat memandang jauh ke masa depan!
20 Bible mempunyai banyak bukti bahawa Tuhan dapat melihat jauh ke masa depan. Bible mengandungi banyak nubuat, iaitu catatan tentang apa yang akan berlaku pada masa depan. Bible telah menubuatkan kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa dunia, dan bahkan strategi perang yang akan digunakan oleh sesetengah negara. Ada nubuat yang difirmankan oleh Tuhan beratus-ratus tahun sebelum sesuatu peristiwa berlaku.—Yesaya 44:25–45:4; Daniel 8:2-8, 20-22.
21, 22. (a) Mengapakah kita tidak patut menyimpulkan bahawa Yehuwa telah mentakdirkan kehidupan kita? Jelaskan. (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa meskipun Yehuwa bijaksana, Dia bukanlah Tuhan yang kejam dan tidak berhati perut?
21 Adakah hal ini bererti bahawa Tuhan telah mentakdirkan kehidupan kita? Tidak! Yehuwa ialah Tuhan yang bijaksana dan Dia dapat mengawal kuasa-Nya dengan sempurna. Meskipun Yehuwa dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa depan, hal ini tidak bermaksud bahawa dia akan sentiasa berbuat demikian. Sebagai contoh, katakan anda mempunyai suara yang merdu. Adakah hal itu bererti bahawa anda akan bernyanyi sepanjang waktu? Sudah pasti tidak! Begitu juga, meskipun Yehuwa dapat melihat jauh ke masa depan, Dia tidak akan menggunakan kebolehan-Nya itu sepanjang waktu. Dia telah mengurniai manusia kebebasan untuk membuat pilihan dan Dia tidak akan merampas hak itu daripada kita.—Ulangan 30:19, 20.
22 Konsep takdir secara tidak langsung menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang kejam dan tidak berhati perut. Tetapi hal itu tidak benar, kerana Bible mengajarkan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Maka kebijaksanaan Yehuwa, seperti sifat-sifat-Nya yang lain, selalunya disertai kasih.
23. Apakah yang patut kita lakukan memandangkan Yehuwa jauh lebih bijaksana daripada kita?
23 Memandangkan Yehuwa jauh lebih bijaksana daripada kita, kita patut bergantung pada bimbingan-Nya. Bible menyatakan, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” (Amsal 3:5, 6) Marilah kita terus belajar tentang kebijaksanaan Yehuwa dalam bab yang seterusnya.