Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

“Perkahwinan Harus Dihormati”

“Perkahwinan Harus Dihormati”

“Berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini.”AMSAL 5:18.

1, 2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini, dan mengapa?

SUDAHKAH anda berkahwin? Sebagai seorang Kristian yang mengasihi Tuhan Yehuwa, anda tentu ingin perkahwinan anda mengharumkan nama-Nya. Jadi jika anda sedang menghadapi masalah dalam perkahwinan, hal ini mungkin menyebabkan anda berasa risau dan sedih. Mungkin perkahwinan anda pada mulanya bahagia, tetapi sekarang keadaannya amat dingin. Mungkin jurang antara anda dan teman hidup anda semakin membesar. Jika begitu, patutkah anda berputus asa? Patutkah anda berfikir bahawa perkahwinan anda tidak boleh diselamatkan lagi? Tidak.

2 Terdapat banyak orang Kristian yang dahulunya tidak mempunyai hubungan yang erat dengan pasangan mereka. Walaupun begitu, mereka telah menjumpai rahsia untuk membaiki hubungan mereka. Anda juga dapat menikmati semula kebahagiaan dalam perkahwinan anda. Mari kita bincangkan caranya.

MENDEKATI TUHAN SERTA TEMAN HIDUP ANDA

3, 4. Mengapakah suami isteri akan mempunyai hubungan yang lebih rapat jika mereka berusaha mendekati Tuhan? Berikan perumpamaan.

3 Hubungan anda dengan teman hidup anda akan menjadi semakin dekat jika anda berdua berusaha mendekati Tuhan. Mengapakah kita berkata demikian? Sebagai contoh, fikirlah tentang sepasang suami isteri yang sedang berdiri di kaki sebuah gunung. Katakan suami berada di bahagian timur manakala isterinya pula berada di bahagian barat. Jarak yang memisahkan mereka sangat besar. Namun, seraya mereka masing-masing mendaki ke puncak gunung itu, jarak antara mereka menjadi semakin dekat. Apakah maksud perumpamaan ini?

4 Dalam perumpamaan ini, kita boleh mengatakan bahawa Yehuwa berada di puncak gunung. Oleh sebab anda mengasihi Yehuwa, anda sedang berusaha sedaya upaya untuk mendaki gunung itu. Tetapi, jika hubungan anda dengan pasangan anda renggang, anda berdua bagaikan mendaki gunung itu dari bahagian yang bertentangan. Walaupun begitu, apakah yang akan berlaku jika anda berdua terus mencurahkan usaha untuk mendaki gunung tersebut? Anda akan mendekati Tuhan dan pada masa yang sama anda akan menjadi semakin dekat kepada pasangan anda. Maka, rahsia untuk mempunyai hubungan yang baik dengan teman hidup anda adalah dengan mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan yang anda kasihi. Tetapi, bagaimanakah anda dapat melakukan hal ini?

Pengetahuan Bible yang diterapkan dapat mengukuhkan ikatan perkahwinan anda

5. (a) Nyatakan satu cara untuk mendekati Yehuwa serta teman hidup anda. (b) Apakah pandangan Yehuwa terhadap aturan perkahwinan?

5 Salah satu cara untuk mendekati Yehuwa serta teman hidup anda adalah dengan mengamalkan nasihat tentang perkahwinan yang terkandung dalam Firman Tuhan. (Mazmur 25:4; Yesaya 48:17, 18) Fikirlah tentang nasihat yang telah diberikan oleh hawari Paulus. Dia berkata, “Perkahwinan harus dihormati oleh semua orang.” (Ibrani 13:4) Apakah maksudnya? Kata-kata ini menunjukkan bahawa perkahwinan adalah sangat bernilai dan perlu disanjung tinggi. Inilah pandangan Yehuwa terhadap aturan perkahwinan.

KASIH TULUS TERHADAP YEHUWA DAPAT MENDORONG ANDA

6. Apakah yang kita faham daripada konteks kata-kata Paulus mengenai perkahwinan, dan mengapakah penting untuk mengingati hal ini?

6 Sebagai hamba Tuhan, anda dan teman hidup anda tahu bahawa perkahwinan merupakan aturan yang suci dan patut dihormati. Lagipun Yehuwa sendiri telah mengasaskan aturan ini. (Matius 19:4-6) Tetapi jika anda sedang menghadapi masalah dengan pasangan anda, sekadar mengetahui bahawa perkahwinan patut dihormati tidak cukup untuk mendorong anda supaya melayan teman hidup anda dengan kasih dan hormat. Jadi apakah yang dapat menggerakkan hati anda? Perhatikan bahawa Paulus berkata, “Perkahwinan harus dihormati.” Menurut konteks, hal ini bukanlah suatu pemerhatian, tetapi merupakan salah satu nasihat tegas yang diberikan Paulus. (Ibrani 13:1-5) Dengan mengingati hal ini, anda boleh mendapat dorongan yang diperlukan untuk menyemarakkan semula rasa hormat terhadap pasangan hidup anda. Mengapakah kita berkata demikian?

7. (a) Apakah perintah-perintah Bible yang kita patuhi, dan mengapa? (b) Apakah kebaikan yang dapat diraih apabila kita mematuhi Tuhan?

7 Fikirlah sebentar tentang pandangan anda terhadap perintah Bible yang lain, contohnya perintah untuk menjadikan orang murid Yesus dan perintah untuk menghadiri perjumpaan di sidang. (Matius 28:19; Ibrani 10:24, 25) Kadangkala mungkin tidak senang bagi anda untuk mematuhi perintah-perintah ini. Mungkin anda mendapat sambutan yang tidak baik semasa menjalankan kerja penyebaran, atau anda telah bekerja sehari suntuk dan berasa terlalu penat untuk menghadiri perjumpaan. Walaupun begitu, anda akan terus menjalankan aktiviti-aktiviti ini. Bolehkah sesiapa menghalang anda? Tidak! Bahkan Syaitan pun tidak boleh menghalang anda. Mengapa? Kerana kasih yang mendalam untuk Yehuwa mendorong anda untuk mematuhi perintah-Nya. (1 Yohanes 5:3) Apakah kebaikan yang dapat diraih dengan menjalankan kerja penyebaran dan menghadiri perjumpaan? Anda akan mendapat kepuasan hati, sukacita, dan kekuatan untuk terus mematuhi Tuhan. (Nehemia 8:10) Jadi, apakah pengajarannya?

8, 9. (a) Apakah yang boleh menggerakkan anda untuk mematuhi perintah untuk menghormati perkahwinan, dan apakah faedahnya? (b) Apakah dua perkara yang akan dibincangkan?

8 Kasih terhadap Tuhan mendorong anda untuk menyertai kerja penyebaran dan menghadiri perjumpaan walaupun anda berdepan dengan cabaran. Begitu juga, kasih terhadap Yehuwa boleh mendorong anda untuk mematuhi perintah untuk ‘menghormati perkahwinan’ walaupun hal ini tidak senang bagi anda. (Ibrani 13:4; Mazmur 18:30; Pengkhutbah 5:3) Selain itu, usaha yang anda curahkan dalam aktiviti penyebaran dan untuk menghadiri perjumpaan membawa berkat-berkat yang melimpah. Dalam cara yang sama, usaha anda untuk menghormati perkahwinan tidak akan dilupakan Yehuwa dan anda akan meraih berkat yang melimpah.Ibrani 6:10.

9 Jadi, bagaimanakah anda dapat menghormati perkahwinan? Anda mesti menghindari perbuatan yang akan menjejaskan perkahwinan anda. Selain itu, anda perlu mengambil langkah-langkah yang akan mengukuhkan ikatan perkahwinan anda.

HINDARI PERCAKAPAN DAN PERBUATAN YANG MENJEJASKAN PERKAHWINAN

10, 11. (a) Apakah perbuatan yang boleh menjejaskan perkahwinan? (b) Apakah yang patut kita tanya pasangan hidup kita?

10 Seorang isteri Kristian berkata, “Saya selalu berdoa kepada Yehuwa untuk memberi kekuatan kepada saya.” Mengapa? Dia menjelaskan lagi, “Suami saya selalu melontarkan kata-kata tajam dan pedas yang menusuk hati. Mungkin kesannya tidak dapat dilihat secara fizikal tetapi hati saya terluka setiap kali dia meluahkan kata-kata seperti ‘Engkau tidak berguna!’ atau ‘Engkau menyusahkan aku sahaja!’” Ya, penggunaan kata-kata yang menghina dalam perkahwinan merupakan masalah yang serius.

11 Alangkah sedihnya jika suami isteri Kristian saling melemparkan kata-kata kesat! Sudah tentu hal ini boleh menghiris hati, menyebabkan luka yang mendalam, dan menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati perkahwinan. Bagaimana pula dengan perkahwinan anda? Tanyalah teman hidup anda dengan rendah hati, “Adakah kata-kata saya kasar atau melukai hati kamu?” Jika pasangan anda berasa bahawa bahasa yang anda gunakan sering kali melukai hatinya, bolehkah anda mengubah cara pertuturan anda? Anda perlu berbuat demikian jika anda ingin mempunyai hubungan yang baik dengan pasangan anda.Galatia 5:15; Efesus 4:31.

12. Apakah yang dapat menyebabkan penyembahan kita menjadi sia-sia?

12 Namun begitu, sesetengah orang berfikir bahawa apa yang berlaku antara suami isteri tidak mempunyai kaitan dengan penyembahan mereka kepada Tuhan. Adakah hal ini benar? Tidak sama sekali. Bible menyatakan, ‘Adakah sesiapa menganggap dirinya penyembah Tuhan? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka penyembahannya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri.’ (Yakobus 1:26, ABB) Maka, cara anda bercakap kepada pasangan anda akan mempengaruhi penyembahan anda kepada Tuhan. Hal ini adalah perkara yang serius. Janganlah tipu diri sendiri. (1 Petrus 3:7) Anda mungkin merupakan seorang saudara atau saudari yang mempunyai bakat dan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi jika anda sengaja melukai hati pasangan anda dengan kata-kata yang tajam, anda tidak memperlihatkan hormat terhadap perkahwinan anda dan penyembahan anda kepada Tuhan adalah sia-sia sahaja.

13. Bagaimanakah seseorang mungkin melukai perasaan pasangannya?

13 Suami isteri juga mungkin melukai hati pasangan mereka secara tidak sedar. Perhatikan dua contoh yang berikut: Seorang ibu tunggal mungkin kerap menelefon seorang saudara yang sudah berkahwin untuk mendapatkan nasihat, dan mereka berbual untuk masa yang lama. Seorang saudara bujang pula mungkin menghabiskan banyak masa dalam kerja penyebaran dengan seorang saudari yang sudah berkahwin. Mungkin individu yang terlibat tidak berniat untuk melukai hati pasangan mereka. Tetapi, adakah mereka sedar bahawa kelakuan mereka boleh mempengaruhi pasangan mereka? Seorang isteri yang berhadapan dengan situasi sebegini berkata, “Apabila saya tahu bahawa suami saya meluangkan banyak masa dan memberikan banyak perhatian kepada saudari lain dalam sidang, saya berasa sakit hati. Saya berasa terabai dan terpinggir.”

14. (a) Menurut Kejadian 2:24, apakah tanggungjawab seseorang yang sudah berkahwin? (b) Apakah soalan yang perlu kita tanya?

14 Mengapakah saudari di atas, dan orang lain yang mengalami keadaan yang serupa berasa sakit hati? Hal ini adalah kerana pasangan mereka tidak mengendahkan prinsip asas yang diberikan oleh Tuhan kepada suami isteri. Apakah prinsip itu? Bible menyatakan, “Seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya.” (Kejadian 2:24) Prinsip ini jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab utama suami isteri adalah terhadap pasangan masing-masing. Walaupun suami isteri menghormati ibu bapa, mereka mesti mengutamakan teman hidup masing-masing. Dalam cara yang sama, orang Kristian mengasihi saudara saudari lain di sidang, tetapi tanggungjawab utama mereka adalah untuk mengasihi teman hidup sendiri. Jika seorang Kristian yang sudah berkahwin meluangkan terlalu banyak masa dan menjadi terlalu rapat dengan orang lain, terutamanya seseorang yang berlawanan jantina, dia menjadikan ikatan perkahwinannya tegang. Adakah hal ini sedang berlaku dalam perkahwinan anda? Tanyalah diri, “Adakah saya meluangkan masa, memberikan perhatian, dan menunjukkan kasih sayang yang secukupnya kepada teman hidup saya?”

15. Menurut Matius 5:28, mengapakah orang Kristian yang sudah berkahwin tidak patut memberikan perhatian yang tidak wajar kepada seseorang yang bukan temannya?

15 Tambahan lagi, jika seseorang Kristian yang sudah berkahwin memberikan perhatian yang tidak wajar kepada orang lain yang bukan temannya, dia sedang mengundang masalah yang besar. Malangnya, hal ini pernah berlaku. Sesetengah orang telah menjalin hubungan yang terlalu rapat dengan orang lain yang bukan pasangan mereka sehingga terjatuh cinta dengan mereka. (Matius 5:28) Hasilnya mereka melakukan perbuatan salah yang menjejaskan lagi perkahwinan mereka. Mari kita bincangkan kata-kata hawari Paulus mengenai hal ini.

“SUAMI ISTERI HARUS SETIA KEPADA SATU SAMA LAIN”

16. Apakah perintah Paulus kepada suami isteri?

16 Selepas Paulus mengatakan bahawa “perkahwinan harus dihormati,” dia memberikan amaran ini: ‘Suami isteri harus setia kepada satu sama lain. Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina.’ (Ibrani 13:4) Hubungan seks hanya patut dijalin antara suami isteri. Maka, orang Kristian mengikut kata-kata terilham yang berikut: “Berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini.”Amsal 5:18.

17. (a) Mengapakah orang Kristian tidak patut mengikut pandangan orang mengenai perzinaan? (b) Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Ayub?

17 Orang yang mengadakan hubungan seks dengan seseorang yang bukan pasangannya sedang melakukan sesuatu yang sangat menjijikkan di mata Tuhan. Walau bagaimanapun, ramai orang hari ini berasa bahawa perzinaan adalah perbuatan yang tidak salah. Sebagai orang Kristian sejati, kita tidak mahu dipengaruhi oleh pandangan orang. Sebaliknya, kita mahu berpegang pada pandangan Tuhan kerana kita sedar bahawa ‘Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina.’ (Roma 12:9; Ibrani 10:31; 12:29) Maka, kita perlu menjadi seperti Ayub yang telah berkata, “Dengan sumpah aku telah berjanji, tidak memandang gadis muda dengan berahi.” (Ayub 31:1) Ya, kita tidak mahu mengambil langkah pertama ke lembah perzinaan. Maka, kita perlu mengawal mata kita agar tidak memandang seseorang yang bukan teman hidup kita dengan perasaan berahi.—Lihat rencana Lampiran “Pandangan Bible tentang Perceraian dan Perpisahan.”

18. (a) Apakah pandangan Yehuwa terhadap perzinaan? (b) Apakah persamaan antara perzinaan dan penyembahan berhala?

18 Di mata Yehuwa perzinaan merupakan kesalahan yang sangat serius. Sebagai Tuhan yang setia dan yang sentiasa boleh dipercayai, Yehuwa sangat membenci perbuatan ini. (Mazmur 33:4) Hukum Musa menyatakan bahawa seorang penzina dan seorang penyembah berhala akan dihukum mati. (Imamat 20:2, 10) Apakah persamaan antara perzinaan dan penyembahan berhala? Orang Israel yang menyembah berhala tidak setia kepada Yehuwa; orang Israel yang melakukan perzinaan berlaku curang terhadap teman hidupnya. Kedua-dua perbuatan ini adalah perbuatan khianat. Kedua-dua perbuatan ini sangat dibenci oleh Yehuwa!Keluaran 19:5, 6; Ulangan 5:9; Maleakhi 2:14.

19. Apakah yang dapat menguatkan tekad seorang Kristian untuk menghindari perzinaan, dan mengapa?

19 Sekarang kita tahu bahawa di bawah Hukum Musa perzinaan adalah dosa yang sangat serius. Jadi, hal ini dapat menguatkan tekad kita untuk menghindarinya. Mengapa? Bayangkanlah hal ini: Adakah anda akan memasuki sebuah gereja lalu sujud menyembah berhala-berhala yang ada di situ? Tidak mungkin! Jika anda diberikan wang untuk berbuat demikian, adakah anda akan melakukannya? Sudah tentu tidak! Mengapa? Kerana hal ini adalah sesuatu yang meluat dan anda tidak sanggup mengkhianati Yehuwa. Dalam cara yang sama, anda patut menganggap perzinaan sebagai sesuatu yang meluat. Anda tentu tidak mahu mengkhianati pasangan hidup anda mahupun mengkhianati Tuhan Yehuwa. (Mazmur 51:3, 6; Kolose 3:5) Ya, kita tidak ingin terjebak ke kancah perzinaan kerana kita tidak mahu menggembirakan hati Syaitan dan mengaibkan nama Yehuwa serta menjejaskan aturan perkahwinan yang suci.

CARA UNTUK MENGUKUHKAN IKATAN PERKAHWINAN ANDA

20. Apakah yang berlaku dalam sesetengah perkahwinan? Berikan perumpamaan.

20 Selain daripada menghindari perbuatan yang menjejaskan perkahwinan, apakah yang dapat menyemarakkan semula rasa hormat terhadap teman hidup anda? Untuk mendapat jawapan kepada soalan ini, cuba bandingkan perkahwinan anda kepada sebuah rumah yang tinggi nilainya. Kata-kata yang indah, dan perbuatan baik yang menunjukkan hormat terhadap teman hidup adalah seperti hiasan dalam rumah ini. Jika anda berdua mempunyai hubungan yang intim, maka perkahwinan anda bagaikan rumah yang cantik dan yang dihias dengan baik. Sebaliknya, jika kasih sayang anda semakin pudar, maka perkahwinan anda bagaikan rumah yang kosong tanpa hiasan. Tetapi oleh sebab anda ingin mematuhi perintah Yehuwa untuk ‘menghormati perkahwinan,’ anda akan bekerja keras untuk membaiki keadaannya. Bagaimanakah anda dapat melakukan hal ini? Firman Tuhan menyatakan, “Rumah tangga didirikan di atas asas hikmat dan pengertian. Apabila ada pengetahuan, bilik-biliknya dilengkapi barang-barang yang berharga dan indah.” (Amsal 24:3, 4, ABB) Bagaimanakah kita dapat menerapkan kata-kata ini dalam perkahwinan?

21. Bagaimanakah kita dapat mengukuhkan ikatan perkahwinan kita? (Lihat juga kotak “ Cara untuk Mengukuhkan Perkahwinan”)

21 Antara “barang-barang yang berharga” yang mengukuhkan ikatan perkahwinan ialah sifat-sifat seperti kasih sejati, rasa takut akan Tuhan, dan kepercayaan yang teguh. (Amsal 15:16, 17; 1 Petrus 1:7) Tetapi, bagaimanakah bilik-bilik yang dinyatakan dalam buku Amsal dipenuhi dengan “barang-barang yang berharga”? Ayat itu menyatakan bahawa hal ini berlaku “apabila ada pengetahuan.” Jika diterapkan dalam kehidupan, pengetahuan Bible dapat mengubah cara seseorang berfikir dan membantunya untuk menyemarakkan semula kasih dalam perkahwinan. (Roma 12:2; Filipi 1:9) Maka, apabila anda meluangkan masa bersama teman hidup anda untuk meneliti rencana yang menyentuh tentang perkahwinan seperti yang terdapat dalam The Watchtower, Awake!, atau ayat harian, anda berdua bagaikan sedang memerhatikan hiasan-hiasan yang boleh mengindahkan rumah anda. Oleh sebab anda mengasihi Yehuwa, anda akan menerapkan nasihat ini. Dengan demikian, keintiman dan kebahagiaan akan sekali lagi menghiasi perkahwinan anda.

22. Usaha yang anda curahkan akan membuahkan hasil apa?

22 Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak masa dan tenaga perlu dilaburkan agar perkahwinan anda dihiasi semula. Tetapi usaha anda akan membuahkan kepuasan yang mendalam kerana anda sedang mematuhi perintah Bible untuk “saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Roma 12:10; Mazmur 147:11) Yang penting sekali, usaha anda untuk menghormati perkahwinan sebenarnya membantu anda untuk terus hidup di bawah naungan kasih Tuhan!