PELAJARAN 52
Mengapakah Pakaian dan Dandanan Kita Penting?
Dalam soal pemakaian dan dandanan, kita semua ada cita rasa dan gaya sendiri. Tapi Bible ada beberapa nasihat yang dapat membantu kita membuat pilihan yang menyenangkan hati Yehuwa. Mari kita kaji beberapa prinsip berikut.
1. Apakah prinsip-prinsip yang dapat membantu kita membuat pilihan?
Bible kata bahawa pakaian kita haruslah ‘sopan, sederhana, mencerminkan fikiran yang sihat,’ dan sesuai bagi orang yang mengaku diri “sebagai penyembah Tuhan.” (1 Timotius 2:9, 10) Mari kita lihat empat prinsip daripada ayat ini. (1) Seperti yang anda perhatikan di perjumpaan, kita masing-masing mempunyai cita rasa yang berbeza. Tetapi kita memastikan pakaian dan gaya rambut kita adalah “sopan” dan menunjukkan hormat kepada Tuhan Yehuwa. (2) Penampilan yang “sederhana” bererti kita mengelakkan cara pemakaian atau gaya rambut yang keterlaluan, menjolok mata, atau yang sangat menarik perhatian kepada diri sendiri. (3) Jika kita mempunyai “fikiran yang sihat,” kita tidak akan terikut-ikut dengan setiap gaya atau fesyen yang popular. (4) “Sebagai penyembah Tuhan,” kita mahu memastikan penampilan kita sentiasa memuliakan-Nya. Dengan demikian, orang akan melihat bahawa kita menyembah satu-satunya Tuhan yang benar.—1 Korintus 10:31.
2. Mengapakah penting untuk memikirkan perasaan rakan seiman?
Walaupun kita bebas memilih pakaian dan dandanan, kita mahu mempertimbangkan perasaan orang lain dan tidak menyebabkan mereka tersinggung. Kita ingin berusaha “menyenangkan hati orang lain demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.”—Baca Roma 15:1, 2.
3. Apakah manfaat penampilan yang baik terhadap mesej Bible?
Kita menyebarkan berita baik daripada Bible kepada orang. Jadi cara kita berpakaian dapat mempengaruhi pandangan orang terhadap mesej kita. Terutamanya semasa menjalankan aktiviti rohani seperti menghadiri perjumpaan atau pergi menginjil, kita harus memastikan penampilan kita tidak menyebabkan orang tersimpang daripada mesej Bible. Sebaliknya, kita mahu penampilan kita “menghiasi ajaran Tuhan, Penyelamat kita” agar mereka tertarik kepada haluan kebenaran.—Titus 2:10.
KETAHUILAH
Belajar cara untuk memastikan penampilan kita sesuai bagi orang Kristian sejati.
4. Penampilan yang baik menunjukkan hormat kepada Yehuwa
Apakah sebab terpenting kita menjaga penampilan kita? Baca Mazmur 47:2, kemudian bincang soalan berikut:
-
Memandangkan kita mewakili Yehuwa, bagaimanakah hal itu mempengaruhi cara kita berpakaian?
-
Bagi anda, adakah penting untuk memastikan penampilan kita sesuai semasa menghadiri perjumpaan dan menginjil? Mengapa?
5. Cara memilih pakaian dan dandanan
Pakaian kita tidak perlu mahal tetapi haruslah kemas, bersih, dan sesuai mengikut keadaan. Baca 1 Korintus 10:24 dan 1 Timotius 2:9, 10. Kemudian bincang mengapa kita harus menghindari pakaian yang . . .
-
selekeh atau terlalu kasual.
-
sangat ketat, seksi, atau menjolok mata.
Hari ini, kita tidak perlu mengikut Hukum Musa. Tetapi kita dapat belajar tentang fikiran Tuhan dengan mengkaji hukum itu. Baca Ulangan 22:5, kemudian bincang soalan berikut:
-
Mengapakah kita harus mengelakkan pakaian yang membuat lelaki kelihatan seperti wanita dan wanita seperti lelaki?
Baca 1 Korintus 10:32, 33 dan 1 Yohanes 2:15, 16, kemudian bincang soalan berikut:
-
Mengapakah penting untuk memastikan penampilan kita tidak menyinggung perasaan orang di sidang atau di kawasan kita?
-
Apakah gaya rambut dan pakaian yang popular di kawasan anda?
-
Adakah sesetengah gaya atau fesyen itu tidak sesuai bagi orang Kristian? Mengapa?
ADA ORANG KATA: “Suka hati sayalah mahu pakai apa.”
-
Adakah anda setuju dengan pandangan itu? Mengapa?
RINGKASAN
Jika kita memilih pakaian dan dandanan dengan bijak, kita menunjukkan bahawa kita menghormati Yehuwa dan orang lain.
Ulang Kaji
-
Mengapakah Yehuwa mahu kita memilih pakaian dan dandanan dengan bijak?
-
Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu kita memilih pakaian dan dandanan yang sesuai?
-
Bagaimanakah penampilan kita mempengaruhi pandangan orang terhadap mesej Bible?
JOM BELAJAR
Apakah yang orang fikir tentang anda selepas melihat penampilan anda?
Fikirlah dahulu sebelum bertatu.
“Apakah Pandangan Bible tentang Tatu?” (Rencana di laman web)
Belajar prinsip lain yang dapat membantu anda buat keputusan yang baik.
“Adakah Cara Pemakaian Anda Memuliakan Tuhan?” (Menara Pengawal, September 2016)
Bagaimanakah seorang wanita memupuk pandangan yang seimbang tentang penampilan orang lain?
“Pakaian dan Dandanan Halangan Terbesar Saya” (Sedarlah!, 22 Disember 2003)