Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 4

Siapakah “Makhluk-Makhluk Hidup yang Mempunyai Empat Muka Itu”?

Siapakah “Makhluk-Makhluk Hidup yang Mempunyai Empat Muka Itu”?

YEHEZKIEL 1:15

ISI UTAMA: Empat makhluk hidup dan apa yang dapat kita pelajari daripada mereka

1, 2. Mengapakah Yehuwa ada kalanya menggunakan penglihatan dan mimpi untuk menyampaikan ajaran-Nya?

BAYANGKAN sebuah keluarga sedang belajar Bible bersama-sama. Untuk membantu anak-anaknya yang masih kecil memahami ajaran Bible, si bapa menunjukkan lukisan yang ringkas kepada mereka. Apabila anak-anak melihat lukisan itu, mereka mula bercerita tentangnya dan meluahkan pendapat mereka dengan bersemangat. Sudah pasti, lukisan-lukisan itu dan penjelasan si bapa telah membantu anak-anaknya untuk memahami ajaran Yehuwa yang mendalam dengan mudah.

2 Begitu juga, melalui penglihatan dan mimpi yang dicatatkan dalam Bible, Yehuwa membantu kita memahami perkara-perkara di syurga. Contohnya, Yehuwa memberikan penglihatan kepada Yehezkiel untuk mengajarkan hal-hal yang mendalam tentang diri-Nya. Dalam bab yang sebelumnya, kita telah mengkaji salah satu penglihatan itu. Sekarang, mari kita bertumpu kepada satu ciri dalam penglihatan yang amat menakjubkan itu dan memahami maknanya dengan lebih mendalam. Dengan itu, kita dapat lebih menghampiri Yehuwa.

“Aku Nampak . . . Seakan-Akan Ada Empat Makhluk Hidup”

3. (a) Menurut Yehezkiel 1:4, 5, apakah yang dilihat oleh Yehezkiel? (Lihat gambar pada permulaan bab.) (b) Apakah yang anda perhatikan tentang cara Yehezkiel mencatatkan penglihatannya?

3 Baca Yehezkiel 1:4, 5. Yehezkiel melihat “seakan-akan ada empat makhluk hidup” yang mempunyai ciri-ciri malaikat, manusia, dan binatang. Perhatikan bahawa Yehezkiel menggunakan ungkapan “kelihatan seakan-akan.” Kata-kata ini menunjukkan bahawa dia sedang berusaha menggambarkan penglihatannya dengan setepat yang mungkin. Dalam buku Yehezkiel bab 1, dia sering kali menggunakan ungkapan “kelihatan seperti,” “kedengaran seperti,” dan “menyerupai.” (Yeh. 1:13, 24, 26) Ya, Yehezkiel sedar bahawa apa yang dilihatnya hanyalah gambaran tentang hal-hal yang tidak kelihatan di syurga.

4. (a) Apakah perasaan Yehezkiel setelah mendapat penglihatan itu? (b) Apakah yang pasti diketahui oleh Yehezkiel tentang kerub-kerub?

4 Yehezkiel pasti kagum dengan apa yang dilihat dan didengarinya. Rupa empat makhluk hidup itu kelihatan “seperti bara api yang bernyala-nyala.” Pergerakan mereka cepat “seperti pancaran kilat” dan berbunyi “seperti bunyi angkatan tentera.” Selain itu, sayap-sayap mereka “kedengaran seperti deruman air.” (Yeh. 1:13, 14, 24-28; lihat kotak “Aku Memandang Makhluk-Makhluk Hidup.”) Dalam penglihatan yang lain, Yehezkiel menyatakan bahawa empat makhluk hidup itu ialah “kerub-kerub,” atau malaikat yang perkasa. (Yeh. 10:2) Memandangkan Yehezkiel berasal daripada keturunan imam, dia pasti tahu bahawa kerub-kerub berkait rapat dengan kehadiran Tuhan dan mereka merupakan hamba-hamba Tuhan.​—1 Taw. 28:18; Mzm. 18:10.

“Setiap Makhluk Itu Mempunyai Empat Muka”

5. (a) Bagaimanakah kerub-kerub dan keempat-empat muka mereka mencerminkan kuasa dan kemuliaan Yehuwa? (b) Mengapakah penglihatan itu mengingatkan kita tentang maksud nama Tuhan? (Lihat nota kaki.)

5 Baca Yehezkiel 1:6, 10. Yehezkiel juga menulis bahawa setiap makhluk hidup itu mempunyai empat muka, iaitu muka manusia, muka singa, muka lembu, dan muka helang. Penglihatan itu membuat Yehezkiel kagum dengan kuasa dan kemuliaan Yehuwa. Mengapa? Kerana setiap muka makhluk itu mencerminkan sifat-sifat seperti keagungan, kuasa, dan keperkasaan. Contohnya, singa ialah binatang liar yang gagah berani, lembu ialah haiwan yang kuat, helang ialah burung yang hebat, dan manusia ialah ciptaan Tuhan yang paling istimewa, yang menguasai segala makhluk lain di bumi. (Mzm. 8:4-6) Empat makhluk hidup itu berada di bawah takhta Yehuwa, Pemerintah Yang Berdaulat. Gambaran ini sangat sesuai kerana Yehuwa dapat menggunakan ciptaan-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. * Memang benar apa yang dikatakan oleh pemazmur mengenai Yehuwa, “Kerajaan-Nya berkuasa atas segala sesuatu.”​—Mzm. 103:19; 148:13.

Bagaimanakah kerub-kerub dan keempat-empat muka mereka mencerminkan kuasa, kemuliaan, dan sifat-sifat Yehuwa yang lain? (Lihat perenggan 5, 13)

6. Apakah yang membantu Yehezkiel memahami apa yang dilambangkan oleh muka kerub-kerub itu?

6 Setelah merenungkan penglihatan itu, Yehezkiel mungkin teringat tentang hamba Tuhan pada masa lalu yang juga menggunakan binatang sebagai perbandingan. Contohnya, Yakub menyatakan bahawa anaknya Yehuda adalah seperti seekor singa dan Benyamin adalah seperti seekor serigala. (Kej. 49:9, 27) Mengapa? Kerana Yehuda, Benyamin, dan keturunan mereka akan memiliki sifat-sifat yang sering dikaitkan dengan singa dan serigala. Maka dengan memikirkan contoh dalam Ayat-Ayat Suci, Yehezkiel dapat menyimpulkan bahawa muka kerub-kerub itu menggambarkan sifat-sifat tertentu. Apakah sifat-sifat itu?

Sifat-Sifat yang Dimiliki Yehuwa dan Keluarga-Nya di Syurga

7, 8. Apakah sifat-sifat yang sering dikaitkan dengan empat muka kerub-kerub itu?

7 Mari kita lihat bagaimana penulis Bible yang hidup sebelum Yehezkiel mengaitkan sifat-sifat tertentu dengan singa, helang, dan lembu. Contohnya, perhatikan ungkapan berikut: “Orang yang berani seperti singa.” (2 Sam. 17:10; Ams. 28:1) “Burung helang mengawasi segala arah, dan matanya memerhatikan mangsa dari kejauhan.” (Ayb. 39:27, 29) “Dengan kekuatan lembu, hasil yang melimpah akan dituai.” (Ams. 14:4) Berdasarkan ayat-ayat sebegitu dan penjelasan yang sering disebutkan dalam bahan bacaan kita, muka singa yang berani menggambarkan keadilan, muka helang menggambarkan kebijaksanaan untuk melihat jauh ke depan, dan muka lembu menggambarkan kuasa yang luar biasa.

8 Bagaimana pula dengan “muka manusia”? (Yeh. 10:14) Hal itu menggambarkan sifat yang tidak dimiliki oleh binatang. Di bumi, sifat ini hanya dapat ditunjukkan oleh manusia kerana mereka diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kej. 1:27) Sifat ini jelas dilihat melalui dua perintah ini: “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati” dan “kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.” (Ul. 6:5; Im. 19:18) Apabila kita mematuhi perintah ini, kita sedang mencerminkan kasih Yehuwa. Yohanes menulis, “Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.” (1 Yoh. 4:8, 19) Maka, “muka manusia” melambangkan kasih.

9. Siapakah yang memiliki sifat-sifat yang digambarkan oleh muka kerub-kerub itu?

9 Siapakah yang memiliki sifat-sifat itu? Kerub-kerub dalam penglihatan ini mewakili semua makhluk roh di syurga. Maka, seluruh keluarga rohani Yehuwa di syurga memiliki sifat-sifat itu. (Why. 5:11) Memandangkan Yehuwalah yang menciptakan kerub-kerub, Dia juga pasti memiliki sifat-sifat yang murni itu. (Mzm. 36:9) Jadi, muka kerub-kerub juga menggambarkan sifat-sifat yang dimiliki oleh Yehuwa. (Ayb. 37:23; Mzm. 99:4; Ams. 2:6; Mi. 7:18) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan sifat-sifat yang mengagumkan itu?

10, 11. Apakah manfaat-manfaat yang kita peroleh daripada keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan kasih Yehuwa?

10 Keadilan. Sebagai Tuhan yang “mencintai keadilan,” Yehuwa “tidak berat sebelah.” (Mzm. 37:28; Ul. 10:17) Maka, peluang untuk menjadi hamba-Nya dan menerima berkat yang berkekalan terbuka kepada kita semua, tidak kira kedudukan dan latar belakang kita. Kebijaksanaan. Sebagai Tuhan yang “amat bijaksana,” Yehuwa telah memberi kita Firman-Nya yang penuh dengan nasihat yang bijaksana. (Ayb. 9:4; Ams. 2:7) Dengan menerapkan nasihat-nasihat itu, kita dibantu untuk menangani cabaran seharian dan menjalani hidup yang bermakna. Kuasa. Sebagai Tuhan yang “amat berkuasa,” Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk memberi kita “kuasa luar biasa.” Dengan demikian, kita dapat mengharungi segala macam kesusahan.​—Nah. 1:3; 2 Kor. 4:7; Mzm. 46:1.

11 Kasih. Sebagai Tuhan yang “penuh dengan kasih setia,” Yehuwa tidak mungkin akan meninggalkan penyembah-Nya yang setia. (Mzm. 103:8; 2 Sam. 22:26) Ada kalanya masalah kesihatan atau usia tua membatasi khidmat kita. Namun, kita dilegakan kerana kita tahu bahawa Yehuwa ingat akan segala yang pernah kita lakukan dan kasih yang pernah kita tunjukkan demi-Nya. (Ibr. 6:10) Ya, kita sudah memperoleh banyak manfaat daripada keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan kasih Yehuwa, dan kita akan terus meraih manfaat daripadanya pada masa yang akan datang.

12. Dapatkah kita memahami segalanya tentang sifat Yehuwa? Jelaskan.

12 Sebagai manusia, kita hanya mengetahui sedikit tentang sifat-sifat Yehuwa. Ya, apa yang kita tahu “hanyalah sekelumit daripada perbuatan-Nya yang menakjubkan.” (Ayb. 26:14) “Kita tidak dapat memahami segala-galanya tentang Dia Yang Maha Kuasa” kerana ‘kebesaran-Nya tidak dapat difahami.’ (Ayb. 37:23; Mzm. 145:3) Memandangkan semua sifat Yehuwa saling berkait rapat, adalah mustahil untuk menghitung atau menyenaraikan setiap sifat-Nya. (Mzm. 139:17, 18; baca Roma 11:33, 34.) Sebenarnya, hal ini jelas ditunjukkan dalam penglihatan Yehezkiel.

“Empat Muka . . . Empat Sayap”

13, 14. Apakah yang digambarkan oleh empat muka kerub-kerub itu secara keseluruhan? Mengapakah kita dapat membuat kesimpulan itu?

13 Kerub-kerub yang dilihat oleh Yehezkiel mempunyai empat muka. Dalam Bible, angka empat sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang lengkap atau merangkumi semuanya. (Yes. 11:12; Mat. 24:31; Why. 7:1) Dalam penglihatan ini, Yehezkiel berkali-kali menyebut angka empat. (Yeh. 1:5-18) Apakah yang dapat kita simpulkan? Sepertimana empat kerub melambangkan semua anak Tuhan di syurga, empat muka kerub-kerub itu juga secara keseluruhan menggambarkan semua sifat yang dimiliki Yehuwa. *

14 Mengapakah kita dapat menyimpulkan bahawa empat muka kerub-kerub itu menggambarkan lebih daripada empat sifat? Mari kita lihat kembali empat roda dalam penglihatan Yehezkiel. Sememangnya, setiap roda itu besar dan mengagumkan. Tetapi apabila dilihat secara keseluruhan, hal itu lebih menakjubkan kerana empat roda itu membentuk asas kenderaan Yehuwa. Begitu juga, empat muka kerub-kerub itu secara keseluruhan merupakan asas sifat-sifat Yehuwa yang mulia.

Yehuwa Dekat dengan Semua Hamba-Nya yang Setia

15. Apakah kebenaran yang dipelajari oleh Yehezkiel tentang hubungannya dengan Yehuwa?

15 Dalam penglihatan pertama ini, Yehezkiel mempelajari satu kebenaran penting tentang hubungannya dengan Yehuwa. Dalam kata-kata pendahuluan buku Yehezkiel, dia menulis bahawa dia berada “di negeri orang Kasdim.” Kemudian dia menambah, “Di situ, Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas aku.” (Yeh. 1:3) Perhatikan bahawa Yehezkiel mendapat penglihatan daripada Tuhan bukan semasa dia berada di Yerusalem, tetapi semasa dia berada “di situ,” iaitu di Babilon. * Apakah yang dipelajarinya? Meskipun dia seorang tawanan yang berada jauh dari Yerusalem dan Rumah Tuhan, Yehuwa tidak mengabaikannya dan dia masih dapat beribadat kepada Tuhan. Ibadatnya kepada Tuhan tidak bergantung pada lokasi atau keadaan hidupnya, sebaliknya bergantung pada keadaan hatinya dan keinginannya untuk menyembah Yehuwa.

16. (a) Mengapakah kita dilegakan setelah mengkaji penglihatan Yehezkiel? (b) Apakah yang menggerakkan anda untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati?

16 Mengapakah kita dilegakan setelah mengkaji apa yang dipelajari Yehezkiel? Tidak kira di mana kita berada, masalah yang kita hadapi, atau keadaan hidup kita, kita yakin bahawa Yehuwa tetap berada di sisi kita jika kita menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Mzm. 25:14; Kis. 17:27) Yehuwa sabar dan tidak cepat putus asa dengan kita kerana Dia menunjukkan kasih setia-Nya kepada kita. (Kel. 34:6) Maka, kita tidak akan pernah terpisah daripada kasih setia-Nya. (Mzm. 100:5; Rm. 8:35-39) Selain itu, penglihatan tentang kesucian Yehuwa dan kuasa-Nya mengingatkan kita bahawa Dia layak menerima ibadat kita. (Why. 4:9-11) Kita amat bersyukur kerana Yehuwa menggunakan penglihatan sebegini untuk membantu kita memahami kebenaran yang penting tentang diri-Nya dan sifat-sifat-Nya. Apabila kita mendalami sifat-sifat Yehuwa yang mulia ini, hubungan kita dengan-Nya menjadi semakin erat. Kita juga akan terdorong untuk memuji dan menyembah-Nya dengan segenap hati dan kekuatan kita.​—Luk. 10:27.

Kita tidak akan pernah terpisah daripada kasih setia Yehuwa (Lihat perenggan 16)

17. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam bab-bab yang seterusnya?

17 Sedihnya, ibadat sejati dicemari pada zaman Yehezkiel. Mengapakah hal itu terjadi? Apakah reaksi Yehuwa? Apakah kaitan perkara-perkara itu dengan kita hari ini? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam bab-bab yang seterusnya.

^ per. 5 Gambaran Yehezkiel tentang makhluk-makhluk hidup itu mengingatkan kita tentang maksud nama Tuhan Yehuwa. Nama-Nya boleh membawa erti “Dia Menyebabkan Menjadi.” Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa dapat menyebabkan ciptaan-Nya menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk mencapai kehendak-Nya.​—Lihat Lampiran A4 dalam Terjemahan Dunia Baharu.

^ per. 13 Bahan bacaan kita telah membincangkan sekitar 50 sifat Yehuwa.​—Lihat Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa di bawah topik “Tuhan Yehuwa,” dan pilih tajuk kecil “Sifat-Sifat Yehuwa.”

^ per. 15 Menurut seorang pengulas Bible, ungkapan “di situ” yang digunakan oleh Yehezkiel menunjukkan bahawa ‘hal yang membuatnya paling kagum ialah hakikat bahawa Tuhan berada di situ, iaitu di Babilon! Hal itu sangat melegakan hatinya!’