Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bilakah Akhir Akan Tiba? Perhatikan Jawapan Yesus

Bilakah Akhir Akan Tiba? Perhatikan Jawapan Yesus

Seperti yang dijelaskan dalam rencana yang sebelumnya, apa yang akan dimusnahkan semasa akhir dunia bukanlah bumi dan semua manusia, tetapi orang yang jahat dan perkara buruk di dunia. Namun, adakah Bible memberitahu kita bila sistem dunia yang jahat ini akan berakhir?

PERHATIKAN APA YANG DIKATAKAN YESUS TENTANG AKHIR DUNIA:

“Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya.”​—MATIUS 25:13.

“Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada, kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan.”​—MARKUS 13:33.

Jadi, tiada orang di bumi yang tahu secara tepat bila sistem dunia ini akan berakhir. Namun, Tuhan sudah menentukan “hari atau waktunya” akhir akan tiba. (Matius 24:36) Adakah ini bermaksud kita langsung tidak akan tahu bila akhir sudah dekat? Tidak. Yesus telah memberitahu para pengikutnya beberapa peristiwa yang menandakan bahawa akhir sudah dekat.

TANDA AKHIR DUNIA

Semasa menyebut peristiwa-peristiwa yang menjadi tanda “penghujung sistem ini,” Yesus berkata, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Matius 24:3, 7) Yesus juga berkata bahawa akan terjadinya “wabak,” iaitu penyakit yang merebak dengan cepat. (Lukas 21:11) Adakah anda melihat peristiwa-peristiwa yang disebut oleh Yesus sedang berlaku?

Peperangan, kebuluran, gempa bumi, dan bermacam-macam penyakit telah berlaku di bumi pada zaman kita. Misalnya, pada tahun 2004, sebuah gempa bumi yang dahsyat di Lautan Hindi telah menyebabkan tsunami yang mengorbankan kira-kira 225,000 orang. Dalam masa lebih daripada setahun, pandemik COVID-19 telah meragut sekitar 2.6 juta nyawa di serata bumi. Yesus berkata bahawa peristiwa-peristiwa sebegini menandakan bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat.

“HARI-HARI TERAKHIR”

Bible menyatakan bahawa jangka masa sejurus sebelum akhir dunia tiba disebut “hari-hari terakhir.” (2 Petrus 3:3, 4) Menurut 2 Timotius 3:1-5, keruntuhan moral dalam masyarakat akan terjadi pada hari-hari terakhir. (Lihat kotak “ Sejurus Sebelum Akhir Dunia.”) Adakah anda setuju bahawa ramai orang sekarang bersikap mementingkan diri, tamak, garang, dan tidak menunjukkan kasih? Semua ini juga merupakan bukti bahawa akhir sudah sangat dekat.

Berapa lamakah tempoh masa “hari-hari terakhir”? Bible menyatakan bahawa tempoh masa itu sudah “tinggal sedikit.” Tidak lama lagi, Tuhan akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.”​—Wahyu 11:15-18; 12:12.

BUMI FIRDAUS SUDAH DEKAT!

Tuhan sudah menentukan hari dan waktunya untuk mengakhiri sistem dunia yang jahat ini. (Matius 24:36) Namun, Dia “tidak ingin seorang pun dibinasakan.” (2 Petrus 3:9) Sebaliknya, Dia ingin kita terselamat semasa akhir dunia ini dan hidup di bumi firdaus. Oleh itu, Dia memberi kita peluang untuk belajar tentang kehendak-Nya dan mentaati-Nya.

Untuk berbuat demikian, Tuhan telah melancarkan program pendidikan untuk mengajar orang di serata dunia bagaimana mereka dapat hidup di dunia baharu yang diperintah oleh Kerajaan-Nya. Yesus berkata bahawa berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan “ke seluruh bumi.” (Matius 24:14) Pada tahun 2019, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia menggunakan lebih daripada dua bilion jam untuk menginjil dan mengajar orang tentang harapan yang terkandung dalam Bible. Yesus berkata bahawa kerja ini akan dilakukan di seluruh bumi sebelum akhir tiba.

Akhir pemerintahan manusia sudah dekat. Namun, terdapat berita baik: Anda dapat terselamat semasa akhir dunia ini dan hidup di bumi firdaus yang dijanjikan Tuhan. Rencana seterusnya akan menjelaskan apa yang perlu anda lakukan untuk menikmati berkat ini.

Nubuat Yesus tentang “hari-hari terakhir” memberi kita harapan