Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 137

Ratusan Orang Nampak Yesus Sebelum Pentakosta

Ratusan Orang Nampak Yesus Sebelum Pentakosta

MATIUS 28:16-20 LUKAS 24:50-52 KISAH 1:1-12; 2:1-4

  • YESUS MENAMPAKKAN DIRI KEPADA BANYAK ORANG

  • DIA DIANGKAT KE LANGIT

  • KUASA SUCI TUHAN DICURAHKAN KE ATAS 120 ORANG

Selepas Yesus dibangkitkan, dia menyuruh 11 orang rasulnya untuk berjumpa dengannya di sebuah gunung di Galilea. Kira-kira 500 orang pengikutnya yang lain juga ada di situ, meskipun ada dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. (Matius 28:17; 1 Korintus 15:6) Tetapi sekarang Yesus akan meyakinkan mereka bahawa dia telah dibangkitkan.

Dia menjelaskan bahawa Tuhan telah memberinya kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi. Maka dia menyuruh mereka, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Matius 28:18-20) Ya, Yesus telah dibangkitkan dan dia mahu berita baik dikhabarkan.

Semua pengikut Yesus menerima tugas yang sama, iaitu menjadikan orang muridnya. Ada orang akan mencuba menghalang usaha mereka, tetapi Yesus memberikan jaminan berikut: “Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.” Bagaimanakah hal ini dapat membantu pengikutnya? Dia berkata, “Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” Hal ini tidak bererti bahawa mereka akan diberi kuasa untuk melakukan mukjizat. Sebaliknya mereka akan dibantu oleh kuasa suci Tuhan.

Selepas Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada pengikutnya “selama 40 hari.” Dia muncul dalam kalangan mereka dan ‘memberi mereka banyak bukti untuk menunjukkan bahawa dia sudah hidup.’ Dia juga mengajar mereka “tentang Kerajaan Tuhan.”​—Kisah 1:3; 1 Korintus 15:7.

Nampaknya semasa para rasul berada di Galilea, Yesus menyuruh mereka untuk pulang ke Yerusalem. Semasa dia berjumpa dengan mereka di situ, dia berkata, “Jangan tinggalkan Yerusalem, tetapi teruslah menantikan pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa, iaitu pemberian yang pernah kamu dengar daripadaku, kerana Yohanes membaptis dengan air, tetapi dalam beberapa hari lagi, kamu semua akan dibaptis dengan kuasa suci Tuhan.”​—Kisah 1:4, 5.

Kemudian Yesus berjumpa lagi dengan para rasul. Dia “membawa mereka ke Betania.” (Lukas 24:50) Meskipun Yesus telah memberitahu mereka tentang pemergiannya, mereka masih percaya bahawa Kerajaannya akan didirikan di bumi.​—Lukas 22:16, 18, 30; Yohanes 14:2, 3.

Mereka bertanya, “Tuan, adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?” Dia menjawab, “Hanya Bapa yang berhak menentukan masa dan waktunya. Kamu tidak perlu mengetahuinya.” Kemudian, dia menegaskan sekali lagi, “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.”​—Kisah 1:6-8.

Para rasul berada di Gunung Zaitun bersama Yesus apabila dia diangkat ke langit. Kemudian sekepul awan menutupinya dan mereka tidak dapat melihatnya lagi. Selepas Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada orang dalam tubuh darah daging. Tetapi sekarang dia diangkat ke langit sebagai makhluk roh. (1 Korintus 15:44, 50; 1 Petrus 3:18) Semasa mereka memandang Yesus diangkat ke langit, ada “dua orang yang berpakaian putih” berdiri di sisi mereka dan berkata, “Orang Galilea, mengapakah kamu berdiri sambil memandang ke langit? Yesus, yang telah diangkat ke langit, akan datang dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat semasa dia naik ke langit.”​—Kisah 1:10, 11.

Apakah maksud ungkapan ‘Yesus akan datang dengan cara yang sama’? Hanya pengikut Yesus yang setia nampak dia diangkat ke langit. Begitu juga, hanya pengikutnya yang setia akan nampak kedatangannya sebagai raja.

Kemudian para rasul pergi ke Yerusalem. Pada hari-hari yang berikutnya, mereka berkumpul dengan pengikut Yesus yang lain, termasuk “adik-adik lelaki Yesus, dan Maria ibu Yesus.” (Kisah 1:14) Mereka semua berdoa dengan tekun. Salah satu hal yang didoakan oleh mereka ialah pemilihan seorang rasul baharu untuk menggantikan Yudas Iskariot. (Matius 19:28) Mereka ingin mencari seorang pengikut yang telah menyaksikan semua perbuatan Yesus dan pembangkitannya. Mereka membuang undi untuk mengetahui kehendak Tuhan, dan inilah kali terakhir Bible menyebut tentang amalan membuang undi. (Mazmur 109:8; Amsal 16:33) Akhirnya Matias dipilih untuk “menyertai 11 orang rasul yang lain.” (Kisah 1:26) Matias mungkin merupakan salah seorang daripada 70 orang pengikut Yesus yang diutus untuk menginjil.

Sepuluh hari selepas Yesus diangkat ke langit, Perayaan Pentakosta tahun 33 M diadakan. Kira-kira 120 orang pengikut Yesus berkumpul di dalam sebuah bilik tingkat atas di Yerusalem. Tiba-tiba kedengaran bunyi tiupan angin kencang. Bunyi itu memenuhi seluruh rumah. Selepas itu, mereka melihat sesuatu seperti lidah-lidah api hinggap di atas kepala setiap orang. Mereka semua mula bercakap dalam pelbagai bahasa. Demikianlah mereka menerima kuasa suci Tuhan seperti yang dijanjikan oleh Yesus.​—Yohanes 14:26.