Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 10

Ajaran Bible tentang Malaikat

Ajaran Bible tentang Malaikat

1. Mengapakah kita perlu belajar tentang malaikat?

YEHUWA mahu kita mengenali keluarga-Nya. Malaikat ialah ahli keluarga Tuhan, dan Bible mengatakan bahawa mereka ialah “anak Tuhan.” (Ayub 38:7) Apakah tugas malaikat? Bagaimanakah mereka menolong orang pada zaman dahulu? Dapatkah mereka menolong kita pada hari ini?​—Lihat Penjelasan 8.

2. Bagaimanakah malaikat wujud? Berapakah bilangan malaikat?

2 Bagaimanakah malaikat wujud? Kolose 1:16 menjelaskan bahawa selepas Yehuwa menciptakan Yesus, segala sesuatu yang lain di syurga dan di bumi diciptakan, termasuk malaikat. Berapakah bilangan malaikat? Bible mengatakan bahawa terdapat berjuta-juta malaikat.​—Mazmur 103:20; Wahyu 5:11.

3. Apakah yang kita belajar tentang malaikat di Ayub 38:4-7?

3 Bible juga mengajar kita bahawa Yehuwa menciptakan malaikat sebelum Dia menciptakan bumi. Apakah perasaan malaikat semasa melihat bumi? Buku Ayub berkata bahawa mereka sangat gembira. Mereka ahli keluarga yang rapat dan menyembah Yehuwa bersama-sama.​—Ayub 38:4-7.

MALAIKAT MEMBANTU UMAT TUHAN

4. Bagaimanakah kita tahu bahawa malaikat mengambil berat terhadap manusia?

4 Sejak dulu lagi, malaikat mengambil berat terhadap manusia. Mereka ingin tahu bagaimana tujuan Yehuwa bagi bumi dan manusia akan berlaku. (Amsal 8:30, 31; 1 Petrus 1:11, 12) Mereka pasti sangat sedih semasa Adam dan Hawa memberontak. Sekarang mereka tentu lagi sedih kerana kebanyakan orang tidak mahu mematuhi Yehuwa. Tetapi jika ada orang bertaubat dan kembali kepada Tuhan, mereka bersukacita. (Lukas 15:10) Malaikat bersedia menolong orang yang menyembah Tuhan. Mari kita lihat bagaimana Yehuwa pernah mengutus mereka untuk membantu dan melindungi hamba-Nya di bumi.​—Ibrani 1:7, 14.

“Tuhan hamba telah mengutus malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu.”​—Daniel 6:22

5. Bagaimanakah malaikat membantu hamba Tuhan pada zaman dahulu?

5 Yehuwa menghantar dua malaikat untuk menyelamatkan Lot dan keluarganya semasa kota Sodom dan Gomora dimusnahkan. (Kejadian 19:15, 16) Ratusan tahun kemudian, semasa Nabi Daniel dibuang ke dalam gua singa, dia tidak dicederakan, kerana Tuhan “mengutus malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu.” (Daniel 6:22) Ketika Rasul Petrus dipenjarakan, Yehuwa menghantar malaikat untuk membebaskan dia. (Kisah 12:6-11) Malaikat juga membantu Yesus semasa dia di bumi. Contohnya, selepas Yesus dibaptis, “malaikat datang untuk melayaninya.” (Markus 1:13) Tidak lama sebelum Yesus dibunuh, satu malaikat telah “menguatkannya.”​—Lukas 22:43.

6. (a) Bagaimanakah kita tahu malaikat masih menolong umat Tuhan hari ini? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang?

6 Hari ini, malaikat tidak lagi muncul di depan manusia. Tetapi Tuhan masih menggunakan mereka untuk menolong hamba-hamba-Nya. Bible berkata, “Malaikat Yehuwa melindungi orang yang takut akan Tuhan, dan dia menyelamatkan mereka.” (Mazmur 34:7) Mengapakah kita perlu dilindungi? Kerana terdapat musuh kuat yang ingin menyerang kita. Siapakah mereka? Mereka berasal dari mana? Bagaimanakah mereka menyerang kita? Untuk menjawab soalan-soalan itu, mari kita lihat apa yang berlaku tidak lama selepas Adam dan Hawa diciptakan.

MUSUH YANG TIDAK KELIHATAN

7. Syaitan berjaya melakukan apa?

7 Dalam Bab 3, kita belajar bahawa ada satu malaikat yang memberontak terhadap Tuhan dan mahu memerintah makhluk lain. Bible memanggilnya Syaitan Si Iblis. (Wahyu 12:9) Syaitan juga mahu manusia melawan Tuhan. Dahulu dia berjaya menyesatkan Hawa, dan sampai hari ini, kebanyakan orang disesatkannya. Tetapi sesetengah manusia seperti Habel, Henokh, dan Nuh, tetap setia kepada Yehuwa.​—Ibrani 11:4, 5, 7.

8. (a) Bagaimanakah sebilangan malaikat menjadi roh jahat? (b) Apakah yang dilakukan roh-roh jahat supaya tidak mati semasa Banjir?

8 Pada zaman Nuh, sebilangan malaikat memberontak terhadap Tuhan. Mereka meninggalkan syurga dan hidup sebagai manusia di bumi. Mengapa? Bible mengatakan bahawa mereka mahu berkahwin. (Baca Kejadian 6:2.) Tetapi perbuatan itu salah. (Yudas 6) Kebanyakan manusia zaman itu juga sangat jahat dan ganas. Maka Yehuwa membanjiri seluruh bumi untuk memusnahkan orang jahat. Tetapi Dia menyelamatkan hamba-hamba-Nya. (Kejadian 7:17, 23) Semasa Banjir, malaikat-malaikat jahat itu kembali ke syurga agar mereka tidak mati. Bible memanggil mereka roh-roh jahat. Mereka menyokong pemberontakan Syaitan, dan dia ialah ketua mereka.​—Matius 9:34.

9. (a) Apakah yang terjadi kepada roh-roh jahat selepas mereka kembali ke syurga? (b) Apakah yang akan kita belajar seterusnya?

9 Roh-roh jahat itu telah memberontak, maka Yehuwa tidak menerima mereka sebagai keluarga-Nya lagi. (2 Petrus 2:4) Mereka tidak lagi dapat menjelma sebagai manusia, tetapi mereka masih “menyesatkan seluruh dunia.” (Wahyu 12:9; 1 Yohanes 5:19) Mari kita lihat bagaimana mereka berjaya menyesatkan begitu banyak orang.​—Baca 2 Korintus 2:11.

BAGAIMANA ROH JAHAT MENYESATKAN ORANG

10. Bagaimanakah roh-roh jahat menyesatkan orang?

10 Roh-roh jahat menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan orang. Ramai orang menghubungi roh jahat secara langsung atau melalui orang lain, seperti bomoh atau dukun. Perbuatan ini dipanggil ilmu sihir atau spiritisme. Tetapi Bible menyuruh kita menjauhi apa sahaja yang ada kaitan dengan roh-roh jahat. (Galatia 5:19-21) Mengapa? Seperti pemburu yang menggunakan jerat untuk menangkap binatang, roh-roh jahat menggunakan ilmu sihir sebagai perangkap untuk mengawal orang.​—Lihat Penjelasan 26.

11. Bagaimanakah orang meramal masa depan? Mengapakah kita harus mengelakkan perbuatan sebegitu?

11 Salah satu cara roh-roh jahat menyesatkan orang adalah melalui ilmu ramal. Orang yang menggunakan ilmu ramal mungkin membaca bola kristal, kad tarot, dan tapak tangan untuk meramal masa depan. Mereka juga mungkin melihat bintang, mencari petanda, atau menggunakan kuasa ghaib. Ramai orang berfikir bahawa semua itu tidak berbahaya, tetapi fikiran itu salah. Bible berkata bahawa tukang tilik bekerjasama dengan roh jahat. Contohnya, Kisah 16:16-18 menceritakan bagaimana satu “roh jahat” membantu seorang perempuan “meramalkan masa depan.” Selepas Rasul Paulus mengusir roh jahat itu, perempuan tersebut hilang kebolehannya.

12. (a) Mengapakah berbahaya untuk menghubungi orang mati? (b) Mengapakah hamba-hamba Tuhan tidak mengikut upacara kematian tertentu?

12 Satu lagi cara roh-roh jahat menyesatkan orang adalah dengan membuat kita percaya bahawa kita dapat bercakap dengan orang mati. Mereka mahu kita berfikir bahawa orang mati sedang hidup di tempat lain dan dapat mencederakan kita. Ramai orang mencari bomoh untuk menghubungi kawan atau saudara-mara mereka yang sudah mati. Bomoh tersebut mungkin dapat menceritakan sesuatu tentang si mati dan bahkan meniru suaranya. (1 Samuel 28:3-19) Kita mungkin berasa bahawa kita sedang bercakap kepada orang mati itu, tetapi kita sebenarnya sedang berhubung dengan roh jahat. Terdapat banyak upacara pengebumian yang berkaitan dengan kepercayaan bahawa orang mati masih hidup. Contohnya, amalan mengira hari untuk berkabung, menjaga mayat, menyediakan makanan untuk orang mati, dan pantang larang lain. Apabila orang Kristian tidak mengikut upacara sebegini, keluarga mereka, orang di kampung, atau orang lain, mungkin marah dan menghina mereka, atau memutuskan hubungan dengan mereka. Tetapi orang Kristian tahu bahawa orang mati tidak wujud lagi. Kita tidak mungkin dapat menghubungi mereka, dan mereka tidak dapat mencederakan kita. (Mazmur 115:17) Maka berhati-hatilah. Jangan cuba menghubungi orang mati atau roh jahat, dan jangan mengikut upacara yang ada sangkut paut dengan roh jahat.​—Baca Ulangan 18:10, 11; Yesaya 8:19.

13. Ribuan orang yang dahulunya takut akan roh jahat kini berjaya melakukan apa?

13 Roh-roh jahat bukan sahaja menyesatkan orang, malah menakutkan orang. Syaitan dan roh-roh jahat tahu bahawa Tuhan akan menghukum mereka tidak lama lagi, maka mereka semakin ganas. (Wahyu 12:12, 17) Namun, ribuan orang yang pernah takut akan roh jahat kini tidak takut lagi. Apakah yang dilakukan mereka?

LAWANLAH ROH JAHAT DAN BEBASKANLAH DIRI

14. Seperti orang Kristian zaman dahulu, bagaimanakah kita dapat membebaskan diri daripada roh jahat?

14 Bible mengajar kita cara untuk melawan roh jahat dan membebaskan diri daripada mereka. Sesetengah orang di kota Efesus berhubung dengan roh jahat sebelum mempelajari kebenaran. Bagaimanakah mereka membebaskan diri? Bible berkata, “Sebilangan besar orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakarnya di hadapan semua orang.” (Kisah 19:19) Ya, mereka memusnahkan semua buku sihir agar dapat menjadi orang Kristian. Hari ini, terdapat buku, majalah, horoskop, wayang, muzik, permainan, dan poster yang membuat ilmu sihir, roh jahat, atau kuasa ghaib kelihatan menarik dan tidak berbahaya. Benda-benda sebegitu berkaitan dengan roh jahat, maka sesiapa yang ingin menyembah Yehuwa mesti membuang semua benda itu. Mereka juga perlu membuang tangkal atau azimat yang dikatakan dapat melindungi seseorang.​—1 Korintus 10:21.

15. Apakah hal lain yang perlu kita lakukan untuk melawan Syaitan dan roh jahat?

15 Beberapa tahun selepas orang Kristian di Efesus memusnahkan buku sihir mereka, Rasul Paulus menulis bahawa mereka masih perlu “bergelut” dan “melawan roh-roh jahat.” (Efesus 6:12) Walaupun semua buku sihir mereka sudah dibakar, roh-roh jahat masih ingin mengganggu mereka. Apakah yang perlu dilakukan? Paulus menulis, “Hendaklah kamu sentiasa menggunakan perisai besar iman, supaya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.” (Efesus 6:16) Seperti perisai yang melindungi askar, iman dapat melindungi kita. Jika kita yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa dapat melindungi kita, kita dapat melawan Syaitan dan roh-roh jahat.​—Matius 17:20.

16. Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kepada Yehuwa?

16 Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kepada Yehuwa? Kita perlu membaca Bible tiap-tiap hari dan bergantung pada perlindungan Tuhan. Jika kita ada keyakinan yang kuat kepada Yehuwa, Syaitan dan roh-roh jahat tidak dapat mencederakan kita.​—1 Yohanes 5:5.

17. Apakah hal lain yang perlu kita buat untuk dilindungi daripada roh jahat?

17 Apakah hal lain yang perlu dilakukan oleh orang Kristian di Efesus? Kota mereka penuh dengan amalan sihir, jadi Paulus memberitahu mereka, “Teruslah berdoa pada setiap kesempatan.” (Efesus 6:18) Mereka perlu meminta agar Yehuwa selalu melindungi mereka. Kita juga hidup dalam dunia yang penuh dengan ilmu ghaib, jadi kita pun perlu meminta Yehuwa untuk melindungi kita, dan kita perlu menggunakan nama-Nya semasa berdoa. (Baca Amsal 18:10.) Jika kita terus meminta Yehuwa untuk menyelamatkan kita daripada Syaitan, Yehuwa akan menjawab doa kita.​—Mazmur 145:19; Matius 6:13.

18, 19. (a) Bagaimanakah kita dapat berjaya melawan Syaitan dan roh-roh jahat? (b) Soalan apakah yang akan dijawab dalam bab seterusnya?

18 Jika kita membuang semua benda kita yang ada kaitan dengan roh jahat dan meminta perlindungan Yehuwa, kita dapat melawan Syaitan dan roh-roh jahat dan tidak perlu takut akan mereka. (Baca Yakobus 4:7, 8.) Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada roh jahat. Dia pernah menghukum mereka pada zaman Nuh, dan Dia akan melenyapkan mereka pada masa depan. (Yudas 6) Ingatlah, kita tidak perlu melawan mereka seorang diri, kerana Yehuwa akan menggunakan malaikat-Nya untuk membantu kita. (2 Raja-Raja 6:15-17) Dengan bantuan Yehuwa, kita pasti akan berjaya melawan Syaitan dan roh-roh jahat.​—1 Petrus 5:6, 7; 2 Petrus 2:9.

19 Syaitan dan roh-roh jahat menimbulkan begitu banyak masalah, tetapi mengapakah Tuhan belum melenyapkan mereka? Soalan ini akan dijawab dalam bab seterusnya.