Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
‘Kamu sepatutnya menjadi guru.’ (Ibr. 5:12) Yehuwa ialah Guru yang paling unggul di alam semesta. Namun, Dia menjemput kita untuk mengajarkan kebenaran tentang-Nya dalam keluarga, sidang, dan kawasan penyebaran. Tidakkah kita tersentuh kerana diberi penghormatan yang begitu besar? Namun, bagaimanakah kita dapat melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dengan baik?
Kuncinya terkandung dalam kata-kata Paulus kepada Timotius: “Teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum, memberikan nasihat, dan mengajar.” Paulus menambah, “Dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.” (1 Tim. 4:13, 16) Mesej anda dapat menyelamatkan orang, maka anda perlu meningkatkan kemahiran membaca dan mengajar. Brosur ini akan membantu anda berbuat demikian. Sesetengah cirinya termasuk:
Ayat Bible pada setiap muka surat yang merupakan prinsip atau contoh bagi nombor pelajaran yang dikaji
Yehuwa ialah “Pendidik Agung” kita. (Yes. 30:20) Brosur ini akan membantu meningkatkan kebolehan anda sebagai pembaca dan pengajar, tetapi jangan sekali-kali lupa bahawa Yehuwa ialah Sumber berita yang kita sebarkan, dan Dialah yang memimpin orang kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Maka, berdoalah sentiasa untuk meminta kuasa suci-Nya. Gunakan Bible secara kerap, dan halakan perhatian orang kepada Yehuwa, bukan diri sendiri. Bantulah pendengar anda memupuk kasih yang mendalam terhadap-Nya.
Anda telah dijemput untuk mengajarkan mesej yang terpenting bagi manusia. Kami yakin bahawa anda pasti berjaya jika anda “bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Tuhan.”—1 Ptr. 4:11.
Yang mengajar bersama anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa