Harapan—Bermanfaat atau Tidak?
Harapan—Bermanfaat atau Tidak?
DANIEL yang berumur 10 tahun telah menghidap kanser selama satu tahun. Doktor-doktornya kata Daniel tiada harapan untuk sembuh tetapi Daniel tidak berputus asa. Dia yakin bahawa dia akan sembuh, menjadi dewasa, dan mencapai cita-citanya untuk mencari penawar bagi penyakitnya. Daniel juga tidak sabar-sabar untuk jumpa seorang pakar. Daniel percaya bahawa pakar itu dapat mengubatinya. Tetapi pada hari pakar itu sepatutnya datang melawat Daniel, cuaca sangat buruk. Jadi pakar itu terpaksa membatalkan lawatannya. Pada saat itu juga, Daniel patah semangat kerana harapannya tidak kesampaian. Sedihnya, dia meninggal beberapa hari kemudian.
Seorang ahli perubatan menggunakan contoh Daniel untuk melihat kaitan antara harapan dengan kesihatan dan jangka hayat seseorang. Kita mungkin pernah mendengar kisah tentang seorang yang tua dan nazak tetapi dia bertahan sehingga peristiwa tertentu, seperti ulang tahun atau menantikan kedatangan orang tersayang. Sebaik sahaja peristiwa itu berlalu, dia akhirnya meninggal. Adakah harapan betul-betul berkuasa dan dapat mempengaruhi hidup seseorang?
Ramai penyelidik setuju bahawa sikap positif dan harapan dapat membawa kesan yang baik terhadap kesihatan seseorang. Namun ada pula yang tidak setuju dengan hal tersebut. Mereka berkata bahawa pemikiran seseorang tidak mempengaruhi kesihatan fizikalnya.
Pandangan sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak ribuan tahun dahulu, sesetengah orang juga tidak percaya bahawa harapan penting. Sebagai contoh, seorang ahli falsafah iaitu Aristotle berkata, “Harapan hanyalah mimpi kosong.” Benjamin Franklin, seorang ahli politik yang terkenal pula menyatakan, “Orang yang bergantung pada harapan akhirnya akan putus harapan.”
Jadi, apakah kebenaran tentang harapan? Adakah harapan sekadar omong-omong kosong yang direka untuk mendapatkan kelegaan? Atau adakah harapan benar-benar berkuasa dan mampu mengubah hidup seseorang? Adakah kita mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya bahawa harapan dapat membawa manfaat yang berkekalan?