Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

Aturan untuk Menyembah “Tuhan Kedamaian”

Aturan untuk Menyembah “Tuhan Kedamaian”

FOKUS BAB INI

Yehuwa memurnikan aturan-aturan dalam organisasi-Nya

1, 2. Apakah perubahan yang berlaku pada majalah Zion’s Watch Tower terbitan Januari 1895, dan apakah reaksi saudara saudari kita?

 APABILA seorang Pelajar Bible yang bernama John A. Bohnet menerima Zion’s Watch Tower terbitan Januari 1895, dia berasa sangat teruja. Majalah itu mempunyai kulit depan yang baru: Gambar sebuah rumah api yang berdiri gagah di atas tebing bukit yang dipukul ombak laut yang bergelora. Sinaran daripada rumah api itu membelah kegelapan langit hitam. Pengumuman dalam majalah itu yang bertajuk “Pakaian Baru Kita,” mengulas rekaan baru majalah tersebut.

2 Saudara Bohnet berasa kagum dengan perubahan itu. Dia menulis kepada Saudara Russell, “Pakaian untuk [majalah] MENARA sangat cantik. Saya berasa gembira melihatnya.” Seorang lagi Pelajar Bible yang bernama John H. Brown menulis, “Kulit majalah itu sangat menarik perhatian. Alangkah kukuhnya asas menara itu yang membolehkannya bertahan meskipun dipukul ombak dan ribut.” Kulit majalah yang baru merupakan perubahan yang pertama bagi tahun itu, tetapi itu bukanlah perubahan yang terakhir bagi saudara saudari kita. Pada bulan November, satu lagi perubahan besar telah berlaku, dan menariknya, perubahan ini juga berkaitan dengan “laut yang bergelora.”

3, 4. Apakah masalah yang dibincangkan dalam Watch Tower 15 November 1895, dan apakah pengumuman yang dibuat?

3 Sebuah rencana dalam Watch Tower terbitan 15 November 1895 telah menyatakan bahawa satu masalah yang bagaikan ombak besar sedang mengganggu keamanan pertubuhan, atau organisasi, Pelajar Bible. Terdapat semakin banyak perbalahan antara saudara saudari tentang siapa yang harus mengambil pimpinan dalam sidang. Memandangkan persaingan sedemikian akan mengakibatkan perpecahan, mereka perlu dibantu mengatasinya. Untuk berbuat demikian, rencana tersebut menyamakan organisasi kita dengan sebuah kapal dan mengakui bahawa mereka yang mengambil pimpinan telah gagal mempersiapkan organisasi kita untuk mengharungi ribut. Apakah yang perlu dilakukan?

4 Rencana itu menyatakan bahawa seorang kapten yang cekap akan memastikan kapalnya mempunyai pelampung keselamatan. Dia juga akan memastikan anak-anak kapal bersedia mencegah kemasukan air semasa ribut melanda. Begitu juga, mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi perlu memastikan agar semua sidang bersedia menghadapi masalah yang mungkin melanda. Untuk mencapai tujuan tersebut, sebuah perubahan yang besar telah diumumkan dalam rencana itu: Dengan serta-merta, “penatua akan dipilih dalam setiap sidang” untuk “‘menggembala’ kawanan.”​—Kis. 20:28.

5. (a) Mengapakah langkah untuk memperkenalkan aturan penatua diambil pada masa yang tepat? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

5 Langkah untuk memperkenalkan aturan penatua memang diambil pada masa yang tepat. Dengan adanya struktur sidang yang stabil, saudara saudari kita dibantu mengharungi pergolakan yang melanda semasa Perang Dunia Pertama. Dalam puluhan tahun yang berikutnya, aturan dalam organisasi umat Tuhan telah dimurnikan supaya mereka dilengkapi dengan lebih baik untuk menyembah Yehuwa. Apakah nubuat Bible yang menggambarkan perkembangan ini? Apakah perubahan-perubahan dalam organisasi yang pernah anda saksikan? Bagaimanakah anda telah meraih manfaat daripadanya?

“Aku akan Melantik Kedamaian sebagai Penyeliamu”

6, 7. (a) Apakah erti di sebalik kata-kata Yesaya 60:17? (b) Apakah yang dimaksudkan semasa Yehuwa menyebut tentang “penyelia” dan “pemberi tugas”?

6 Bab 9 telah membincangkan nubuat Yesaya tentang bagaimana Yehuwa memberkati umat-Nya sehingga bilangan mereka semakin meningkat. (Yes. 60:22) Namun, Yehuwa berjanji akan memberikan lebih banyak berkat lagi. Dalam nubuat yang sama, Dia berfirman, “Sebagai ganti tembaga Aku akan membawa emas, dan sebagai ganti besi, Aku akan membawa perak; kayu akan digantikan dengan tembaga, dan batu akan digantikan dengan besi; dan Aku akan melantik kedamaian sebagai penyeliamu dan kebaikan sebagai pemberi tugasmu.” (Yes. 60:17, NW) Apakah maksud nubuat itu? Apakah kaitannya dengan kita hari ini?

Perubahan itu bukanlah daripada apa yang buruk kepada apa yang baik, tetapi daripada apa yang baik kepada apa yang lebih baik

7 Menurut nubuat Yesaya, satu bahan akan digantikan dengan bahan yang lain. Namun, perhatikan bahawa perubahan itu bukanlah daripada apa yang buruk kepada apa yang baik, tetapi daripada apa yang baik kepada apa yang lebih baik. Menggantikan tembaga dengan emas menggambarkan kemajuan, begitu juga dengan bahan-bahan lain yang dinyatakan dalam ayat itu. Dengan gambaran itu, Yehuwa bernubuat bahawa keadaan umat-Nya akan bertambah baik secara bertahap-tahap. Apakah kemajuan yang digambarkan dalam nubuat tersebut? Dengan menyebut tentang ‘penyelia’ dan ‘pemberi tugas,’ Yehuwa menunjukkan bahawa aturan untuk menjaga umat-Nya akan dimurnikan secara beransur-ansur.

8. (a) Seperti yang dinyatakan dalam nubuat Yesaya, siapakah yang membawa kemajuan dalam aturan sidang? (b) Apakah manfaat yang kita raih daripada kemajuan yang dialami? (Lihat juga kotak “ Dia Menerima Teguran dengan Rendah Hati.”)

8 Siapakah yang membawa kemajuan sedemikian? Yehuwa berfirman, “Aku akan membawa emas, . . . Aku akan membawa perak; . . . dan Aku akan melantik kedamaian.” Sesungguhnya, kemajuan dalam aturan sidang bukanlah hasil usaha manusia, tetapi datang daripada Yehuwa. Sejak Yesus ditabalkan sebagai Raja, Yehuwa telah menggunakan Anak-Nya untuk membawa semua perubahan itu. Apakah manfaat yang kita raih daripada kemajuan sedemikian? Ayat yang sama menyatakan bahawa kemajuan sedemikian akan menghasilkan “kedamaian” dan “kebaikan.” Apabila kita mengikut bimbingan Tuhan dan membuat perubahan, kita akan menikmati kedamaian. Oleh sebab kita mencintai kebaikan, kita didorong untuk berkhidmat kepada Yehuwa, yang digambarkan oleh Paulus sebagai “Tuhan kedamaian.”​—Flp. 4:9.

9. Apakah dasar bagi ketertiban dan perpaduan dalam sidang, dan mengapa?

9 Paulus juga menulis bahawa Yehuwa “bukanlah Tuhan yang kacau-bilau, tetapi Dia ialah Tuhan kedamaian.” (1 Kor. 14:33) Perhatikan bahawa Paulus tidak membandingkan keadaan yang kacau-bilau dengan keadaan yang teratur. Sebaliknya, dia membandingkannya dengan kedamaian. Mengapa? Keadaan yang teratur tidak semestinya membawa kedamaian. Sebagai contoh, sekumpulan askar akan mara ke barisan hadapan dengan teratur. Walaupun mereka berkawat dengan teratur, matlamat mereka ialah peperangan dan bukannya kedamaian. Oleh itu, semua orang Kristian harus ingat akan hal yang penting ini: Semua aturan yang tidak berasaskan kedamaian lambat-laun akan gagal. Namun, kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan akan menghasilkan ketertiban yang berkekalan. Tidakkah kita bersyukur kerana organisasi kita dibimbing dan dimurnikan oleh “Tuhan yang memberikan kedamaian”? (Rm. 15:33) Kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan merupakan dasar kepada ketertiban dan perpaduan sejati yang kita nikmati dalam sidang-sidang di serata dunia.​—Mzm. 29:11.

10. (a) Apakah perubahan yang berlaku dalam organisasi kita pada masa awal? (Lihat kotak “ Kemajuan dalam Aturan Penatua.”) (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan sekarang?

10 Dalam kotak “ Kemajuan dalam Aturan Penatua,” kita dapat melihat perubahan yang berlaku dalam organisasi kita pada masa awal. Namun bagaimanakah “tembaga” digantikan dengan “emas” belakangan ini? Apakah perubahan yang dibawa oleh Yehuwa menerusi Raja kita? Bagaimanakah perubahan dalam aturan penatua telah menyumbang kepada keamanan dan perpaduan sidang di serata dunia? Bagaimanakah perubahan sedemikian membantu anda untuk menyembah “Tuhan kedamaian”?

Cara Kristus Memimpin Sidang

11. (a) Setelah mengkaji Bible, apakah yang telah dipelajari tentang cara sidang Kristian abad pertama berfungsi? (b) Apakah tekad saudara-saudara kita yang menganggotai badan pimpinan?

11 Dari tahun 1964 hingga 1971, di bawah pengawasan badan pimpinan, satu projek pembelajaran Bible telah diadakan untuk mengkaji pelbagai topik. Antara topik yang dikaji ialah cara sidang Kristian abad pertama berfungsi. a Hasil kajian menunjukkan bahawa sidang pada abad pertama dijaga oleh sekumpulan penatua, dan bukannya seorang penatua atau penyelia. (Baca Filipi 1:1; 1 Timotius 4:14.) Apabila hal itu menjadi jelas, badan pimpinan sedar bahawa Raja Yesus sedang membimbing mereka untuk mengubah aturan dalam organisasi umat Tuhan supaya menjadi lebih baik. Saudara-saudara yang menganggotai badan pimpinan bertekad untuk mematuhi arahan Raja Mesias. Tanpa membuang masa, mereka membuat perubahan supaya aturan penatua kita lebih selaras dengan apa yang dikatakan dalam Bible. Apakah beberapa perubahan yang dilakukan pada awal tahun 1970-an?

12. (a) Apakah perubahan yang dibuat dalam badan pimpinan? (b) Jelaskan bagaimana Badan Pimpinan diaturkan. (Lihat kotak “ Bagaimana Badan Pimpinan Menjaga Kepentingan Kerajaan Tuhan.”)

12 Perubahan yang pertama berkaitan dengan badan pimpinan. Sebelum itu, saudara-saudara terurap yang menganggotai badan pimpinan merupakan tujuh ahli lembaga pengarah Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania. Pada tahun 1971, bilangan anggota badan pimpinan bertambah menjadi 11 orang, dan saudara yang menganggotai badan pimpinan tidak semestinya perlu berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah. Semua ahli badan pimpinan mempunyai kedudukan yang sama, dan setiap tahun, mereka akan bergilir-gilir menjadi pengerusi mengikut susunan abjad nama mereka.

13. (a) Apakah aturan yang sudah berkuat kuasa selama 40 tahun? (b) Apakah yang dilakukan oleh Badan Pimpinan pada tahun 1972?

13 Perubahan yang seterusnya mempengaruhi semua sidang. Dari tahun 1932 hingga 1972, kerja sidang kebanyakannya dilakukan oleh seorang saudara. Sehingga tahun 1936, saudara itu dipanggil pengarah aktiviti penyebaran. Kemudian, nama itu diubah menjadi hamba sidang dan akhirnya diubah menjadi penyelia sidang. Saudara-saudara terlantik itu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga kerohanian kawanan. Biasanya penyelia sidang akan membuat keputusan untuk sidangnya tanpa berbincang dengan pembantu-pembantu yang lain. Namun, pada tahun 1972, Badan Pimpinan telah membuat persiapan untuk satu perubahan yang bersejarah. Apakah perubahan itu?

14. (a) Apakah aturan yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1972? (b) Bagaimanakah koordinator badan penatua menerapkan nasihat di Filipi 2:3?

14 Mulai 1 Oktober 1972, saudara-saudara lain dalam sidang yang memenuhi syarat-syarat Bible juga dilantik sebagai penatua. Mereka semua akan menganggotai badan penatua yang menjaga sidang tempatan. Di bawah aturan baru ini, setiap sidang tidak akan mempunyai seorang saudara sahaja yang menjadi penyelia sidang. Hari ini, koordinator badan penatua tidak menganggap dirinya lebih penting daripada penatua-penatua lain, tetapi menganggap dirinya sebagai “orang yang berkedudukan rendah.” (Luk. 9:48) Saudara-saudara yang rendah hati ini sesungguhnya merupakan berkat kepada saudara saudari di serata dunia!​—Flp. 2:3.

Jelaslah, Raja kita yang bijaksana telah menyediakan para gembala pada masa yang tepat

15. (a) Apakah kebaikan aturan badan penatua? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Raja kita bertindak dengan bijaksana?

15 Apabila semua saudara yang menganggotai badan penatua bersama-sama memikul tanggungjawab dalam sidang, terdapat banyak kebaikan yang terhasil. Pertama sekali, aturan ini membantu semua penatua untuk sedar bahawa tidak kira apa pun tugas mereka dalam sidang, Yesus ialah Kepala sidang. (Ef. 5:23) Kedua, seperti yang dinyatakan di Amsal 11:14, sesuatu rancangan akan berjaya jika ada “banyak penasihat.” Apabila para penatua mempertimbangkan cadangan satu sama lain semasa membincangkan perkara yang mempengaruhi kerohanian sidang, mereka dapat membuat keputusan yang selaras dengan prinsip-prinsip Bible. (Ams. 27:17) Yehuwa akan memberkati keputusan sedemikian, dan berkat-Nya membawa kejayaan. Ketiga, apabila lebih ramai saudara yang berkelayakan berkhidmat sebagai penatua, organisasi kita dapat menjaga keperluan sidang yang semakin bertambah, terutamanya dari segi penyeliaan dan penggembalaan. (Yes. 60:3-5) Fikirkan: Jumlah sidang di serata dunia telah bertambah daripada sekitar 27,000 buah sidang pada tahun 1971 kepada lebih daripada 113,000 buah sidang pada tahun 2013! Jelaslah, Raja kita yang bijaksana telah menyediakan para gembala pada masa yang tepat.​—Mi. 5:5.

“Jadilah Teladan bagi Kawanan”

16. (a) Apakah tanggungjawab para penatua? (b) Apakah yang dinyatakan dalam majalah kita tentang nasihat Yesus untuk ‘menggembala kawanan biri-biri Tuhan’?

16 Dari dahulu lagi, para penatua sudah faham bahawa mereka bertanggungjawab membantu rakan seiman agar terus menyembah Tuhan. (Baca Galatia 6:10.) Pada tahun 1908, sebuah rencana dalam majalah Watch Tower telah membincangkan amanah yang diberikan oleh Yesus: “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.” (Yoh. 21:15-17) Rencana itu mengingatkan para penatua, “Amanah yang diberikan oleh Tuan kita untuk menjaga kawanannya mesti sentiasa diutamakan. Kita diberi penghormatan besar untuk memberikan makanan kepada pengikut-pengikut Tuan kita dan menjaga keperluan mereka.” Pada tahun 1925, The Watch Tower menegaskan sekali lagi bahawa para penatua perlu memainkan peranan sebagai gembala: “[Sidang] itu milik Tuhan, . . . dan semua orang yang diberikan penghormatan untuk berkhidmat kepada saudara saudari mereka mesti bertanggungjawab kepada Tuhan.”

17. Bagaimanakah para penyelia dibantu untuk menjadi gembala yang cekap?

17 Bagaimanakah organisasi Yehuwa membantu mengasah kemahiran para penatua supaya mereka menjadi gembala yang lebih cekap? Menerusi latihan. Pada tahun 1959, Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik telah diadakan buat kali pertama. Satu sesi kelas telah mengupas topik “Tunjukkan Minat Peribadi.” Saudara-saudara yang terlantik digalakkan supaya “mengaturkan jadual untuk pergi ke rumah para penyiar dan melawat mereka.” Mereka juga diajar pelbagai cara untuk memastikan kunjungan sedemikian menguatkan semangat saudara saudari. Selepas kurikulum sekolah itu dikemaskinikan, sesi latihan yang baru telah diadakan bermula tahun 1966. Salah satu sesi sekolah itu membincangkan topik “Pentingnya Kerja Penggembalaan.” Apakah isi utama sesi itu? Saudara-saudara yang mengambil pimpinan “harus menunjukkan kasih dan keprihatinan kepada kawanan Tuhan. Pada masa yang sama, mereka tidak patut lalai dalam tanggungjawab keluarga dan kerja penyebaran.” Akhir-akhir ini, lebih banyak sekolah untuk penatua telah diadakan. Apakah hasilnya? Dengan adanya latihan yang berterusan daripada organisasi Yehuwa, kini beribu-ribu saudara dapat melaksanakan tugas mereka sebagai gembala rohani dengan sebaik-baiknya.

Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Filipina, 1966

18. (a) Apakah tugas penting yang diamanahkan kepada para penatua? (b) Mengapakah Yehuwa dan Yesus mengasihi para penatua yang bekerja keras?

18 Aturan penatua disediakan oleh Yehuwa menerusi Raja Yesus untuk satu tugas yang amat penting: Untuk memimpin kawanan Tuhan pada waktu yang paling genting dalam sejarah manusia. (Ef. 4:11, 12; 2 Tim. 3:1) Yehuwa dan Yesus sangat mengasihi penatua yang bekerja keras, kerana saudara-saudara tersebut mematuhi nasihat Bible berikut: “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu . . . dengan rela, dan bukannya secara terpaksa . . . jadilah teladan bagi kawanan.” (1 Ptr. 5:2, 3) Mari kita bincangkan dua cara para gembala Kristian menjadi teladan bagi kawanan dan menyumbang kepada keamanan dan sukacita dalam sidang.

Bagaimana Para Penatua Menggembala Kawanan Tuhan

19. Apakah perasaan kita terhadap para penatua yang menyertai kita dalam kerja penyebaran?

19 Pertama, para penatua menginjil bersama ahli-ahli sidang. Lukas menyatakan bahawa “Yesus pergi dari kota ke kota dan dari pekan ke pekan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Dia pergi bersama 12 orang rasulnya.” (Luk. 8:1) Sebagaimana Yesus menginjil bersama rasul-rasulnya, penatua yang mengikut teladan Yesus juga menginjil bersama rakan-rakan seiman mereka. Mereka sedar bahawa usaha sedemikian menyumbang kepada semangat yang positif dalam sidang. Apakah perasaan ahli-ahli sidang terhadap usaha penatua? Jeannine, seorang saudari yang berusia lewat 80-an, berkata, “Bekerja bersama dengan seorang penatua dalam aktiviti penyebaran memberi saya peluang untuk berbual dengannya dan mengenalinya dengan lebih baik.” Steven, seorang saudara yang berusia pertengahan 30-an, berkata, “Apabila seorang penatua bekerja bersama saya dalam aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah, saya dapat merasakan bahawa dia ingin membantu saya. Bantuan sedemikian membuat saya sangat bersukacita.”

Sebagaimana gembala mencari bebiri yang sesat, para penatua berusaha mencari mereka yang tidak lagi bergaul dengan sidang

20, 21. Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan gembala dalam perumpamaan Yesus? Berikan contoh. (Lihat juga kotak “ Lawatan Mingguan yang Berhasil.”)

20 Kedua, organisasi Yehuwa telah melatih para penatua untuk mengambil berat terhadap mereka yang tidak lagi bergaul dengan sidang. (Ibr. 12:12) Mengapakah para penatua harus membantu orang yang lemah secara rohani? Bagaimanakah mereka dapat melakukannya? Perhatikan perumpamaan Yesus tentang seorang gembala dan biri-biri yang sesat. (Baca Lukas 15:4-7.) Semasa gembala itu mendapati bahawa seekor bebirinya hilang, dia mencari bebiri itu seolah-olah itulah satu-satunya bebiri yang dimilikinya. Dewasa ini, bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan gembala tersebut? Sebagaimana biri-biri yang sesat itu tetap berharga dalam mata gembala, orang yang tidak lagi bergaul dengan sidang juga tetap berharga dalam mata para penatua. Mereka memandang seseorang yang lemah secara rohani sebagai biri-biri yang sesat, bukannya biri-biri yang jahat. Seperti gembala yang ‘pergi mencari bebiri yang hilang sehingga dapat,’ para penatua akan mengambil inisiatif untuk mencari dan membantu mereka yang lemah.

21 Sebaik sahaja gembala itu menemui bebirinya, apakah yang dilakukannya? Dia “memikulnya pada bahu” dan membawanya kembali ke kawanan. Begitu juga apabila seorang penatua menunjukkan keprihatinan dengan ikhlas, mereka yang lemah secara rohani dapat dikuatkan dan dibantu untuk kembali ke sidang. Itulah pengalaman Victor, seorang saudara di Afrika yang tidak lagi bergaul dengan sidang. “Saya tidak aktif selama lapan tahun,” katanya. “Sepanjang masa itu, para penatua sentiasa mencuba membantu saya.” Apakah yang telah menyentuh hati Victor? Dia menjelaskan, “Pada suatu hari, John, seorang penatua yang menghadiri Sekolah Latihan Perintis bersama saya, meluangkan masa untuk mengunjungi saya. Dia menunjukkan beberapa gambar yang diambilnya bersama saya semasa sekolah perintis. Gambar-gambar itu mengingatkan saya tentang kenangan manis dahulu, sehingga saya mendambakan rasa sukacita yang saya nikmati semasa saya menyembah Yehuwa.” Tidak lama setelah Victor dikunjungi John, dia kembali ke sidang. Kini dia berkhidmat sebagai perintis semula. Sesungguhnya, para penatua yang penyayang menyumbang kepada sukacita kita.—2 Kor. 1:24. b

Aturan Penatua Mengukuhkan Perpaduan Umat Tuhan

22. Bagaimanakah kebaikan dan kedamaian mengukuhkan perpaduan sidang Kristian? (Lihat juga kotak “ Kami Sangat Kagum.”)

22 Seperti yang telah dinyatakan, Yehuwa telah menubuatkan bahawa kebaikan dan kedamaian dalam kalangan umat-Nya akan terus bertambah. (Yes. 60:17) Dua faktor ini telah mengukuhkan perpaduan antara sidang. Bagaimana? Dari segi kebaikan, Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan kita. (Ul. 6:4) Dia hanya ada satu piawaian tentang apa yang baik dan apa yang jahat, dan piawaian ini dipatuhi oleh “semua sidang umat suci Tuhan” di seluruh dunia. (1 Kor. 14:33) Sebuah sidang hanya akan makmur jika prinsip-prinsip Tuhan dituruti. Dari segi kedamaian, Raja kita menghendaki kita untuk “berusaha mewujudkan kedamaian,” dan bukan sekadar menikmati suasana damai dalam sidang. (Mat. 5:9) Oleh itu, kita berikhtiar “melakukan perkara yang membawa perdamaian.” Jika ada perselisihan faham, kita akan mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya. (Rm. 14:19) Dengan berbuat demikian, kita menyumbang kepada keamanan dan perpaduan dalam sidang.​—Yes. 60:18.

23. Sebagai hamba Yehuwa, apakah yang sedang kita nikmati hari ini?

23 Semasa aturan penatua diumumkan buat kali pertama pada November 1895 dalam majalah Watch Tower, saudara-saudara yang terlantik juga menyatakan hasrat mereka agar aturan baru ini dapat membantu umat Tuhan “mencapai kesatuan dalam iman dengan secepat yang mungkin.” Ketika kita melihat apa yang berlaku selama ini, jelaslah bahawa Yehuwa telah beransur-ansur memurnikan aturan penatua menerusi Raja kita, dan hal ini sememangnya mengukuhkan perpaduan kita dalam ibadat sejati. (Mzm. 99:4) Hasilnya, umat Yehuwa di serata bumi bersukacita kerana kita “bersatu dalam fikiran,” “berjuang dengan sehati sejiwa,” dan bersama-sama menyembah “Tuhan kedamaian.”​—Baca Filipi 1:27; 2 Kor. 12:18.

a Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam buku rujukan Aid to Bible Understanding.

b Lihat rencana “Para Penatua​—‘Rakan Sekerja bagi Sukacita Kita’” dalam majalah pembelajaran 15 Januari 2013, muka surat 27-31.