ADAKAH DUNIA SUDAH HILANG KAWALAN?
Apa yang Bible Kata?
KEADAAN dunia yang huru-hara sudah lama dinubuatkan dalam Bible. Tapi Bible juga memberitahu kita bahawa manusia mempunyai masa depan yang cerah. Kita patut beri perhatian kepada kata-kata Bible kerana hal-hal yang dinubuatkan, bahkan perincian yang kecil pun, telah menjadi kenyataan.
Sebagai contoh, mari kita lihat nubuat Bible yang berikut:
“Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.”—Matius 24:7.
“Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, dan menghina Tuhan. Mereka tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia, tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.”—2 Timotius 3:1-4.
Daripada ayat-ayat itu, nampaknya dunia sudah hilang kawalan, dan sebenarnya hal itu benar kerana manusia tidak dapat mengawal apa yang berlaku. Menurut Bible, manusia tidak berdaya dan tidak ada kebijaksanaan untuk membawa perubahan yang berkekalan. Lihatlah apa yang dinyatakan dalam ayat-ayat Bible berikut:
“Ada jalan yang disangka baik oleh seseorang, tetapi akhirnya jalan itu menuju kematian.”—Amsal 14:12.
“Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.”—Pengkhutbah 8:9.
‘Manusia tidak dapat mengarahkan langkahnya.’—Yeremia 10:23.
Jika manusia dibiarkan untuk buat sesuka hati, kemungkinan besar dunia ini akan hancur. Tapi itu tidak akan berlaku! Kenapa? Bible kata:
“[Tuhan] telah mendirikan bumi kukuh pada asasnya; bumi tidak akan bergerak dari tempatnya buat selama-lamanya.”—Mazmur 104:5.
“Satu generasi datang, dan satu generasi pergi, tetapi bumi kekal buat selama-lamanya.”—Pengkhutbah 1:4.
“Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:29.
“Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.”—Mazmur 72:16.
Biarpun Tuhan memberi manusia kebebasan untuk buat keputusan, kita harus bertanggungjawab atas perbuatan kita. (Galatia 6:7) Namun ayat Bible di atas membantu kita faham bahawa manusia tidak akan pupus akibat pencemaran, kekurangan makanan dan air, wabak penyakit, atau bom nuklear. Kenapa kita begitu yakin? Kerana masa depan bumi berada di dalam tangan Tuhan. Bumi kita bukanlah seperti kereta api yang keluar dari landasan dan menuju kebinasaan. Tuhan telah menetapkan batas agar manusia tidak menyebabkan kemusnahan sendiri atau melenyapkan bumi.—Mazmur 83:18; Ibrani 4:13.
Selain itu, Dia berjanji untuk memberi kita “kedamaian yang berlimpah-limpah.” (Mazmur 37:11) Janji ini hanyalah sebahagian kecil daripada berkat yang akan dinikmati pada masa depan. Jutaan Saksi-Saksi Yehuwa telah menaruh harapan pada janji ini setelah mengkaji Bible.
Saksi-Saksi Yehuwa ialah komuniti antarabangsa yang merangkumi orang daripada pelbagai lapisan umur dan budaya. Mereka menyembah Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang benar yang disebut dalam Bible. Mereka tidak terlalu gentar tentang apa yang akan berlaku kepada bumi kerana Bible kata, “Yehuwa ialah Pencipta langit dan Tuhan yang benar. Dia membentuk dan menjadikan bumi serta mengukuhkannya. Dia menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami. Dia berfirman, ‘Akulah Yehuwa, dan tidak ada Tuhan lain kecuali Aku.’”—Yesaya 45:18.
Artikel ini menjelaskan serba sedikit ajaran Bible tentang masa depan bumi dan manusia. Untuk belajar lebih banyak, sila lihat pelajaran 5 brosur Berita Baik daripada Tuhan! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Juga terdapat di www.dan124.com/ms
Anda juga boleh tonton video Mengapakah Tuhan Menciptakan Bumi? di www.dan124.com/ms. (Lihat BAHAN BACAAN > VIDEO)