Bilakah Kerajaan Tuhan Akan Memerintah Bumi?
Apabila beberapa orang pengikut Yesus bertanya bila Kerajaan Tuhan akan mula memerintah, Yesus menjawab bahawa mereka tidak akan mengetahui waktunya secara tepat. (Kisah 1:6, 7) Namun, dia pernah berkata bahawa apabila murid-muridnya melihat peristiwa-peristiwa tertentu berlaku pada masa yang sama, mereka akan tahu bahawa “Kerajaan Tuhan sudah dekat” dan akan memerintah bumi tidak lama lagi.—Lukas 21:31.
APAKAH PERISTIWA-PERISTIWA ITU?
Yesus berkata, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku. Selain itu, kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Lukas 21:10, 11) Apabila semua peristiwa itu berlaku dengan serentak, itulah tandanya bahawa “Kerajaan Tuhan sudah dekat.” Adakah peristiwa-peristiwa itu berlaku pada waktu yang sama di serata dunia? Perhatikan buktinya.
1. PERANG
Pada tahun 1914, tercetuslah perang terbesar yang belum pernah terjadi dalam sejarah manusia, iaitu perang dunia pertama. Ahli sejarah sering berkata bahawa peristiwa itu telah mengubah sejarah manusia. Buat kali pertama, kereta kebal, bom, mesingan, gas beracun, dan senjata lain yang dahsyat digunakan. Kemudian, perang dunia kedua tercetus, dan bom atom mula digunakan. Sejak tahun 1914, peperangan terjadi di merata tempat, dan jutaan orang telah terkorban.
2. GEMPA BUMI
Menurut Britannica Academic, setiap tahun, terdapat kira-kira 100 gempa bumi yang cukup kuat untuk mengakibatkan “kerosakan besar.” Laporan United States Geological Survey menyatakan, “Berdasarkan laporan selama ini (dari sekitar tahun 1900), 16 gempa bumi yang besar dijangka akan berlaku setiap tahun.” Sesetengah orang berkata bahawa gempa bumi nampaknya semakin kerap berlaku kerana adanya alat pengesan gegaran yang lebih canggih. Namun, hakikatnya ialah gempa bumi di serata dunia telah mengakibatkan banyak penderitaan dan kematian.
3. KEKURANGAN MAKANAN
Masalah kekurangan makanan berlaku di serata dunia kerana peperangan, rasuah, keruntuhan ekonomi, atau kerana tanaman tidak mengeluarkan hasil yang mencukupi. Laporan Program Makanan Sedunia tahun 2018 menyatakan, “Di serata dunia, sebanyak 821 juta orang tidak mendapat makanan yang cukup, dan 124 juta orang kebuluran.” Setiap tahun, masalah kekurangan zat menyebabkan kematian kira-kira 3.1 juta orang kanak-kanak. Pada tahun 2011, masalah itu merupakan punca kira-kira 45 peratus kes kematian kanak-kanak di seluas dunia.
4. WABAK PENYAKIT
Sebuah bahan bacaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, “Banyak wabak yang teruk telah berlaku pada abad ke-21. Penyakit lama seperti kolera (taun), wabak maut hitam, dan demam kuning, telah timbul semula, manakala penyakit baharu seperti SARS, wabak influenza, MERS, Ebola, dan Zika, telah muncul.” Baru-baru ini, terdapat juga pandemik COVID-19. Biarpun bidang perubatan semakin canggih, doktor dan ahli sains masih tidak dapat mencari penawar bagi semua wabak penyakit.
5. KERJA PENYEBARAN SEDUNIA
Yesus menyebut satu lagi peristiwa. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Matius 24:14) Dalam dunia yang huru-hara ini, terdapat lebih daripada lapan juta orang yang berbilang bangsa yang menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Mereka melakukannya di 240 negara dan kawasan, dan dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Hal sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia.
APAKAH MAKSUD TANDA ITU?
Peristiwa-peristiwa yang disebutkan oleh Yesus sedang terjadi sekarang. Apakah maksudnya? Yesus berkata, “Apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat.”—Lukas 21:31.
Kemunculan tanda yang disebutkan oleh Yesus dan tempoh masa yang dinyatakan dalam Bible membantu kita faham bahawa Kerajaan Tuhan telah didirikan di syurga pada tahun 1914. a Pada tahun itu, Tuhan melantik Anak-Nya Yesus Kristus sebagai Raja. (Mazmur 2:2, 4, 6-9) Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan memerintah bumi dan melenyapkan semua kerajaan manusia. Kemudian, Kerajaan Tuhan akan menjadikan bumi ini sebuah firdaus supaya manusia dapat mendiaminya buat selama-lamanya.
Tidak lama lagi, permohonan dalam Doa Bapa Kami akan dikabulkan, “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Matius 6:10) Namun, apakah yang dilakukan Kerajaan Tuhan sejak tahun 1914? Apakah yang akan berlaku semasa Kerajaan Tuhan memerintah manusia?
a Untuk maklumat lanjut tentang tahun 1914, lihat pelajaran 32 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.