Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 66

Menyambut Perayaan Pondok Daun di Yerusalem

Menyambut Perayaan Pondok Daun di Yerusalem

YOHANES 7:11-32

  • YESUS MENGAJAR DI RUMAH TUHAN

Sejak Yesus dibaptis, dia telah melakukan banyak mukjizat. Beribu-ribu orang Yahudi telah melihat dan mendengar tentang hal ini, maka ramai orang mencarinya di Yerusalem semasa Perayaan Pondok Daun.

Mereka mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang Yesus. Ada yang berkata, “Dia lelaki yang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang ramai.” (Yohanes 7:12) Mereka berbisik-bisik tentang Yesus semasa perayaan itu. Tetapi tiada orang yang berani mempertahankan dia di khalayak ramai kerana mereka takut kepada para pemimpin agama orang Yahudi.

Beberapa hari selepas perayaan itu bermula, Yesus pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar orang. Ramai orang kagum dengan cara dia mengajar dan mereka berkata, “Bagaimanakah lelaki ini mempunyai begitu banyak pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci sedangkan dia tidak pernah belajar di sekolah agama?”​—Yohanes 7:15.

Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku. Sesiapa yang berhasrat untuk melakukan kehendak-Nya akan tahu sama ada ajaranku datang daripada Tuhan atau daripada diriku sendiri.” (Yohanes 7:16, 17) Ajaran Yesus selaras dengan Hukum Tuhan, maka jelaslah bahawa dia memuliakan Tuhan, dan bukan dirinya sendiri.

Kemudian Yesus berkata, “Musa telah memberikan Hukum kepada kamu, bukan? Namun, tiada seorang pun antara kamu yang mematuhi Hukum itu. Mengapakah kamu mahu membunuh aku?” Segelintir orang di situ mungkin pelawat dari tempat lain. Mereka tidak percaya bahawa ada orang yang mahu membunuh Yesus kerana dia seorang guru yang baik. Maka mereka berkata, “Kamu dirasuk roh jahat. Siapakah yang mahu membunuh kamu?”​—Yohanes 7:19, 20.

Sebenarnya, para pemimpin orang Yahudi mula berkomplot untuk membunuh Yesus sejak satu tahun setengah yang lalu kerana dia menyembuhkan seorang lelaki pada hari Sabat. Sekarang Yesus ingin mendedahkan fikiran mereka yang tidak munasabah itu. Dia merujuk kepada Hukum Musa yang menyatakan bahawa seorang bayi lelaki boleh disunat pada hari Sabat. Dia berkata, “Jika seorang lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya dia tidak melanggar Hukum Musa, mengapakah kamu naik berang terhadap aku kerana aku menjadikan seorang lelaki sihat sepenuhnya pada hari Sabat? Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.”​—Yohanes 7:23, 24.

Penduduk Yerusalem yang tahu tentang hal ini berkata, “Bukankah dia lelaki yang sedang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? Lihatlah! Dia sedang bercakap di hadapan umum, tetapi mereka tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah para penguasa sudah yakin bahawa dia ialah Kristus?” Orang ramai tidak percaya bahawa Yesus ialah Kristus. Mereka berkata, “Kita tahu asal usul lelaki ini, tetapi apabila Kristus datang, tiada orang yang akan tahu asal usulnya.”​—Yohanes 7:25-27.

Yesus segera memberitahu mereka, “Kamu mengenal aku dan mengetahui asal usulku. Aku tidak datang menurut kehendakku. Dia yang mengutus aku benar-benar wujud, tetapi kamu tidak mengenal Dia. Aku mengenal Dia kerana aku ialah wakil-Nya, dan Dialah yang mengutus aku.” (Yohanes 7:28, 29) Maka mereka mencari peluang untuk menangkap Yesus untuk memenjarakannya atau membunuhnya, tetapi mereka tidak berjaya kerana belum tiba masanya bagi Yesus untuk mati.

Meskipun begitu, ramai orang masih beriman kepada Yesus kerana mereka tahu bahawa Yesus telah berjalan di atas air, meredakan ribut, memberikan makanan kepada ribuan orang, menyembuhkan orang yang sakit, tempang, dan buta, menyembuhkan pesakit kusta, dan bahkan membangkitkan orang mati. Jadi mereka bertanya, “Apabila Kristus datang, dapatkah dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada lelaki ini?”​—Yohanes 7:31.

Apabila orang Farisi mendengar orang ramai berkata demikian, mereka dan ketua-ketua imam menghantar para pengawal untuk menangkap Yesus.