Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 17

Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan

Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan

FOKUS BAB INI

Bagaimana pelbagai sekolah teokratik melatih para penyebar Kerajaan Tuhan untuk melaksanakan tugasan mereka

1-3. Apakah yang dilakukan oleh Yesus agar kerja penyebaran dijalankan secara lebih meluas? Apakah soalan-soalan yang timbul?

 SELAMA dua tahun, Yesus menginjil di banyak kota dan pekan di seluruh Galilea. (Baca Matius 9:35-38.) Dia mengajar orang di rumah ibadat dan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Ke mana sahaja dia pergi, ramai orang akan datang kepadanya. “Tuaian memang banyak,” kata Yesus, dan lebih ramai pekerja diperlukan.

2 Apakah yang dilakukan oleh Yesus agar kerja penyebaran dijalankan secara lebih meluas? Dia mengutus 12 orang rasulnya “untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan.” (Luk. 9:1, 2) Para rasulnya mungkin tidak tahu cara melakukan kerja itu, maka Yesus telah memberi mereka latihan sebelum mengutus mereka, sebagaimana Bapanya telah memberinya latihan yang diperlukan.

3 Bagaimanakah Yesus dilatih oleh Bapanya? Bagaimanakah Yesus melatih para rasulnya? Dewasa ini, adakah Raja Mesias melatih para pengikutnya untuk melaksanakan aktiviti penyebaran? Jika ada, apakah caranya?

“Apa yang Aku Katakan Semuanya Diajar oleh Bapa”

4. Bilakah dan di manakah Yesus diajar oleh Bapanya?

4 Yesus mengakui dengan terus terang bahawa dia diajar oleh Bapanya. Semasa menjalankan aktiviti penyebaran, Yesus berkata, “Apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa.” (Yoh. 8:28) Bilakah dan di manakah Yesus diajar? Nampaknya Anak sulung Tuhan telah dilatih tidak lama selepas dia diciptakan. (Kol. 1:15) Di syurga, Anak telah meluangkan masa yang tidak terhitung lamanya di sisi Bapanya, dan dia telah mendengar dan memperhatikan cara Bapanya mengajar. (Yes. 30:20) Hasilnya, Anak telah menerima pendidikan yang paling tinggi mengenai sifat, perbuatan, dan tujuan Bapanya.

5. Bagaimanakah Bapa telah mengajar Anak-Nya tentang tugas yang harus dilakukannya di bumi?

5 Apabila masanya tiba, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya tentang tugas yang harus dilakukannya di bumi. Bagaimanakah nubuat Bible menggambarkan hubungan antara Pendidik Agung, iaitu Yehuwa, dengan Anak sulung-Nya? (Baca Yesaya 50:4, 5.) Nubuat itu menyatakan bahawa Yehuwa membangunkan Anak-Nya “tiap-tiap pagi.” Tuhan digambarkan seperti seorang guru yang membangunkan anak muridnya pada awal pagi untuk mengajarnya. Menurut sebuah karya rujukan Bible, “Yehuwa . . . seolah-olah membawanya ke sekolah, dan mengajarnya seperti seorang pelajar.” Di syurga, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya “apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan.” (Yoh. 12:49) Bapa juga telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar. a Latihan itu bukan sahaja membantu Yesus melaksanakan kerja penyebarannya di bumi, malah membantu Yesus untuk melatih para pengikutnya agar mereka juga dapat melaksanakan kerja penyebaran dengan baik.

6, 7. (a) Apakah latihan yang diberikan oleh Yesus kepada para rasulnya? Bagaimanakah latihan itu membantu mereka? (b) Mengapakah Yesus menyediakan latihan bagi murid-muridnya dewasa ini?

6 Bagaimanakah Yesus melatih para rasulnya untuk menginjil? Menurut Matius bab 10, dia memberi mereka arahan spesifik mengenai soalan-soalan berikut: Di manakah mereka harus menginjil? (Ayat 5, 6) Apakah berita yang harus dikhabarkan? (Ayat 7) Perlukah mereka risau tentang keperluan mereka? (Ayat 9, 10) Apakah pendekatan yang harus digunakan? (Ayat 11-13) Apakah yang harus dilakukan jika penghuni rumah enggan mendengar? (Ayat 14, 15) Apakah tindakan yang harus diambil jika mereka dianiaya? (Ayat 16-23) b Arahan Yesus yang jelas telah melatih rasul-rasulnya untuk menerajui kerja penyebaran pada abad pertama Masihi.

7 Bagaimana pula dengan zaman kita? Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus telah memberi para pengikutnya tugas yang paling penting, iaitu kerja menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Adakah Raja Mesias melatih kita untuk melaksanakan tanggungjawab ini? Sudah pasti! Raja kita yang bertakhta di syurga telah memastikan bahawa para pengikutnya dilatih untuk menjalankan kerja penyebaran dan pelbagai tugas yang penting dalam sidang.

Melatih Umat Tuhan untuk Menginjil

8, 9. (a) Apakah tujuan utama Sekolah Penyebaran Teokratik? (b) Bagaimanakah perjumpaan pertengahan minggu telah membantu anda untuk menjadi penginjil yang lebih mahir?

8 Sejak dahulu lagi, organisasi Yehuwa telah melatih umat Tuhan untuk menginjil. Banyak latihan telah disediakan menerusi perhimpunan, konvensyen, dan perjumpaan seperti Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Namun, mulai tahun 1940-an, saudara-saudara yang mengambil pimpinan di ibu pejabat mula mengaturkan pelbagai sekolah untuk melatih umat Tuhan.

9 Sekolah Penyebaran Teokratik. Seperti yang dinyatakan dalam Bab 16, sekolah ini diasaskan pada tahun 1943. Adakah tujuan utama sekolah ini untuk melatih para pelajar memberikan ceramah yang baik semasa perjumpaan? Tidak. Dari mula lagi, tujuan utama sekolah ini adalah untuk melatih umat Tuhan supaya mereka dapat memuji Tuhan dalam aktiviti penyebaran. (Mzm. 150:6) Semua saudara dan saudari yang menyertai sekolah ini dilatih untuk menjadi penginjil yang lebih mahir. Kini, perjumpaan pertengahan minggu memberi kita latihan sedemikian.

10, 11. Kini, siapakah yang dapat menyertai Sekolah Latihan Gilead? Apakah tujuan kurikulum sekolah ini?

10 Sekolah Latihan Gilead. Kelas pertama Sekolah Latihan Gilead telah bermula pada hari Isnin, 1 Februari 1943. Pada mulanya tujuan sekolah ini adalah untuk melatih perintis dan pekhidmat sepenuh masa yang lain sebelum mereka diutus ke tempat lain sebagai mubaligh. Namun, mulai Oktober 2011, sekolah ini hanya terbuka kepada saudara saudari yang sedang menjalankan khidmat khas sepenuh masa, seperti perintis khas, penyelia lawatan dan isteri mereka, ahli Bethel, dan mubaligh yang belum menyertai sekolah itu.

11 Apakah objektif kurikulum Sekolah Gilead? Seorang pengajar Gilead yang berpengalaman berkata, “Untuk meneguhkan iman para pelajar menerusi kursus pembelajaran Bible yang teliti, dan untuk membantu mereka memupuk sifat-sifat rohani yang diperlukan agar mereka berjaya menangani pelbagai cabaran dalam tugasan mereka. Selain itu, tujuan kurikulum ini adalah untuk memarakkan semangat para pelajar terhadap kerja penyebaran.”​—Ef. 4:11.

12, 13. Apakah sumbangan Sekolah Gilead kepada kerja penyebaran sedunia? Berikan sebuah contoh.

12 Apakah sumbangan Sekolah Gilead kepada kerja penyebaran sedunia? Sejak tahun 1943, lebih daripada 8,500 pelajar telah dilatih, c dan para lulusan Gilead telah diutus ke lebih daripada 170 negara. Para mubaligh telah memanfaatkan latihan yang diterima dengan sebaik-baiknya. Mereka menyediakan teladan yang baik dalam kerja penyebaran dan melatih orang lain agar menginjil dengan bersemangat. Sering kali, para mubaligh telah menerajui kerja penyebaran di tempat yang hanya mempunyai sedikit penyiar atau yang langsung tidak ada penyiar.

13 Perhatikan apa yang berlaku di Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua, aturan untuk memberikan kesaksian hampir berhenti. Pada bulan Ogos 1949, jumlah penyiar tempatan di Jepun tidak sampai 10 orang. Namun pada hujung tahun itu, 13 lulusan Gilead telah dihantar ke Jepun sebagai mubaligh, dan lebih ramai mubaligh datang kemudian. Mula-mulanya, kerja mereka tertumpu di kawasan bandar raya. Selepas itu, mereka berpindah ke bandar lain. Para mubaligh berusaha menggalakkan pelajar mereka dan penyiar lain untuk menjadi perintis. Semangat dan kerja keras mereka membawa hasil yang lumayan. Kini, terdapat lebih daripada 216,000 penyiar Kerajaan Tuhan di Jepun, dan hampir 40 peratus dalam kalangan mereka ialah perintis! d

14. Sekolah-sekolah teokratik merupakan bukti akan apa? (Lihat kotak “ Sekolah untuk Melatih Para Penyebar Kerajaan Tuhan,” muka surat 212.)

14 Sekolah teokratik yang lain. Para pelajar yang menyertai Sekolah Latihan Perintis, Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian, atau Sekolah Bible untuk Saudara Bujang telah dibantu untuk membuat kemajuan rohani dan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dengan bersemangat. e Sekolah-sekolah teokratik ini merupakan bukti yang kukuh bahawa Raja kita telah memberi para pengikutnya latihan yang secukupnya agar mereka dapat melaksanakan aktiviti penyebaran.​—2 Tim. 4:5.

Melatih Saudara-saudara untuk Tanggungjawab Istimewa

15. Bagaimanakah saudara yang diamanahkan dengan tanggungjawab dapat meniru teladan Yesus?

15 Adakah anda masih ingat akan nubuat Yesaya yang menggambarkan cara Tuhan mengajar Yesus semasa dia di syurga? Dalam “sekolah” itu, Anak telah mempelajari cara untuk “menguatkan orang yang letih lesu.” (Yes. 50:4) Semasa Yesus di bumi, dia menggunakan apa yang dipelajarinya untuk menyegarkan orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.” (Mat. 11:28-30) Seperti Yesus, saudara-saudara yang terlantik harus menjadi sumber kelegaan bagi saudara saudari mereka. Untuk meningkatkan mutu khidmat mereka dalam aspek ini, pelbagai sekolah telah diasaskan.

16, 17. Apakah tujuan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik? (Lihat juga nota kaki.)

16 Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Kelas pertama sekolah ini bermula pada 9 Mac 1959 di Lansing Selatan, New York. Panjang kursus itu adalah selama satu bulan, dan para penyelia lawatan dan penyelia sidang (kini dipanggil koordinator badan penatua) telah dijemput untuk menghadirinya. Kursus itu kemudiannya diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa-bahasa lain, supaya saudara-saudara lain di serata dunia juga dapat memanfaatkannya. f

Saudara Lloyd Barry mengajar di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Jepun, 1970

17 Mengenai tujuan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1962 menyatakan, “Dalam dunia yang cukup sibuk ini, seorang penyelia dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa haruslah mampu mengaturkan hal ehwal sendiri supaya dia dapat memberikan perhatian yang secukupnya kepada semua ahli sidang serta menggalakkan dan membantu mereka. Pada masa yang sama, dia tidak boleh mengabaikan keluarganya. Sebaliknya dia mesti dapat membuat pertimbangan yang baik. Para penyelia sidang di serata dunia mempunyai peluang yang sangat baik untuk dilatih di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Latihan sebegini akan membantu mereka melaksanakan segala tanggungjawab yang dinyatakan dalam Bible!”​—1 Tim. 3:1-7; Tit. 1:5-9.

18. Bagaimanakah saudara saudari lain juga meraih manfaat daripada Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik?

18 Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa saudara saudari lain juga meraih manfaat daripada Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik? Apabila para penatua dan pembantu sidang menerapkan apa yang telah dipelajari, mereka dapat menyegarkan rakan seiman mereka, seperti yang dilakukan oleh Yesus. Semasa penatua atau pembantu sidang yang pengasih mengunjungi anda dan menggalakkan anda, atau semasa mereka mendengar luahan hati anda, tidakkah hati anda tersentuh? (1 Tes. 5:11) Saudara-saudara yang terlantik ini sesungguhnya kurniaan Tuhan kepada sidang!

19. Mengapakah Jawatankuasa Mengajar mengadakan sekolah-sekolah teokratik yang lain?

19 Sekolah teokratik yang lain. Di bawah arahan Badan Pimpinan, Jawatankuasa Mengajar juga menyelia sekolah-sekolah lain yang diadakan untuk melatih para saudara yang memikul tanggungjawab dalam organisasi kita. Para penatua, penyelia lawatan, dan ahli Jawatankuasa Cawangan memikul banyak tanggungjawab, maka latihan itu akan membantu mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik. Kursus Bible yang disediakan menggalakkan mereka untuk menjaga kerohanian sendiri dan menerapkan prinsip-prinsip Bible semasa menggembala biri-biri yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada mereka.​—1 Ptr. 5:1-3.

Kelas pertama Sekolah Latihan Pengorganisasian di Malawi, 2007

20. Mengapakah Yesus boleh mengatakan bahawa kita semua diajar oleh Yehuwa? Apakah tekad anda?

20 Jelaslah bahawa Raja Mesias telah melatih para pengikutnya dengan sebaik-baiknya. Yesus boleh mengatakan bahawa kita semua “diajar oleh Yehuwa,” kerana latihan yang diberikan oleh Yesus kepada para pengikutnya merupakan latihan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yesus. (Yoh. 6:45; Yes. 54:13) Marilah kita bertekad untuk memanfaatkan latihan yang disediakan oleh Raja kita. Ingatlah bahawa tujuan utama semua latihan ini adalah untuk memastikan kita tetap kuat secara rohani. Dengan demikian, kita dapat melaksanakan aktiviti penyebaran dengan sebaik-baiknya.

a Bagaimanakah kita tahu bahawa Bapa telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar? Yesus sering menggunakan perumpamaan, atau kata-kata hikmat, semasa mengajar. Perbuatannya ini telah dinubuatkan beratus-ratus tahun sebelum kelahirannya. (Mzm. 78:2; Mat. 13:34, 35) Nubuat itu dinyatakan oleh Yehuwa, maka jelaslah bahawa Dia telah menentukan terlebih dahulu bahawa Anak-Nya akan menggunakan cerita ibarat, atau perumpamaan, semasa mengajar.​—2 Tim. 3:16, 17.

b Beberapa bulan kemudian, Yesus memilih “70 orang murid yang lain lalu mengutus mereka secara berpasangan” untuk menginjil. Dia juga melatih mereka untuk menjalankan kerja penyebaran.​—Luk. 10:1-16.

c Sesetengah pelajar pernah menghadiri Sekolah Gilead lebih daripada sekali.

d Untuk maklumat lanjut tentang sumbangan lulusan Gilead kepada kerja penyebaran di serata dunia, lihat bab 23 dalam buku Jehovah’s Witnesses​—Proclaimers of God’s Kingdom.

e Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian dan Sekolah Bible untuk Saudara Bujang telah digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil.

f Kini semua penatua dapat memanfaatkan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Sekolah ini diadakan sekali dalam beberapa tahun, dan panjang sesinya berbeza-beza. Sejak tahun 1984, pembantu sidang juga dilatih di sekolah ini.