Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Sesetengah Doa Tidak Dijawab?

Mengapakah Sesetengah Doa Tidak Dijawab?

Tuhan Yehuwa ingin mendengar doa yang diucapkan dengan ikhlas. Tetapi, terdapat beberapa hal yang membuat Tuhan tidak mahu mendengar doa kita. Apakah perkara-perkara itu, dan apakah yang harus kita ingat semasa berdoa? Perhatikan beberapa prinsip Bible berikut.

“Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama.”​—Matius 6:7.

Yehuwa tidak mahu kita mengulangi atau menghafal doa daripada buku doa. Sebaliknya, Dia mahu kita berdoa dari hati. Bayangkan perasaan kawan kita jika kita selalu mengatakan hal yang sama kepadanya setiap hari. Jika kita menganggap orang itu sebagai kawan baik, kita akan meluahkan perasaan kita dari hati. Semasa kita berdoa dari hati, kita sedang menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa benar-benar sahabat dan Bapa kita.

“Meskipun kamu meminta, kamu tidak mendapatnya kerana kamu meminta untuk tujuan yang salah.”​—Yakobus 4:3.

Jika kita berdoa tentang hal-hal yang tidak menyenangkan hati Tuhan, sudah pasti Dia tidak akan mengabulkan doa itu. Contohnya, jika seorang kaki judi berdoa untuk mendapat tuah, adakah Yehuwa akan mengabulkan permintaannya? Tidak, kerana Yehuwa membenci ketamakan dan kepercayaan karut. (Yesaya 65:11; Lukas 12:15) Maka, untuk memastikan doa kita didengari Tuhan, kita mesti berdoa tentang hal-hal yang selaras dengan kehendak-Nya dalam Bible.

“Jika seseorang enggan mendengarkan hukum, doanya akan dianggap sebagai sesuatu yang memuakkan.”​—Amsal 28:9.

Pada zaman Bible, Tuhan tidak menjawab doa orang yang sengaja melanggar perintah-Nya. (Yesaya 1:15, 16) Sampai sekarang pun, perasaan Yehuwa tetap sama. (Maleakhi 3:6) Jika kita mahu Tuhan mendengar doa kita, kita mesti mentaati perintah-Nya. Bagaimana jika kita pernah melakukan hal-hal yang salah? Adakah hal ini bermaksud bahawa Tuhan enggan mendengar doa kita? Tidak. Dia akan mengampunkan dosa kita jika kita bertaubat dan mengubah cara hidup kita.​—Kisah 3:19.