Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB DUA PULUH SATU

Dia Melawan Rasa Takut dan Keraguan

Dia Melawan Rasa Takut dan Keraguan

1-3. Ceritakan apa yang dialami oleh Petrus sepanjang hari itu.

PETRUS mendayung sekuat hati dalam kegelapan yang pekat sehingga belakangnya dan bahunya terasa lenguh. Angin kuat yang membuat rambutnya kusut-masai kini menyebabkan ombak di Tasik Galilea menggulung tinggi. Ombak menghempas perahunya tanpa henti dan badannya basah kuyup terkena semburan air yang sejuk. Biarpun begitu, dia terus mendayung.

2 Sebelum ini, Petrus dan rakan-rakannya meninggalkan Yesus di tebing tasik. Pada hari itu, mereka telah melihat Yesus memberikan makanan kepada ribuan orang secara mukjizat. Oleh itu, orang ramai ingin menjadikan Yesus raja mereka, tetapi Yesus tidak mahu terlibat dalam hal-hal politik. Yesus juga tidak mahu para pengikutnya terlibat dalam hal-hal politik. Maka dia segera menyuruh mereka menaiki perahu dan bertolak ke seberang tasik. Sementara itu, dia naik ke atas gunung untuk berdoa seorang diri.​—Mrk. 6:35-45; baca Yohanes 6:14-17.

3 Bulan bersinar dengan terang sewaktu mereka bertolak ke seberang tasik, tetapi sekarang bulan hampir terbenam di ufuk barat. Meskipun mereka telah mendayung selama berjam-jam, mereka masih jauh dari destinasi mereka. Bunyi angin yang bertiup kencang dan ombak yang bergelora membuat mereka tidak dapat mendengar kata-kata satu sama lain. Pada waktu itu, Petrus mungkin hanyut dalam arus fikirannya sendiri.

Masih banyak yang perlu dipelajari oleh Petrus meskipun dia telah mengikut Yesus selama dua tahun

4. Apakah kelemahan yang harus diatasi oleh Petrus?

4 Petrus berjumpa dengan Yesus buat kali pertama dua tahun sebelum ini. Meskipun dia telah mempelajari banyak perkara daripada Yesus, dia masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diatasi, seperti rasa takut dan keraguan. Namun demikian, kerelaan Petrus untuk mengatasi kelemahannya menjadikannya suri teladan yang baik. Sekarang marilah kita melihat bagaimana kita dapat meniru teladannya.

“Kami Sudah Menjumpai Mesias”!

5, 6. Gambarkan kehidupan Petrus.

5 Petrus tidak akan melupakan saat dia berjumpa dengan Yesus. Saudara kandungnya, Andreas, telah memberitahunya, “Kami sudah menjumpai Mesias.” Berita baik itu telah mengubah kehidupan Petrus buat selama-lamanya.​—Yoh. 1:41.

6 Petrus tinggal di Kapernaum, di sebelah utara Tasik Galilea, bersama isterinya, ibu mentuanya, dan Andreas. Dia dan Andreas bekerja sebagai nelayan bersama Yakobus dan Yohanes, anak-anak lelaki Zebedeus. Petrus perlu bekerja keras untuk menampung keperluan keluarganya. Bayangkanlah dia dan para nelayan perlu keluar ke tasik pada waktu malam lalu membanting tulang selama berjam-jam untuk menangkap ikan. Pada waktu pagi pula, mereka perlu membawa ikan yang ditangkap, membahagikannya, lalu menjualnya di pasar. Kemudian mereka perlu membaiki dan membersihkan jala-jala mereka.

7. Apakah yang dikatakan oleh Andreas kepada Petrus berkenaan Yesus? Mengapakah berita itu amat menggembirakan?

7 Bible memberitahu kita bahawa Andreas ialah pengikut Yohanes Pembaptis. Barangkali Petrus mendengar tentang perkhabaran Yohanes daripada saudaranya itu. Apabila Andreas mendengar Yohanes memanggil Yesus “Anak Bebiri Tuhan,” dia segera menjadi pengikut Yesus dan memberitahu Petrus dengan gembira bahawa Mesias sudah tiba. (Yoh. 1:35-40) Kira-kira 4,000 tahun sebelum ini, iaitu selepas pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa telah menjanjikan seorang Penyelamat, atau Mesias. (Kej. 3:15) Maka setelah Petrus mendapat tahu bahawa Andreas telah berjumpa dengan Mesias, dia segera pergi kepada Yesus.

8. Apakah erti nama baharu yang diberikan kepada Petrus? Mengapakah ada orang yang tidak bersetuju dengan nama itu?

8 Sebelum itu, Petrus dikenali dengan nama Simon, atau Simeon. Tetapi apabila Yesus melihatnya, Yesus berkata, “‘Kamu akan digelar Kefas’ (iaitu “Petrus” dalam bahasa Yunani).” (Yoh. 1:42) “Kefas” bererti “batu.” Dengan memberikan nama baharu ini kepada Petrus, Yesus sedang menubuatkan bahawa Petrus akan menunjukkan sifat teguh, stabil, dan boleh diharap. Nampaknya Petrus tidak berasa bahawa dia mempunyai sifat-sifat seperti itu. Sebenarnya banyak pembaca Bible pun tidak melihat sifat-sifat itu dalam diri Petrus, malah ada yang berpendapat bahawa Petrus tidak stabil dan emosinya selalu turun naik.

9. Apabila Yehuwa dan Yesus memerhatikan kita, apakah yang dilihat oleh mereka? Apakah yang patut kita lakukan?

9 Petrus memang mempunyai kelemahan, dan Yesus pun sedar akan hal ini. Tetapi seperti Yehuwa, Yesus selalu bertumpu kepada sifat-sifat baik seseorang. Yesus nampak potensi Petrus, dan dia membantu Petrus untuk mengasah potensi itu. Dewasa ini, Yehuwa dan Yesus juga mencari sifat-sifat baik dalam diri kita. Kita mungkin berasa bahawa kita tidak mempunyai apa-apa kebaikan, tetapi kita patut yakin terhadap pandangan mereka. Seperti Petrus, kita juga harus sudi diajar dan dibentuk oleh mereka.​—Baca 1 Yohanes 3:19, 20.

“Janganlah Takut”

10. Apakah yang disaksikan oleh Petrus? Biarpun begitu, apakah yang telah dilakukan olehnya?

10 Petrus mungkin menyertai kempen penyebaran Yesus buat suatu jangka waktu, dan berpeluang mendengar Yesus mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. Barangkali dia juga berpeluang melihat mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus, iaitu menukar air menjadi wain. Biarpun begitu, dia meninggalkan Yesus dan kembali kepada pekerjaannya sebagai nelayan. Tetapi beberapa bulan kemudian, dia sekali lagi bersemuka dengan Yesus. Kali ini, Yesus menjemput Petrus untuk menjadi pengikutnya dan menjadi penginjil sepenuh masa.

11, 12. (a) Apakah yang berlaku kepada Petrus sepanjang malam itu? (b) Apakah yang mungkin difikirkan oleh Petrus seraya dia mendengar kata-kata Yesus?

11 Petrus dan rakan-rakannya telah menebarkan jala sepanjang malam, namun mereka masih tidak dapat menangkap apa-apa pun. Berbekalkan pengalaman dan kemahirannya, Petrus mencuba pelbagai kaedah untuk mencari ikan. Seperti nelayan lain, dia mungkin berharap agar dia dapat melihat tempat ikan-ikan berkumpul dan menyuruh ikan-ikan tersebut memasuki jalanya. Tetapi fikiran sedemikian pasti membuatnya lebih tawar hati. Dia menangkap ikan bukan kerana ingin mengisi masa lapang, tetapi kerana ingin menyara kehidupan keluarganya. Akhirnya, dia kembali dengan tangan kosong. Meskipun begitu, dia masih perlu membersihkan jala-jalanya. Oleh itu, dia pasti sedang sibuk apabila Yesus menghampirinya.

Petrus tidak pernah jemu mendengar Yesus mengajar tentang berita baik Kerajaan Tuhan

12 Dia nampak bahawa ada banyak orang yang mengerumuni Yesus untuk mendengar kata-katanya. Oleh itu, Yesus menaiki perahunya dan menyuruhnya untuk mendayung perahu itu jauh sedikit dari darat agar orang ramai dapat mendengar suara Yesus dengan lebih jelas. Petrus tidak pernah jemu mendengar Yesus mengajar tentang Kerajaan Tuhan. Dia mungkin terfikir untuk menginjil bersama Yesus. Tetapi jika dia mengikut Yesus, bagaimanakah dia dapat menyara kehidupan keluarganya? Apabila dia teringat kembali bagaimana dia berjerih lelah tanpa mendapat apa-apa hasil pada malam sebelumnya, dia mula berasa ragu-ragu.​—Luk. 5:1-3.

13, 14. Apakah mukjizat yang dilakukan oleh Yesus untuk Petrus? Apakah reaksi Petrus?

13 Setelah Yesus selesai bercakap, dia berkata kepada Petrus, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam, dan labuhkanlah jala kamu untuk menangkap ikan.” Petrus ragu-ragu, maka dia berkata, “Guru, kami bekerja keras sepanjang malam tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Namun, aku akan melabuhkan jala seperti yang Guru suruh.” Petrus baru sahaja membersihkan jalanya. Lagipun waktu itu bukanlah masanya ikan-ikan keluar mencari makanan. Tetapi dia masih mematuhi perintah Yesus dan menyuruh rakan-rakannya untuk mengikutnya dalam perahu yang lain.​—Luk. 5:4, 5.

14 Apabila Petrus menarik kembali jalanya, dia dapat merasai bahawa jala itu amat berat. Ya, jalanya sarat dengan ikan! Dengan cemas, dia meminta rakan-rakan yang berada di dalam perahu yang lain untuk datang membantunya. Akhirnya kedua-dua perahu mereka diisi penuh dengan ikan dan mula tenggelam. Petrus pernah melihat Yesus melakukan mukjizat, tetapi kali ini Yesus melakukan mukjizat ini khas untuknya. Dia sangat takjub kerana Yesus bahkan dapat membuat ikan-ikan masuk ke dalam jalanya! Hal ini membuat Petrus mula berasa takut. Dia berasa bahawa dia tidak layak menjadi pengikut Yesus, maka dia berlutut di hadapan Yesus lalu berkata, “Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.”​—Baca Lukas 5:6-9.

“Aku orang yang berdosa”

15. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kepada Petrus bahawa dia tidak patut berasa takut atau ragu-ragu?

15 Yesus berkata kepada Petrus, “Janganlah takut. Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.” (Luk. 5:10, 11) Ya, Petrus tidak patut berasa takut atau ragu-ragu. Dia tidak patut risau tentang urusan sehari-hari, seperti menangkap ikan. Dia juga tidak patut risau tentang kelemahannya sendiri. Yesus sedang menjemputnya untuk menyertai kerja penyebaran yang akan mengubah sejarah manusia. Lagipun Tuhan yang disembah Petrus ialah Tuhan yang ‘mengampuni orang dengan rela hati.’ (Yes. 55:7) Petrus patut yakin bahawa Yehuwa akan menjaga segala keperluan fizikal dan rohaninya.​—Mat. 6:33.

16. Apakah reaksi Petrus, Yakobus, dan Yohanes terhadap jemputan Yesus? Mengapakah tindakan mereka amat bijak?

16 Petrus segera menerima jemputan Yesus, begitu juga dengan Yakobus dan Yohanes. “Mereka membawa perahu ke darat dan meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Yesus.” (Luk. 5:11) Petrus telah bertindak dengan bijak sekali. Dia beriman kepada Yehuwa dan Yesus. Dewasa ini, kita dapat menunjukkan iman seperti Petrus jika kita mengatasi rasa takut dan keraguan sendiri agar dapat berkhidmat kepada Tuhan. Orang yang percaya kepada Yehuwa pasti tidak akan dikecewakan.​—Mzm. 22:4, 5.

“Mengapa Kamu Ragu-Ragu?”

17. Apakah yang telah disaksikan oleh Petrus semasa dia bersama Yesus?

17 Kisah pada permulaan bab ini berlaku kira-kira dua tahun setelah Petrus berjumpa dengan Yesus. Kita tidak dapat mengetahui apa yang sedang bermain dalam fikiran Petrus pada waktu itu. Tetapi kita tahu bahawa Petrus telah melihat Yesus menyembuhkan ibu mentuanya, memberikan Ceramah Di Atas Gunung, melakukan pelbagai mukjizat, dan mengajar orang. Semua hal ini membuktikan bahawa Yesus ialah Mesias yang diutus oleh Tuhan. Yesus bahkan telah memilih Petrus sebagai salah seorang daripada 12 orang rasulnya! Ya, nampaknya kelemahan Petrus, seperti kecenderungannya untuk berasa takut dan ragu-ragu, sudah berkurang. Meskipun demikian, peristiwa yang berlaku seterusnya menunjukkan bahawa Petrus belum mengatasi kelemahannya itu dengan sepenuhnya.

18, 19. (a) Gambarkan apa yang dialami oleh Petrus di Tasik Galilea. (b) Bagaimanakah Yesus memenuhi permintaan Petrus?

18 Antara pukul tiga pagi hingga enam pagi, Petrus tiba-tiba berhenti mendayung. Dia nampak sesuatu. Adakah itu semburan ombak yang memantulkan cahaya bulan? Tidak, kerana bayangan itu tidak bergoyang-goyang. Nampaknya seorang lelaki sedang berjalan di atas air ke arah mereka! Seraya lelaki itu menghampiri mereka, mereka takut lalu menjerit. Tetapi lelaki itu berkata, “Ini aku. Janganlah takut.” Ya, lelaki itu ialah Yesus!​—Mat. 14:25-28.

19 Petrus menjawab, “Jika kamu benar-benar Tuan, suruhlah aku berjalan di atas air.” Petrus sangat teruja semasa menyaksikan mukjizat yang istimewa itu dan mahu mengalami mukjizat itu sendiri. Yesus pun menyuruhnya berjalan ke arahnya. Oleh itu, Petrus keluar dari perahunya. Bayangkanlah raut wajah Petrus apabila dia mendapati bahawa dia dapat berdiri di atas permukaan air tasik itu. Dia pasti berasa takjub seraya dia mula berjalan ke arah Yesus. Tetapi tidak lama kemudian, dia mula berasa takut.​—Baca Matius 14:29.

“Apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut”

20. (a) Bagaimanakah perhatian Petrus tersimpang? Apakah akibatnya? (b) Apakah yang dikatakan oleh Yesus kepadanya?

20 Oleh sebab Petrus beriman, Yesus menggunakan kuasa suci Tuhan untuk membolehkannya berjalan di atas air. Petrus sepatutnya menumpukan perhatian kepada Yesus. Tetapi tiba-tiba perhatian Petrus tersimpang dan dia mula panik. Bible menyatakan, “Apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut.” Dia mungkin membayangkan bahawa dia akan tenggelam ke dasar tasik dan mati lemas. Seraya rasa takut mencengkam hatinya, imannya mula hilang. Lelaki ini yang dinamakan “Kefas,” yang bererti “batu,” kerana potensinya untuk menjadi teguh, kini mula tenggelam seperti batu, kerana imannya tidak teguh. Petrus pandai berenang, tetapi pada waktu itu, dia tidak bergantung pada kebolehannya. Dia berseru, “Tuan, selamatkanlah aku!” Yesus segera menghulurkan tangannya lalu memegangnya sambil berkata, “Alangkah kecilnya imanmu! Mengapa kamu ragu-ragu?”​—Mat. 14:30, 31.

21. Mengapakah keraguan amat berbahaya? Bagaimanakah kita dapat mengatasinya?

21 “Mengapa kamu ragu-ragu?”—soalan ini memang sesuai! Keraguan dapat memusnahkan seseorang. Jika kita membiarkan keraguan bertapak di hati, lama-kelamaan iman kita akan semakin lemah dan akhirnya hancur. Maka kita perlu melawan keraguan kita dengan sedaya upaya. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Dengan menumpukan perhatian kepada perkara yang betul. Jika kita asyik berfokus kepada apa yang menakutkan dan melemahkan kita, kita akan mula berasa ragu-ragu. Sebaliknya jika kita berfokus kepada Yehuwa dan Yesus, kita pasti dapat mengatasi keraguan kita.

22. Mengapakah kita patut meniru iman Petrus?

22 Selepas Petrus dan Yesus masuk ke dalam perahu, ribut pun reda. Petrus dan murid-murid lain yang berada di dalam perahu itu berkata, “Sememangnya Guru ialah Anak Tuhan.” (Mat. 14:33) Petrus pasti bersukacita kerana dia telah mempelajari cara untuk mengatasi rasa takut dan keraguannya. Tetapi masih ada banyak yang perlu dipelajarinya sebelum dia dapat menjadi orang Kristian yang teguh dan stabil. Meskipun demikian, dia berazam untuk terus mengatasi kelemahannya itu dan maju secara rohani. Adakah anda juga mempunyai azam sedemikian? Jika ya, anda patut berusaha meniru iman Petrus.