BAB 89
Mengajar di Perea semasa dalam Perjalanan ke Yudea
-
JANGAN MEMBUAT ORANG LAIN TERSANDUNG
-
MENGAMPUNI ORANG DAN MENUNJUKKAN IMAN
Setelah Yesus menghabiskan beberapa waktu untuk menginjil di Perea, di “seberang Sungai Yordan,” dia bertolak ke Yerusalem.—Yohanes 10:40.
Dia disertai pengikutnya dan “sekumpulan besar orang,” termasuk pemungut cukai dan pendosa. (Lukas 14:25; 15:1) Orang Farisi dan para jurutulis hukum juga ada bersamanya. Ada banyak yang perlu difikirkan oleh mereka selepas mereka mendengar perumpamaan Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus, bebiri yang hilang, dan anak yang sesat.—Lukas 15:2; 16:14.
Yesus mungkin sedang berfikir tentang kritikan dan cemuhan para penentangnya. Maka dia mengulangi beberapa ajaran yang pernah disampaikannya di Galilea.
Dia berkata, ‘Hal-hal yang menyebabkan orang tersandung pasti akan datang. Tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku! Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia, dan jika dia bertaubat, maafkanlah dia. Meskipun dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan kembali kepada kamu tujuh kali lalu berkata, “Aku menyesal,” kamu mesti memaafkan dia.’ (Lukas 17:1-4) Kata-kata ini mungkin mengingatkan Petrus tentang soalannya berkenaan mengampuni orang sehingga tujuh kali.—Matius 18:21.
Dapatkah murid-murid Yesus melakukan hal ini? Apabila mereka berkata kepada Yesus, “Berilah kami lebih banyak iman,” dia meyakinkan mereka, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok kertau ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut!’ dan pokok itu akan menurut perintah kamu.” (Lukas 17:5, 6) Ya, iman yang kecil pun dapat menjayakan hal-hal yang besar!
Kemudian Yesus menyebut tentang pentingnya bersikap rendah hati dan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri. Dia berkata, “Katakan kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menjaga ternakan. Setelah hamba itu pulang dari ladang, siapakah antara kamu yang akan berkata kepadanya, ‘Cepatlah datang dan makanlah di meja’? Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Sediakanlah makan malam aku dan pakailah apron lalu layanilah aku sehingga aku habis makan dan minum. Selepas itu, barulah kamu boleh makan dan minum.’ Memandangkan apa yang dilakukan oleh hamba itu merupakan kewajipannya, tuannya tidak akan mengucapkan terima kasih kepadanya. Dalam cara yang sama, selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’”—Lukas 17:7-10.
Kita patut mengutamakan kehendak Tuhan. Kita juga patut ingat bahawa menyembah Tuhan dan menjadi sebahagian daripada keluarga rohani-Nya ialah penghormatan yang besar.
Kemudian seorang utusan daripada Marta dan Maria datang kepada Yesus. Utusan itu berkata, “Tuan, sahabat kesayangan Tuan sakit.”—Yohanes 11:1-3.
Semasa Yesus mendengar hal itu, dia sedih, tetapi dia berkata, “Penyakit ini bukanlah untuk menyebabkan kematiannya, tetapi supaya Tuhan dimuliakan. Melalui hal ini, Anak Tuhan akan dimuliakan.” Dia tinggal di Perea selama dua hari lagi. Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Mari kita kembali ke Yudea.” Mereka berkata, “Rabbi, baru-baru ini orang Yudea hendak merejam Rabbi. Adakah Rabbi ingin pergi ke sana lagi?”—Yohanes 11:4, 7, 8.
Yesus menjawab, “Bukankah siang hari ada 12 jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya dunia ini. Tetapi orang yang berjalan pada malam Yohanes 11:9, 10) Yesus sedang memberitahu mereka bahawa masanya untuk mati belum tiba, maka dia masih perlu meneruskan kerja penyebarannya.
hari akan tersandung, kerana cahaya tidak ada dalam dirinya.” (Yesus menyambung, “Kawan kita Lazarus sudah tidur. Tetapi aku akan pergi ke sana untuk membangunkan dia.” Murid-muridnya berkata, “Tuan, jika dia sedang tidur, dia akan sembuh.” Yesus tahu bahawa mereka salah faham, maka dia berkata, ‘Lazarus sudah mati. Marilah kita pergi kepadanya.’—Yohanes 11:11-15.
Tomas tahu bahawa Yesus mungkin akan dibunuh di Yudea, tetapi dia masih ingin pergi bersama Yesus. Oleh itu, dia berkata kepada murid-murid yang lain, “Mari kita pergi dengannya supaya kita boleh mati bersama-samanya!”—Yohanes 11:16.