Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 2

Setia kepada Pasangan Anda

Setia kepada Pasangan Anda

‘Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!’​—Markus 10:9

Yehuwa ingin kita tunjukkan kesetiaan. (Amsal 5:15) Hal ini amat penting dalam perkahwinan anda kerana kepercayaan tidak wujud tanpa kesetiaan. Kepercayaan juga penting agar kasih dapat bertumbuh.

Hari ini, mengekalkan kesetiaan dalam perkahwinan amat mencabar. Jadi, bagi melindungi perkahwinan anda, bertekadlah untuk melakukan dua perkara.

1 UTAMAKAN PERKAHWINAN ANDA

NASIHAT BIBLE: “Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak.” (Efesus 5:15, 16) Adalah bijak untuk memandang perkahwinan anda sebagai salah satu perkara terpenting dalam hidup. Perkahwinan anda harus diutamakan.

Yehuwa ingin anda memberikan perhatian kepada pasangan anda dan ‘menikmati hidup’ bersama-sama. (Pengkhutbah 9:9) Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa anda tidak patut mengabaikan pasangan anda. Sebaliknya, anda berdua harus berusaha untuk menyenangkan hati satu sama lain. (1 Korintus 10:24) Tunjukkan bahawa anda sangat menghargai dan memerlukan pasangan anda.

ANDA BOLEH:

  • Pastikan anda meluangkan masa bersama-sama dan beri perhatian sepenuhnya kepada pasangan anda

  • Utamakan pasangan anda dan bukannya diri sendiri

2 JAGALAH HATI ANDA

NASIHAT BIBLE: “Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.” (Matius 5:28) Jika seseorang asyik berfikir tentang perkara yang tidak bermoral, dia sebenarnya sedang berlaku curang terhadap pasangannya.

Yehuwa mengatakan bahawa anda perlu menjaga hati anda. (Amsal 4:23; Yeremia 17:9) Jadi, anda harus menjaga mata anda. (Matius 5:29, 30) Tirulah teladan Ayub. Dia membuat perjanjian dengan matanya untuk tidak memandang wanita lain dengan perasaan berahi. (Ayub 31:1) Bertekadlah untuk tidak melihat pornografi, dan tidak menjalinkan hubungan romantik dengan orang lain kecuali pasangan anda.

ANDA BOLEH:

  • Tunjukkan bahawa anda benar-benar setia kepada pasangan anda

  • Fikir tentang perasaan pasangan anda dan hentikan dengan segera apa sahaja hubungan yang boleh melukai perasaannya