BAB 133
Yesus Dimakamkan
MATIUS 27:57–28:2 MARKUS 15:42–16:4 LUKAS 23:50–24:3 YOHANES 19:31–20:1
-
MAYAT YESUS DITURUNKAN DARI TIANG
-
MAYATNYA DIBALUT
-
WANITA MENDAPATI MAKAM YESUS KOSONG
Sekarang ialah lewat petang hari Jumaat, 14 Nisan. Apabila matahari terbenam, hari Sabat akan bermula. Yesus sudah mati, tetapi dua orang perompak yang digantung di sebelahnya masih hidup. Menurut Hukum Musa, mayat “tidak boleh dibiarkan tergantung pada tiang sehingga keesokan harinya” dan “harus dikebumikan pada hari itu juga.”—Ulangan 21:22, 23.
Hari Jumaat ialah “hari Persiapan” kerana orang Yahudi harus menyediakan makanan dan menyiapkan hal-hal lain sebelum hari Sabat bermula. Apabila matahari terbenam, “hari Sabat yang istimewa” akan bermula. (Yohanes 19:31) Selalunya hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi akan menjadi hari Sabat, tidak kira sama ada hari itu jatuh pada hari Sabat mingguan atau tidak. (Imamat 23:5, 6) Tetapi pada tahun ini, hari pertama perayaan itu jatuh pada hari Sabat mingguan. Oleh itu, hari Sabat itu dipanggil “hari Sabat yang istimewa.”
Maka orang Yahudi meminta Pilatus untuk mematahkan kaki Yesus dan dua orang perompak itu agar mereka tidak dapat bernafas dan mati dengan lebih cepat. Tetapi kaki Yesus tidak dipatahkan kerana nampaknya dia sudah mati. Dengan demikian, Mazmur 34:20 menjadi kenyataan: “Tuhan memelihara semua tulangnya; tidak ada satu pun daripada tulangnya yang dipatahkan.”
Untuk memastikan bahawa Yesus sudah mati, seorang askar menusukkan tombaknya ke bahagian Yohanes 19:34) Dengan demikian, satu lagi nubuat menjadi kenyataan: “Mereka akan memandang orang yang ditusuk oleh mereka.”—Zakharia 12:10.
rusuk Yesus, dan “pada saat itu juga darah dan air keluar.” (Yusuf dari Arimatea, iaitu “seorang lelaki kaya” dan ahli Majlis Orang Yahudi yang dihormati, juga hadir semasa Yesus dipakukan. (Matius 27:57) Dia “baik dan melakukan apa yang benar,” dan dia juga sedang “menantikan Kerajaan Tuhan.” Sebenarnya Yusuf ialah “murid Yesus” tetapi dia merahsiakan hal itu kerana dia “takut akan orang Yahudi.” Meskipun demikian, dia tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah untuk membunuh Yesus. (Lukas 23:50; Markus 15:43; Yohanes 19:38) Tetapi sekarang dengan berani, dia meminta kebenaran Pilatus untuk mengambil mayat Yesus. Setelah Pilatus mengesahkan bahawa Yesus sudah mati, dia menunaikan permintaan Yusuf.
Yusuf menurunkan mayat Yesus dan membalutnya dengan kain linen bermutu tinggi yang telah dibelinya sebelum ini. Nikodemus, “yang dahulunya pernah datang kepada Yesus pada waktu malam,” juga datang untuk membantunya. (Yohanes 19:39) Dia membawa kira-kira 30 kilogram campuran mur dan gaharu. Kemudian mereka membalut mayat Yesus dengan kain linen dan campuran ini menurut adat pengebumian orang Yahudi.
Yusuf mempunyai sebuah makam baharu, dan mayat Yesus diletakkan di dalamnya. Selepas itu, pintu makam itu ditutup dengan sebuah batu yang besar. Semua ini dilakukan dengan cepat kerana Sabat hampir bermula. Barangkali Maria Magdalena dan Maria, iaitu ibu Yakobus Kecil, telah membantu menyediakan mayat Yesus untuk dimakamkan. Sekarang mereka bergegas pulang “untuk menyediakan bahan-bahan harum dan minyak wangi.” Mereka akan kembali selepas hari Sabat untuk melumuri mayat Yesus dengan bahan-bahan itu.—Lukas 23:56.
Pada hari Sabat, para ketua imam dan orang Farisi pergi kepada Pilatus dan berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia berkata, ‘Selepas tiga hari, aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu perintahkanlah agar kubur itu dikawal ketat sehingga hari ketiga supaya murid-muridnya tidak dapat mencuri mayatnya lalu berkata kepada orang, ‘Dia telah dibangkitkan daripada kematian!’ Jika begitu, dusta terakhir ini akan menjadi lebih teruk daripada dusta yang pertama.” Pilatus menjawab, “Hantarlah askar ke situ, dan kawallah tempat itu dengan ketat.”—Matius 27:63-65.
Pada awal pagi hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria, iaitu ibu Yakobus, bersama wanita-wanita lain, membawa bahan-bahan wangi ke makam Yesus untuk melumuri mayatnya. Mereka berkata, “Siapakah yang akan menggulingkan batu penutup makam ke tepi untuk kita?” (Markus 16:3) Tetapi sebelum ini, gempa bumi telah berlaku, dan malaikat Tuhan telah menggulingkan batu penutup makam itu ke tepi. Askar-askar yang berkawal di situ juga telah melarikan diri. Maka apabila mereka tiba di situ, mereka nampak pintu makam itu sudah terbuka, dan mayat Yesus sudah hilang!