Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN LIMA

Kembalilah kepada “Gembala dan Penyelia Jiwa Kamu”

Kembalilah kepada “Gembala dan Penyelia Jiwa Kamu”

Adakah cabaran-cabaran yang dibincangkan dalam brosur ini mempengaruhi hidup anda? Jika ya, anda tidak bersendirian. Banyak hamba Tuhan yang setia pada zaman dahulu dan masa kini menghadapi cabaran yang sama seperti kita. Yehuwa telah membantu mereka dan Dia juga akan membantu anda mengatasi cabaran.

Yehuwa akan menyokong usaha anda untuk kembali kepada-Nya

YAKINLAH bahawa Yehuwa akan menyokong usaha anda untuk kembali kepada-Nya. Dia akan membantu anda menangani kekhuatiran, mengatasi perasaan yang terluka, serta mendapatkan ketenangan daripada hati nurani yang bersih. Dengan demikian, anda akan terdorong untuk menyembah Yehuwa semula bersama rakan seiman yang lain. Situasi anda sama seperti yang digambarkan oleh Petrus mengenai sesetengah orang Kristian pada zamannya. Dia menulis, “Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala dan penyelia jiwa kamu.”​—1 Petrus 2:25.

Perkara terbaik yang dapat anda lakukan adalah kembali menyembah Yehuwa. Mengapa? Anda akan menggembirakan hati Yehuwa. (Amsal 27:11) Seperti yang anda tahu, Yehuwa mempunyai perasaan. Jadi, tindakan kita dapat mempengaruhi perasaan-Nya. Namun, Yehuwa tidak memaksa kita untuk mengasihi dan menyembah-Nya. (Ulangan 30:19, 20) Seorang cendekiawan Bible berkata, “Tiada seorang pun dapat membuka pintu hati anda. Anda harus membukanya sendiri.” Kita dapat membuka pintu hati jika kita menyembah Yehuwa dengan hati yang penuh kasih. Dengan demikian, kita memberi Yehuwa suatu hadiah yang berharga, iaitu integriti kita. Kita juga akan membawa sukacita yang besar kepada-Nya. Tiada apa yang dapat menandingi sukacita yang dirasai apabila kita memberi Yehuwa penyembahan yang layak diterima oleh-Nya.​—Kisah 20:35; Wahyu 4:11.

Apabila anda kembali melakukan aktiviti Kristian, keperluan rohani anda akan dipuaskan. (Matius 5:3) Bagaimana? Fikirkan situasi ini. Orang di serata dunia tertanya-tanya, “Mengapakah kita diciptakan?” Mereka ingin sekali mengetahui tentang tujuan hidup manusia. Yehuwa telah menyemai keinginan ini dalam hati manusia. Kita diciptakan untuk memperoleh kepuasan apabila kita menyembah-Nya. Jadi, kita akan berpuas hati apabila menyembah Yehuwa dengan hati yang penuh kasih.​—Mazmur 63:2-6.

Yakinlah bahawa Yehuwa ingin anda kembali kepada-Nya. Mengapa? Brosur ini telah disediakan dengan teliti, disertai bimbingan Yehuwa. Anda mungkin menerima brosur ini daripada seorang penatua atau rakan seiman yang lain. Kemudian, anda tergerak untuk membaca brosur ini dan bertindak selaras dengan apa yang disampaikan. Semua ini membuktikan bahawa Yehuwa tidak pernah melupakan anda. Sebaliknya, Dia sedang memimpin anda dengan penuh kasih agar anda kembali kepada-Nya.​—Yohanes 6:44.

Kita berasa lega kerana Yehuwa tidak melupakan umat-Nya yang hilang. Inilah yang dihargai oleh saudari Donna. Dia berkata, “Secara beransur-ansur, saya meninggalkan kebenaran. Tetapi, Mazmur 139:23, 24 selalu bermain dalam fikiran saya. Ayat itu berkata, ‘Selidikilah aku, ya Tuhan, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.’ Saya tahu, haluan dunia ini tidak sesuai dengan saya. Saya benar-benar memerlukan organisasi Yehuwa. Saya mula sedar bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkan saya. Saya cuma perlu kembali kepada-Nya. Saya gembira kerana telah membuat keputusan itu!”

“Saya mula sedar bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkan saya. Saya cuma perlu kembali kepada-Nya”

Kami berdoa dan berharap agar anda dapat menikmati semula sukacita yang diberikan oleh Yehuwa. (Nehemia 8:10) Anda tidak akan menyesal jika anda kembali kepada Yehuwa.