Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 21

Kerajaan Tuhan Menyingkirkan Musuhnya

Kerajaan Tuhan Menyingkirkan Musuhnya

FOKUS BAB INI

Peristiwa yang berlaku sebelum perang Armagedon tercetus

1, 2. (a) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Raja kita sudah memerintah sejak tahun 1914? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

 TIDAKKAH iman kita bertambah kuat setelah mengkaji hal-hal yang telah dilakukan oleh Kerajaan Tuhan? (Mzm. 110:2) Meskipun ditentang oleh musuh-musuh Kerajaan Tuhan, Raja kita telah mendapatkan seangkatan penyiar yang rela berkhidmat. Dia telah menyucikan dan memurnikan para pengikutnya secara rohani dan moral. Biarpun musuh-musuh Kerajaan Tuhan melakukan segala yang terdaya untuk memecahbelahkan kita, persaudaraan sedunia kita tetap utuh. Hal-hal sebegini merupakan sebahagian daripada pencapaian Kerajaan Tuhan yang membuktikan bahawa Raja kita sememangnya sudah memerintah sejak tahun 1914.

2 Kerajaan Tuhan bakal melaksanakan hal-hal yang lebih menakjubkan lagi. Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan datang dan memusnahkan semua musuhnya. (Dan. 2:44; Mat. 6:10) Namun sebelum masa itu tiba, peristiwa-peristiwa lain yang menggemparkan akan berlaku. Terdapat beberapa nubuat Bible yang menyentuh tentang hal itu. Dalam bab ini, kita akan mengkaji beberapa nubuat itu untuk mengetahui apa yang akan terjadi nanti.

Tanda bahawa “Kebinasaan akan Tiba-tiba Menimpa”

3. Apakah peristiwa yang akan berlaku sebelum hari Yehuwa bermula?

3 Mengisytiharkan kedamaian. Dalam suratnya kepada sidang di Tesalonika, rasul Paulus menggambarkan peristiwa pertama yang kita nantikan. (Baca 1 Tesalonika 5:2, 3.) Dalam surat itu, Paulus menyebut tentang “hari Yehuwa.” Hari itu akan bermula apabila “Babilon Besar” diserang. (Why. 17:5) Namun, sejurus sebelum hari Yehuwa bermula, bangsa-bangsa akan berkata, “Semuanya damai dan selamat!” Mereka mungkin berbuat demikian melalui satu pernyataan atau melalui beberapa pernyataan yang serupa. Adakah para pemimpin agama juga akan berkata, “Semuanya baik dan aman”? Memandangkan mereka sebahagian daripada dunia ini, kemungkinan besar mereka akan berbuat demikian. (Yer. 6:14; 23:16, 17; Why. 17:1, 2) Pengisytiharan bahawa semuanya damai dan selamat merupakan tanda bahawa hari Yehuwa akan segera bermula. Musuh-musuh Kerajaan Tuhan “sama sekali tidak dapat melepaskan diri.”

4. Mengapakah penting bagi kita untuk memahami nubuat Paulus tentang pengisytiharan “semuanya damai dan selamat”?

4 Mengapakah penting bagi kita untuk memahami erti nubuat itu? Paulus menyatakan, “Kamu tidak hidup dalam kegelapan sehingga hari itu tiba-tiba menimpa kamu sebagaimana siang hari tiba-tiba menimpa pencuri.” (1 Tes. 5:3, 4) Tidak seperti kebanyakan orang, kita memahami hala tuju perkembangan-perkembangan semasa. Namun, kita harus tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi di pentas dunia untuk memahami secara terperinci bagaimana nubuat itu akan menjadi kenyataan. Oleh itu, “marilah kita tetap berjaga-jaga dan memelihara daya pemikiran kita.”​—1 Tes. 5:6; Zef. 3:8.

Kesengsaraan Besar Bermula

5. Apakah peristiwa yang akan menandakan permulaan “kesengsaraan besar”?

5 Agama diserang. Paulus telah menyatakan bahawa “apabila orang berkata, ‘Semuanya damai dan selamat!’ pada waktu itulah kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka.” Sebagaimana pancaran kilat segera diikuti dengan dentuman guruh, begitu juga, sebaik sahaja kata-kata “Semuanya damai dan selamat!” diucapkan, “kebinasaan akan tiba-tiba menimpa.” Mula-mula, “Babilon Besar,” iaitu empayar agama palsu sedunia yang juga dipanggil “pelacur itu,” akan dimusnahkan. (Why. 17:5, 6, 15) Kemusnahan yang melanda agama Kristian palsu dan semua agama palsu yang lain akan menandakan permulaan “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:21; 2 Tes. 2:8) Bagi ramai orang, peristiwa itu memang di luar sangkaan mereka. Mengapa? Kerana sehingga saat-saat terakhirnya, pelacur itu masih menganggap dirinya sebagai “ratu” yang ‘tidak mungkin akan meratap.’ Tetapi keyakinannya itu hanyalah khayalan. Dia akan dimusnahkan dengan cepat, seolah-olah “dalam masa satu hari.”​—Why. 18:7, 8.

6. Siapakah atau apakah yang akan menyerang “Babilon Besar”?

6 Siapakah atau apakah yang akan menyerang “Babilon Besar”? Seekor “binatang buas” dengan “10 tanduk.” Buku Wahyu menunjukkan bahawa binatang buas tersebut merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sepuluh tanduk itu melambangkan semua kuasa politik yang menyokong “binatang buas yang berwarna merah marak” itu. (Why. 17:3, 5, 11, 12) Seberapa dahsyatkah serangan itu? Bangsa-bangsa yang menganggotai PBB akan menelan segala harta pelacur itu, membaham pelacur itu, dan “memusnahkannya dengan api.”​—Baca Wahyu 17:16. a

7. Bagaimanakah kata-kata Yesus di Matius 24:21, 22 menjadi kenyataan pada abad pertama Masihi? Bagaimanakah nubuat ini akan menjadi kenyataan pada masa depan?

7 Masa itu akan dipendekkan. Raja kita menyatakan apa yang akan berlaku setelah Babilon Besar dimusnahkan. “Disebabkan umat yang terpilih, masa itu akan dipendekkan,” kata Yesus. (Baca Matius 24:21, 22.) Pada tahun 66 M, kata-kata Yesus menjadi kenyataan pada skala yang kecil. Ketika itu, Yehuwa telah “memendekkan” serangan tentera Roma ke atas Yerusalem. (Mrk. 13:20) Tindakan Tuhan pada abad pertama telah membolehkan orang Kristian di Yerusalem dan Yudea diselamatkan. Semasa kesengsaraan besar, kata-kata Yesus akan menjadi kenyataan secara besar-besaran. Menerusi Raja kita, Yehuwa akan “memendekkan” serangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas agama, supaya agama yang benar tidak dimusnahkan bersama-sama agama palsu. Semua pertubuhan agama palsu akan dihancurkan, tetapi satu-satunya agama yang benar akan terselamat. (Mzm. 96:5) Apakah yang akan berlaku selepas itu?

Peristiwa-peristiwa yang Berlaku Sebelum Armagedon

8, 9. Apakah kejadian luar biasa yang dimaksudkan oleh Yesus? Apakah reaksi orang yang memerhatikan hal itu?

8 Nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir menunjukkan bahawa ada beberapa peristiwa penting yang akan berlaku sebelum Armagedon. Dua peristiwa pertama yang akan kita bincangkan tercatat di buku Matius, Markus, dan Lukas.​—Baca Matius 24:29-31; Mrk. 13:23-27; Luk. 21:25-28.

9 Kejadian luar biasa di langit. Yesus menubuatkan, “Matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit.” Pada masa itu, para pemimpin agama tidak lagi dianggap sebagai “cahaya” yang dapat membimbing orang. Namun, adakah kata-kata Yesus juga bermaksud bahawa orang ramai akan benar-benar melihat kejadian yang luar biasa di langit? Mungkin juga. (Yes. 13:9-11; Yl. 2:1, 30, 31) Apakah reaksi orang semasa melihat semua ini? Mereka akan “menderita” kerana ‘tidak tahu jalan keluar.’ (Luk. 21:25; Zef. 1:17) Ya, semua musuh Kerajaan Tuhan, baik “raja-raja” mahupun “hamba,” akan “pengsan ketakutan” semasa menantikan apa yang bakal terjadi. Mereka mungkin lari bertempiaran untuk mencari tempat perlindungan, tetapi tiada satu tempat pun yang dapat menyembunyikan mereka daripada bahang kemurkaan Raja kita.​—Luk. 21:26; 23:30; Why. 6:15-17.

10. Apakah penghakiman yang akan diumumkan oleh Yesus seperti yang tercatat di Matius 25:31-33, 46? Apakah reaksi penyokong dan penentang Kerajaan Tuhan terhadap penghakiman Yesus?

10 Penghakiman diumumkan. Kemudian, semua musuh Kerajaan Tuhan akan dipaksa untuk menyaksikan sesuatu yang membuat mereka bertambah merana. Yesus menyatakan bahawa “orang akan melihat Anak manusia datang dikelilingi awan dengan kemuliaan dan kuasa yang besar.” (Mrk. 13:26) Kejadian yang luar biasa itu menandakan bahawa sudah tiba masanya Yesus datang untuk mengumumkan penghakimannya. Dalam satu lagi nubuat tentang hari-hari terakhir, Yesus memberikan lebih banyak butiran tentang penghakiman yang akan diumumkan. Butiran itu telah dinyatakannya dalam perumpamaan tentang biri-biri dan kambing. (Baca Matius 25:31-33, 46.) Penyokong Kerajaan Tuhan yang setia akan tergolong sebagai “biri-biri.” Mereka akan ‘mengangkat kepala’ kerana sedar bahawa ‘pembebasan mereka sudah dekat.’ (Luk. 21:28) Namun, penentang Kerajaan Tuhan akan tergolong sebagai “kambing.” Mereka “memukul dada dengan sedih,” kerana mereka “akan mati selama-lamanya.”​—Mat. 24:30; Why. 1:7.

11. Apakah yang harus kita ingat semasa membincangkan peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku?

11 Selepas Yesus mengumumkan penghakimannya ke atas “semua bangsa,” beberapa lagi peristiwa penting akan berlaku sebelum perang Armagedon. (Mat. 25:32) Kita akan membincangkan dua daripadanya: Gog akan menyerang umat Tuhan, dan golongan terurap akan dikumpulkan. Semasa membincangkan dua peristiwa ini, ingatlah bahawa Firman Tuhan tidak menyatakan secara tepat bila kedua-dua peristiwa ini akan berlaku. Kemungkinan besar kedua-dua peristiwa ini akan berlaku pada jangka masa yang hampir sama.

12. Apakah serangan habis-habisan yang akan dilancarkan oleh Syaitan ke atas Kerajaan Tuhan?

12 Serangan bermati-matian. Gog dari Magog akan menyerang kaum terurap yang masih berada di bumi dan rakan mereka, iaitu biri-biri lain. (Baca Yehezkiel 38:2, 11.) Sejak Syaitan dibuang dari syurga, dia sentiasa berperang dengan baki kaum terurap, tetapi serangan Gog ke atas umat Tuhan merupakan serangannya yang terakhir ke atas Kerajaan Tuhan. (Why. 12:7-9, 17) Terutamanya sejak golongan terurap mula dikumpulkan ke dalam sidang Kristian yang telah dimurnikan, Syaitan telah mencuba merosakkan kerohanian mereka tetapi tidak berjaya. (Mat. 13:30) Namun, setelah semua agama palsu dilenyapkan, Syaitan akan berasa bahawa itulah peluang keemasan baginya untuk menyerang umat Tuhan yang nampaknya tidak dilindungi oleh ‘tembok dan alat-alat pertahanan.’ Dia akan menggerakkan kuasa-kuasa jahat di bawah pimpinannya untuk melancarkan serangan habis-habisan ke atas para penyokong Kerajaan Tuhan.

13. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa untuk melindungi umat-Nya di bumi?

13 Yehezkiel menggambarkan apa yang akan berlaku. Mengenai Gog, Yehezkiel bernubuat, “Engkau akan berangkat dari tempatmu yang jauh di utara. Engkau akan membawa pasukan berkuda yang besar dan kuat dari negeri-negeri lain, dan menyerang Israel, umat-Ku, seperti badai melanda bumi.” (Yeh. 38:14-16) Apakah reaksi Yehuwa terhadap serangan itu? Yehuwa berfirman, “Aku akan menjadi berang. Aku akan menakutkan Gog dengan segala macam bencana.” (Yeh. 38:18, 21; baca Zakharia 2:8.) Ketika itu, Yehuwa akan bertindak untuk melindungi umat-Nya di bumi. Tindakan-Nya itu menandakan permulaan perang Armagedon.

14, 15. Apakah peristiwa lain yang akan berlaku selepas Syaitan melancarkan serangan habis-habisan ke atas umat Tuhan?

14 Sebelum kita mengkaji bagaimana Yehuwa akan melindungi umat-Nya semasa perang Armagedon, marilah kita perhatikan satu peristiwa penting yang lain. Peristiwa ini berlaku selepas bermulanya serangan mati-matian yang dilancarkan oleh Syaitan dan sebelum Yehuwa mula campur tangan dalam perang Armagedon. Seperti yang dinyatakan dalam perenggan 11, peristiwa kedua ini ialah pengumpulan baki kaum terurap.

15 Mengumpulkan kaum terurap. Matius dan Markus mencatatkan kata-kata Yesus tentang apa yang akan berlaku kepada “umatnya yang terpilih,” iaitu orang Kristian terurap. Hal-hal itu merupakan sebahagian daripada rangkaian peristiwa yang bakal terjadi sebelum perang Armagedon tercetus. (Lihat perenggan 7.) Yesus merujuk kepada dirinya sendiri semasa bernubuat, “Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari hujung bumi ke hujung langit.” (Mrk. 13:27; Mat. 24:31) Adakah Yesus memaksudkan pemeteraian terakhir baki kaum terurap? Tidak. Pemeteraian terakhir baki kaum terurap akan dilakukan sejurus sebelum kesengsaraan besar bermula. (Why. 7:1-3) Sebaliknya, kerja “mengumpulkan umatnya yang terpilih” akan berlangsung semasa kesengsaraan besar. Nampaknya, tidak lama setelah Syaitan melancarkan serangan habis-habisan ke atas umat Tuhan, kaum terurap yang masih berada di bumi akan dikumpulkan ke syurga.

16. Semasa perang Armagedon, apakah yang akan dilakukan oleh kaum terurap yang telah dibangkitkan ke syurga?

16 Apakah kaitan pengumpulan baki kaum terurap dengan peristiwa yang akan berlaku seterusnya, iaitu Armagedon? Setelah semua baki kaum terurap dikumpulkan ke syurga, peristiwa yang berikutnya, iaitu perang Armagedon, akan bermula. Di syurga, 144,000 orang Kristian terurap yang memerintah bersama-sama Kristus akan diberikan kuasa untuk menyertai Yesus dan diberikan kuasa untuk menghancurkan semua musuh Kerajaan Tuhan dengan “tongkat besi.” (Why. 2:26, 27) Kemudian, kaum terurap yang dibangkitkan dan malaikat-malaikat yang perkasa akan menyertai Raja Kristus dalam perjuangannya apabila umat Yehuwa diserang oleh pihak musuh yang memiliki “pasukan berkuda yang besar.” (Yeh. 38:15) Pertembungan mereka akan menandakan detik permulaan perang Armagedon!​—Why. 16:16.

Bahagian Terakhir Kesengsaraan Besar

Bermulalah perang Armagedon!

17. Apakah yang akan berlaku kepada orang yang bersifat seperti “kambing” semasa Armagedon?

17 Menjatuhkan hukuman. Perang Armagedon merupakan bahagian terakhir kesengsaraan besar. Pada masa itu, Yesus akan memegang satu lagi peranan. Dia bukan sahaja akan menjadi Hakim yang mengadili “semua bangsa,” tetapi juga akan menjatuhkan hukuman ke atas semua orang yang didapati bersifat seperti “kambing.” (Mat. 25:32, 33) Dengan “sebilah pedang yang tajam dan panjang,” Raja kita akan “membunuh bangsa-bangsa.” Ketika itu, semua yang bersifat seperti kambing, baik “raja-raja” mahupun “hamba,” akan “mati selama-lamanya.”​—Why. 19:15, 18; Mat. 25:46.

18. (a) Apakah yang akan berlaku kepada kawanan “biri-biri”? (b) Apakah yang akan dilakukan oleh Yesus setelah dia mengalahkan semua orang yang memusuhi Kerajaan Tuhan?

18 Ya, meskipun kawanan “biri-biri” Yesus nampaknya tidak berdaya mempertahankan diri, serangan daripada tentera besar Syaitan tidak dapat mengapa-apakan mereka. Sebaliknya, mereka merupakan “kumpulan besar manusia” yang akan “selamat mengharungi kesengsaraan besar.” (Why. 7:9, 14) Selepas Yesus mengalahkan dan menyingkirkan semua orang yang memusuhi Kerajaan Tuhan, dia akan menghumban Syaitan dan roh-roh jahat ke dalam jurang. Selama seribu tahun, Syaitan dan konco-konconya seperti dalam keadaan mati dan mereka tidak dapat melakukan apa-apa.​—Baca Wahyu 6:2; 20:1-3.

Cara Mempersiapkan Diri

19, 20. Bagaimanakah kita dapat menerapkan pengajaran di Yesaya 26:20 dan 30:21?

19 Bagaimanakah kita dapat mempersiapkan diri untuk hal-hal dahsyat yang bakal berlaku? Beberapa tahun yang lalu, majalah The Watchtower menyatakan, “Orang yang ingin terselamat mesti mematuhi arahan.” Apakah sebabnya? Perhatikan amaran yang diberikan oleh Yehuwa kepada tawanan Yahudi di Babilon kuno. Yehuwa telah bernubuat tentang kejatuhan Babilon, tetapi apakah persiapan yang harus dilakukan oleh umat Tuhan pada masa itu? Yehuwa berfirman, ‘Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsa-Ku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan-Ku sudah reda.’ (Yes. 26:20) Perhatikan bahawa kata-kata “masuklah,” “tutuplah,” dan “bersembunyilah” adalah dalam bentuk perintah. Orang Yahudi yang mematuhi perintah-perintah itu akan tetap berada di dalam rumah dan dilindungi daripada askar-askar di luar. Ya, jika mereka ingin terselamat, mereka mesti mematuhi arahan Yehuwa. b

20 Apakah pengajarannya bagi kita? Seperti hamba-hamba Yehuwa pada masa kuno, jika kita ingin selamat mengharungi peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku, kita mesti mematuhi arahan Yehuwa. (Yes. 30:21) Kita menerima arahan sebegini melalui sidang. Oleh itu, kita harus belajar untuk mematuhi arahan yang diterima. (1 Yoh. 5:3) Jika kita berbuat demikian sekarang, adalah lebih mudah bagi kita untuk mematuhi arahan pada masa hadapan dan dilindungi oleh Bapa Yehuwa dan Raja Yesus. (Zef. 2:3) Dengan adanya perlindungan Tuhan, kita akan menyaksikan bagaimana Kerajaan Tuhan akan melenyapkan semua musuhnya. Peristiwa itu pasti akan terpahat di ingatan kita buat selama-lamanya!

a Nampaknya pembinasaan “Babilon Besar” merujuk kepada pembinasaan pertubuhan-pertubuhan agama palsu, dan bukannya pembunuhan semua penganut agama palsu. Oleh itu, kebanyakan orang yang mengikut Babilon masih akan hidup selepas kemusnahan Babilon. Mungkin pada masa itu, mereka akan mencuba menjauhkan diri daripada agama, seperti yang dinyatakan di Zakharia 13:4-6.

b Untuk maklumat lanjut, lihat buku Isaiah’s Prophecy​—Light for All Mankind I, muka surat 282-283.